Ahad, Februari 15, 2015

Pusara Masjid Lama 10


AKI Sendeng mengajak Haji Don melihat-lihat perahu jalurnya. Perahu jalur itu tidaklah besar, hanya 20 kaki panjang dengan petak-petaknya ditutup dengan kajang.
"Aki berkayuh seorang?" tanya Haji Don.
Aki Sendeng menggeleng. "Anak buah aku ada meneman. Umur sudah maghrib, kena berteman. Susah kalau berhalangan di perjalanan," katanya.
Dagangan Aki Sendeng dibawa dari Teluk Penyamun. Ikan laut yang disimpan dalam tembikar sebelum dimasukkan ke dalam tempayan berisi air. Ikan pelata, selangat, kerongan, bulu ayam dan gelama. Ada juga siput sedut dan lokan. Juga siput gondang yang disimpan dalam timba kayu berair.

"Hasil tangkapan nelayan, jauh laut dari sini, Aki Sendeng?" tanya Haji Don.
"Teluk Penyamun ke Kuala Selangor setengah hari berperahu.  Aku beli dari orang di Teluk Penyamun. Aku sendiri dengan anak buahku, Si Kemat jika bergilir berkayuh, empat hari sampailah," terang Aki Sendeng.
"Ikan-ikan ini tak busuk?" tanya Haji Don hairan.
"Kalau tahu caranya, ikan-ikan ini tahan lama," ujar Aki Sendeng tersenyum. Dia menunjukkan sekali lagi tempayan yang berisi air sejuk dan tembikar tertutup berisi ikan yang direndam di dalamnya.  Itulah rahsianya.



"Perahu jalur ini asalnya buatan Orang Laut. Orang Melayu belajar dari mereka,ia tahan lama dan kukuh. Tidak mudah pecah terutama jika tersagat batu di sungai Selangor," terang Aki Sendeng.
Aki Ajir yang berdiri di pengkalan menarik tali penambat perahu merapat dan Haji Don melangkah ke tangga kayu bulat pengkalan bertiang nibung bertarah itu.
"Terima kasih, Aki," Haji Don meminta diri lalu memberikan salam. "Tak mahu beli ikan?" tanya Aki Sendeng.
"Kami sudah berlauk. Pagi tadi memancing tembakang," beritahu Aki Ajir.
"Kalau ada pekasam tembakang, boleh tukar dengan ikan laut. Orang di Teluk Penyamun suka juga makan ikan pekasam darat," ujarnya. 

Jumaat, Februari 06, 2015

Pusara Masjid Lama 9


HAJI DON duduk di beranda masjid. Jemaah lain sudah ramai yang pulang. Seorang demi seorang berhenti sebentar, bertanya khabar padanya dan bersalaman sebelum menyarung capal. Dia terhibur, kehadirannya seolah dialu-alukan. Atau Aki Ajir mungkin orang berpengaruh di Kampung Asam Lenggong, dihormati dan menjadi rujukan orang sekampung.
"Itu pokok meranti," kata seorang lelaki tanpa dipinta.  Mungkin Haji Don terlalu leka merenung kanopi pohon kayu itu yang memayungi sebahagian halaman masjid.
"Kayunya baik," balas Haji Don. Teringat rumah-rumah kampung yang cantik diperbuat dari kayu meranti atau resak.
"Sudah tua pokok ni, dulu waktu masjid ni dipacak tiang, pokok merenti ini sudah ada.  Kata Datuk Penghulu Garang, biarkan pokok ini hidup.  Mana tahu, esok-esok mudah hendak mengganti tiang,"terang lelaki itu yang kemudian memperkenalkan dirinya Aki Sendeng.
"Hidup lagi Datuk Penghulu Garang?"
"Sudah meninggal, itu Datuk Penghulu Garang yang dulu.  Datuk Penghulu Garang yang sekarang ini, cucunya," terang Aki Sendeng.
"Aki mahu ke mana?" tanya Haji Don hairan.  Aki Sendeng menukar pakaian solat kepada pakaian basahan.  Baju gombang dan sarung bersolat tadi dilipat elok-elok dan dan diikat dalam kain yang dibunjutkan. Kebetulan Aki Ajir baru keluar di beranda.
"Aki Sendeng ini orang perahu," terang Aki Ajir.


