Isnin, Ogos 31, 2015

Pusara Masjid Lama - Catatan 16


AKI AJIR tiba bersama beberapa orang lelaki.  Dia menjenguk dan bertanya, "masih sedar?"
Haji Don mengangguk.  "Dia dah mula meracau," jawabnya.
"Cari kayu buat pikulan!" laung Aki Ajir kepada orang di atas tebing.
"Baik Aki!" Kedengaran orang menetak batang kayu.  Aki Ajir memilih kain sarung yang masih rapat tenunannya.  Kain itu di sarungkan pada Aki Sendeng yang sedang menggeletar.
"Hantarkan aku balik... Hantarkan aku balik..."
Aki Ajir membaca sesuatu, mulutnya terkumat kamit.
"Aku hendak balik... Aku hendak balik..."
"Kau hendak balik ke mana?" tanya Aki Ajir keras.
"Sungai... Sungai..."
Meremang bulu roma Haji Don mendengarkannya.  Lantas dia membaca ayat-ayat pendinding diri.  Orang tua ini bukan demam sembarangan.  Ada sesuatu yang mengganggunya.

"Ini kayunya!" Seorang pemuda bertubuh kecil tetapi tegap melompat ke dalam perahu jalur.  "Tarik tali perahu, tambat pada pohon meranti sana.  Biar rapat betul ke tebing!" katanya memberi arahan.  Hj Don dapat merasakan perahu jalur itu bergerak.
"Mari dua orang lagi!" laung Aki Ajir.
Kain sarung yang menyarungi hampir seluruh tubuh Aki Sendeng tidak diikat, dibiarkan terungkai.  Batang kayu dimasukkan ke dalam kain sarung hujung ke hujung berfungsi jadi pikulan.  Bersusah payah Aki Ajir dan Hj Don memikul pada bahagian kaki dan pemuda tegap itu pada bahagian kepala.  "Perlahan-lahan Rukun, tersangkut pada kajang nanti," pinta Aki Ajir.  Rukun, pemuda berbadan tegap itu mengangguk.  

Dua orang pemuda lain menunggu di atas tebing menyambut pikulan itu.  "Kita mahu bawa ke mana?" tanya salah seorang dari mereka.
"Bawa ke rumah.  Nanti awak suruh orang panggil pawang," suruh Aki Ajir.

Kedengaran orang memberi salam.  Mereka semua menjawab.  Sebuah rakit tiba di pengkalan.

Sabtu, Ogos 22, 2015

OH ASIK 1

"Encik datang dari mana?" tegur Asik.
Saya menunjukkan segumpal wang.  "Tukar duit.  Sekarang duit ringgit susah kalau hendak tukar kalau pergi luar negeri," beritahu saya.
"Encik hendak pergi mana?"
"Bukan saya, kawan saya hendak pergi haji," terang saya.
"Bawa petai encik.  Petai sekarang lebih mahal dari duit!" unjuk Asik, seikat petai ditangannya.

Saya sengih.

Jumaat, Ogos 21, 2015

Pusara Masjid Lama - Catatan 15


MEREKA melompat masuk ke dalam perahu jalur itu.  Aki Sendeng sedang terbaring beralaskan beberapa kajang yang berlipat.  Tubuhnya diselimuti kain kemul yang sudah luntur warna birunya.  Orang tua itu menggeletar.
"Aki demam?" tegur Hj Don lalu menjamah dahi Aki Sendeng.  Hangat bagai berdiang di tungku.  "Memang demam teruk," katanya pada Aki Ajir.
"Kamu tunggu di sini, awak panggil orang kampong membantu," kata Aki Ajir lalu melompat keluar dari perahu.
Hj Don memandang sekeliling.  Ada periuk kecil dan Loyang bergantungan pada bumbung kajang perahu jalur itu.  Itulah yang digunakan orang tua itu memasak ketika berperahu dari Teluk Penyamun ke Kuala Kubu dan sebaliknya.  Ada tempayan gubang berisi air minum.  Sumpit mengkuang berisi beras.  Juga kain-kain sarung yang berlipat bergantung pada tali labrang perahu.
"Awak hendak mudik Teluk Penyamun bagaimana," keluh Aki Sendeng.  Anak bininya di sana, dia hanya berdagang ikan dan hasil laut ke mari.  Habis dagangan kembalilah ke Teluk Penyamun, meraih hasil laut dan kembali ke Kuala Kubu.  Begitulah bertahun-tahun.  Tidak pernah hinggap sakit pening.  Apa lagi demam ketulangan begini.
"Kita tunggu Aki Ajir, mana tahu boleh bawa berubat," getus Hj Don.
"Kalau awak pergi, kamu sempurnakanlah di mana awak pergi.  Usah diayak jenazah awak ke hulu hilir," pesan Aki Sendeng.
Hj Don memegang tangan Aki Sendeng lembut.  "Jangan Aki cakap begitu, kita ini milik Allah." 

Khamis, Ogos 20, 2015

Pusara Masjid Lama : Catatan 14


HJ DON duduk di punggur pokok kayu yang sudah ditebang tetapi masih utuh lagi.  Belum reput mahupun dikekah anai-anai.  Masjid tua di belakangnya dan Sungai Kubu di hadapannya.  Aki Ajir yang baru keluar dari masjid menghampiri.
"Awak ingat kamu sudah pulang," katanya.
Hj Don berpaling dan tersenyum.  "Belum Aki.  Saya kalau boleh mahu pulang ke rumah sendiri," dia berharap.
Aki Ajir menarik nafas panjang.  "Memang yang berlaku itu pelik.  Bukan kebiasaan tetapi kamu kenalah ingat apa yang awak pesan ini, inilah tanda-tanda kekuasaan Allah."
"Iya Aki, saya akui," balas Hj Don.

Aki Ajir mengibas tubuhnya dengan kain serban.  Dia memilih tempat untuk duduk di tanah beralaskan beberapa pelepah belarak.  "Nampak bukit sana?" tunjuk orang tua itu.  Hj Don mengangguk.  "Itulah Bukit Kutu."
 
Bukit yang sama kelihatan dari pintu rumahnya.  Bukit yang biasa ditenungnya setiap pagi, ketika jelas kelihatan.  Menjelang tengahari awan akan berarak melindungi dan menjelang senja sudah hapus ditelan kabus dan awan yang bergumpal-gumpal.
"Empang di mana?" terpacul pertanyaan itu dari mulut Hj Don.
"Atas sungai sana," tunjuk Aki Ajir ke depan.  Ada beberapa buah perahu berkajang tertambat pada tebing.  Di seberang sana kelihatan beberapa batang pokok kelapa menjulang dan dari jauh kelihatan menghijau membukit.  "Kalau kamu lihat betul-betul, Tanah membukit berumput hijau itulah tembok empang.  Esok atau lusa, awak bawa kamu ke sana," janji Aki Ajir.
 
Hj Don tersenyum.  Sungguh dia terperangkap di ruang waktu ini namun imbalannya bukan sedikit.  Siapa sangka dia akan dapat melihat empang yang pecah pada tahun 1883 itu.

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...