Kubur di Pengkalan 1
"Kita buat apa di sini?" tanya Abdah hairan.
"Bukankah engkau yang mahu tahu susur galur keturunan?" tanya Ammak tanpa memandang wajahnya. Ammak membuka but kereta, mengeluarkan parang pendek yang dibalut dengan kain batik lama. Merasa ketajaman mata parang dengan ibu jarinya.
Perjalanan 2 jam dari ibukota membuatkan Abdah menggeliat malas. Perlahan dia membuka pintu kereta dan melangkah turun. Mendepang tangannya dan melakukan senaman ringan. Lenguh.
"Sudah. Tukar selipar itu. Pakai kasut. Kita hendak meredah hutan kecil ini," suruh Ammak.
"Kita hendak cari apa dalam hutan ini?" tanya Abdah hairan.
"Tak usahlah tanya. Aku hendak tunjukkan tempat nenek moyangmu," jawab Ammak.
Pantas sahaja Abdah mengeluarkan kasut di tempat duduk penumpang. Ini sesuatu yang baru kepadanya. Selama ini dia hanya menjalankan pencarian susur galur keturunan di internet. Kali ini Ammak membawanya pengalaman sebenar. Dia menarik beg kecil yang berisi segala peranti elektronik. Mana tahu, ada yang boleh didokumentarikan, boleh menarik jutaan pengikut yang tentu sahaja akan menaikkan reputasinya sebagai pengkaji Melayu. Dan tentunya rencana-rencana yang ditulisnya dan diterbitkan di portal Melayu akan dikongsi ke ribuan portal lain. Semuanya akan menjana wang. Secara senyap dan mengalir tanpa henti. Itulah yang diharap-harapkannya.
"Tak sudah hendak berangan. Berjalan di dalam hutan, mata mesti sentiasa awas," Ammak mengingatkan. "Kalau-kalau berangan, pijak ular pun tak sedar..."
Cepat-cepat Abdah mengangkat kakinya. "Ular!" Dia melompat-lompat geli bila melihat sesuatu yang panjang sekaki dan berwarna coklat kehitaman melekat pada tapak kasutnya.
Ammak ketawa. "Itu ular buta. Macam cacing tanah saja..."
Abdah merungut-rungut. Hendak marah, bimbang Ammak meninggalkannya dalam hutan yang katanya kecil itu. Sedang Abdah melihat hutan itu begitu asing. Pohon-pohon kayu menjulang. Tak satu pun dia kenal namanya. semuanya serupa. Batangnya kayu, daunnya hijau. Sedang Ammak nampak begitu takjub dengan setiap satunya.
"Masih ada keruing ini," kata Ammak menyapu pangkal pokok itu dengan kedua belah tangannya. Ada lubang yang kulitnya menggerupih. "Tak ada orang yang membakar engkau sekarang. Tak ada siapa yang mahukan lagi minyakmu," kata Ammak lagi.
"Orang beli minyak kat Petronas," ujar Abdah tersengih-sengih.
Ammak menggeleng beberapa kali. Kadang-kadang anak muda ini menguji kesabarannya. Kadang-kadang dia benar-benar kasihan bukan sahaja dengan Abdah, tetapi berjuta anak-anak muda yang hidup dalam gelembung ciptaan mereka sendiri.
Ulasan