Telur
Melihat anak-anakku begitu menggemari telur goreng, walau
bagaimana caranya, telur dadar dengan potongan bawang dan cili hijau, telur
mata kerbau yang kuning bergoyang atau telur scrambble, mengingatkan zaman
kecil kami di kampung. Telur, boleh
dikatakan jadi hidangan hampir setiap hari.
Boleh jadi lauk utama, boleh juga jadi lauk sampingan. Jika lauk hari itu ikan gelama goreng, ada
telur goreng buat penambah selera.
Kadang-kadang bila telur banyak, emak akan masak telur masak lemak
kuning. Atau telur rebus goreng
bersambal. Semuanya menjadi kegemaran
kami. Maklumlah telur ketika itu bukan
dibeli. Kami menternak ayam itik
sendiri.
Sungguh
pun kami menternak ayak kampung namun jarang-jarang juga makan telur ayam. Emak biasanya akan menetaskan semuanya. Ibu ayam biasanya akan bertelur antara 9
hingga 12 biji telur. Kadang-kadang
sehingga 15. Emak akan mengambil telur
ayam ke 10 dan seterusnya. Katanya, jika
dibiarkan mengeram akan lambat menetas.
Itulah telur ayam yang digoreng atau direbus. Berlainan dengan itik. Itik akan bertelur hampir setiap hari selama
berbulan-bulan. Asalkan mendapat makanan
yang mencukupi. Kami memelihara itik
jawa. Yang betina berbulu kuning tanah,
ada yang berbintik-bintik hitam. Ada
yang hitam dan kelabu sepenuhnya. Yang
jantan berwarna hijau di kepalanya, bergelang hitam di leher dan berbulu
berbaur warna, hitam, kelabu dan cokelat dengan hijau di hujung sayapnya. Itik jantan cukup menarik. Menjadi ketua dan yang lain pengikut. Jika berjalan di tanah atau berenang di air,
itik jantanlah ketuanya.
Yang
paling aku ingat, baik ayam mahu pun itik, ada nama timang-timangan
sendiri. Ada jali, pengkor, ijo dan
banyak lagi. Begitulah emak dengan dunia
sekeliling rumahnya.
Menternak
di kampung tidaklah semudah orang sekarang fikir. Ada sahaja musuhnya. Kami kena peka bunyi ayam jago yang selalunya
bertindak memberi amaran bila ada musuh kelihatan. Alap-alap yang biasanya menyambar anak-anak
ayam. Helang yang menyerang hendap tanpa
di sedari. Juga biawak yang mencuri
telur. Atau sawa yang masuk ke dalam
reban ketika hujan lebat. Boleh
dikatakan emak mengenali semua ayam dan itik yang dipeliharanya.
“Kenapa
emak?” tanyaku suatu hari balik dari sekolah.
Emak termenung, duduk bertinggung beralaskan bongkah kayu api yang belum
dikapak.
“Dua
ekor itik kita hilang, si sumbing dan bintik putih,” kata emak bimbang.
Itik-itik
selalu tidak merayau jauh mencari makanan.
Sekitar dua ekar tanah kebun kami itulah dan tumpuan itik di tepi-tepi
air. Itik bergerak dalam kumpulan, tidak
bergerak sendirian. Yang jantan akan
menjadi ketua, yang lain menurut.
Sepetang aku menyelak-nyelak semak di tepi parit mencari itik dua ekor
itu tapi tidak jumpa. Entah helang mana
menyambar. Entah sawa mana
membelit. Kehilangan dua ekor itik amat
bererti pada kami. Jika selama ini ada
lapan biji telur dikutip setiap pagi, kini hanya enam. Jika ada orang menempah bahulu, telur itik
itulah yang emak gunakan. Teluk itik
kembang elok bila dipukul dalam pasu. Telur
itik sifatnya putih sedikit dan kuningnya banyak. Kuning telurnya kental cantik. Oleh sebab itulah bila dimasak lemak cili
api, kuningnya besar dan kemerahan. Jika
diasinkan merahnya keras dan berlemak.
Namun anak-anakku kini ternyata hanya menggemari telur ayam, tidak telur
itik.
“Dulu,
inilah makanan orang kampung. Setiap
hari. Ada yang paling sedap, telur itik
digoreng dengan kelapa parut, bawang dan cili,” beritahuku.
Mereka
hanya membuat wajah pelik.
Zaman
telah berubah, namun sejak dahulu hingga sekarang lauk telur tetap menjadi
pilihan. Telur ayam zaman anak-anakku
kini dan telur itik zaman kecilku dahulu, menjadi lauk kecukupan buat
keluarga. Apa lagi ketika poket ibubapa
hampir kosong menunggu ketibaan hujung bulan.
Ulasan