Khamis, April 27, 2017

Pinjamkan Dia Sebentar - Demi Kasih Nak...


Saya fikir, setiap penulis yang terlibat dalam antologi cerpen PINJAMKAN DIA SEBENTAR menulis dengan perasaan berbaur.  Sebagai orang yang menyelenggarakan, saya membaca dengan perasaan libang libu.  Ada kalanya gagal meneruskan pembacaan.  Maka proses menyediakan manuskrip memakan masa berbulan-bulan.

Segala-galanya tertulis di sini, yang tidak pernah orang lain fikirkan.  Yang selama ini hanya berada di luar balang kaca sedang kami terkurung sepanjang hayatnya.  Tentunya sesuatu yang terkurung itu indah, dikasihi dan sentiasa ditonton.  Seperti ikan-ikan yang berenang di dalam balang kaca.  Kalian hanya boleh melihat, jauh sekali dapat menyentuh kehidupan ini.

Catatan cerpen-cerpen panjang ini demi kasih kami, nak.  Tidak ada sebab lain, hanya kasih dan kecintaan kami kepada kalian.  Semoga di sana nanti kalian tidak melupakan kami, nak.  Pimpinlah kami menuju ke syurga dabaanmu.  Dunia ini sekadar daerah perang.

Pinjamkan Dia Sebentar, terbitan DBP akan dilancarkan di PWTC sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 29 hb April 2017, pukul 1.00 tengahari di reruai DBP.

Selasa, April 25, 2017

Katamu Asik!

Kampung Asik sememangnya indah.  Berkabus sepanjang pagi dan lewat senja jika hujan turun. Sesiapa datang pasti terpaut. "Saya suka betul dengan kampung awak ni, Asik," puji saya.  Yalah, pencinta alam seperti saya memang suka keindahan.
"Kalau encik suka, encik pindah sini lah..." balas Asik selamba.
Saya geleng banyak kali.
"Kenapa encik nak juga tinggal di pekan?" tanya Asik.
"Errr... Selamat sikit.  Tempat awak ni mungkin banyak ular, biawak, harimau..."
Asik gelak.  "Binatang tu yang takut hendak dekat dengan orang, encik.  Lagi?  Sebab apa?"
"Errr...  Ada polis.  Keselmatan terjamin..."
Asik gelak lagi.  "Kampung aku tak payah polis, encik.  Tok batin seorang boleh jaga.  Lagi?"
Ceh! Asik sudah mencabar ni.
"Ada undang-undang... Sivil, Syariah, Jenayah, Trafik...  Undang-undang...  Undang-undang..." Apa lagi saya hendak cakap?
Asik gelak dan saya terus terbakar.
"Tok batin seorang boleh jaga, enciiiikkkk..."


 

Rabu, April 19, 2017

Tentang Tantrum @ rojakserendah

SAYA duduk di sebuah meja kedai rojak yang terkenal di Serendah.  Kami baru pulang dari PDK, Pemulihan Dalam Komuniti Sungai Choh.  Terbayang-bayang gelagat Pak Yusof dan sahabatnya dari Indonesia menyanyikan lagu-lagu evergreen - Pak Yusof memetik gitar dan menyanyi.  Sahabatnya pula bermain biola.  Anak-anak OKU PDK Sungai Choh riang bertepuk tangan dan berdansa.  Ingatan saya sirna bila melihat seorang ibu, bert-shirt merah dan berseluar memimpin anak-anaknya, tiga orang OKU menyusuri bahu jalan yang bertanah merah dan berlopak-lopak di hadapan kedai rojak itu.

Saya menarik nafas panjang.  Mempunyai seorang anak OKU pun bukan calang-calang dugaan, bagaimana ibu ini menghadapi kerenah kesemua anaknya - yang tiga orang itu OKU?  Bagaimana ibu ini mengubati hatinya yang lara?  Bagaimana menangani satu isu yang cukup berat iaitu tantrum?

Tantrum, bagaimana hendak menterjemahkan dalam bahasa Melayu - mungkin lebih sesuai - mengamuk.  Tantrum datang kadang-kala bersebab, kadang-kala tanpa sebab.  Antara sebab-sebab yang lazim kedatangan haid, kedudukan bulan penuh atau full moon, juga kedudukan bulan yang terlalu hampir dengan bumi, atau bunyi-bunyian yang menyakitkan telinga atau cahaya yang menyakitkan mata, atau suasana yang riuh dan bingit.  Ada 1001 satu sebab yang mungkin dan tidak mungkin.  Yang logik dan tak logik.  Yang berkaitan dengan makhluk lain atau tidak.  Yang melibatkan penerimaan orang sekeliling atau tidak.  Menjadi ibubapa OKU, menghadapi tantrum sesuatu yang menghantui hidup.

Ada tantrum yang boleh diselesaikan dengan menghentikan punca.  Jika puncanya geseran plastik, selepas plastik itu dicampakkan keluar, selesailah.  Ada pula dengan mengalihkan OKU dari suasana atau keadaan itu.  Jika puncanya jerit pekik di stadium bola,  Beransurlah.  Ada pula dengan meletakkan OKU itu di sebuah bilik tertutup dan tidak berorang.  Sunyi.  Itulah juga caranya yang mententeramkannya.

Namun ibubapa OKU sering terperangkap dalam suasana yang tidak memungkinkan mereka dapat menenangkan OKU yang tantrum seperti berada di tempat awam.  Orang ramai bukan sahaja menyibukkan diri, mengambil gambar, malah seolah menonton satu pertunjukkan.  Antara yang menjadi sebab ibubapa berfikir 1001 kali untuk membawa anak-anak OKU ke tempat awam.



Errr...  Kenapa upload gambar #rojakserendah ?  Yalah, orang lebih menghargai makanan dari cerita OKU kan...

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...