Orang perahu. Baru pertama kali didengarnya. Cara ikatan kain serbannya berlainan dengan cara Aki Ajir.  Dia merenung Aki Ajir, seolah meminta penjelasan lanjut.
"Aki Sendeng berdagang dengan perahu. Tengok saja perahu jalur bertambat di pengkalan itu," tunjuk Aki Ajir ke arah Sungai Kubu di hadapan masjid.
Barulah Haji Don sedar, sebatang sungai menganjur ke hulu di hadapan masjid itu.  Dia datang dengan Aki Ajir dari arah darat yang lebih tinggi. "Sungai kita mandi tadi?"
Aki Ajir menggeleng. "Itu anak Sungai Kerayong. Yang ini Sungai Kubu."

Haji Don kelu. Benar dia berada di Kuala Kubu, entah pada zaman bila.   

Selasa, Februari 03, 2015

Menulis dan Bercerita


KETIKA pesanan tiba, segelas kopi yang panas tidak dikacau susu dan kopinya serta sekeping roti canai bersama kuahnya, kami mula bersembang dengan kisah isteri Imam yang terlebih makan ubat hospital. Bercakap meracau dan kadang kala bertanya hal-hal masa silam seolah dia masih muda lagi.  Kisah itu berkait pula dengan rancangan Encik Man hendak buat kenduri doa selamat dan memesan kambing yang telah siap diperap untuk hidangan yang hadir.  Ia berkait kerana Imam amat menggemari kambing dan sekarang sudah jarang keluar menikmati nasi mandy di restoran nasi arab atas kesuntukan masa menguruskan rumah tangga.  Seterusnya kisah berkait pula dengan rancangan Encik Karim dan jangkaan jalan sesak kerana Thaipussam.  Ia berkait dengan permohonan maaf tidak dapat turut serta kenduri doa selamat nanti.

Idea menulis ada di mana-mana.  Ia saling berkaitan antara satu sama lain.  Apa yang ditulis adalah dunia di sekeliling kita.  Saya sering di tanya tentang novel 'Kabus di Perbukitan' yang berceranggah isinya.  Kata seorang guru, sukar untuk pelajar yang biasa-biasa untuk memahaminya.  Pendek kata, ia novel yang sukar. Apa yang ingin saya katakan, inilah kehidupan kita sebagai insan yang wajib taat kepada Allah SWT.  Hidup ini sentiasa saling berkaitan dan akhirnya tujuan hidup ini hanyalah kepada Allah Yang Esa. Tidak ada satu kisah yang berdiri sendiri, yang mempunyai plot dan penyelesaian yang sendiri-sendiri.  Amat kompleks dan bersimpang siur.  

Jika meja di kedai kopi boleh bercerita, setiap hari akan tertulislah sebuah novel. 

Ahad, Februari 01, 2015

Pusara Masjid Lama 8


DIA berjalan di belakang Aki Ajir.  Walaupun langkahnya perlahan, Aki Ajir lebih tahu kampung ini berbanding dirinya yang seperti rusa masuk kampung itu.  Matanya liar memandang sekeliling. Rumah-rumah yang rata-rata hanya seperti rumah Aki Ajir dan Tok Tiah sendiri.  Malah lebih banyak yang lebih kecil.  Jarak antara rumah pula yang agak lapang itu ditanam dengan pokok-pokok keperluan dapur, kelapa, daun salam, cengkih, jarak dan tanaman kontan lain seperti ubi, keladi dan pisang.  Pagar kawasan hanyalah pagar buluh yang dicacak dan diikat bersilang-silang. Jangan kerbau, orang pun tidak dapat dihalang pagar itu.
"Itu masjidnya.  Kami berjemaah di sana," tunjuk Aki Ajir.
"Apa namanya?" tanya Haji Don.
"Nama apa?"
"Nama masjid," jawab Haji Don.  Masjid biasanya bernama, al Falah, al Hidayah, ar Rahimah, al Kholidiyah.  Ada nama khalifah Islam, Uthman Affan, Abu Bakr As Siddiq, Ali Abu Talib atau Umar al Khattab.
"Tak pernah pula Tok Imam atau Tok Mukim beritahu nama masjid. Kami cuma panggil ikut nama kampung sahaja lah.  Masjid Kampung Asam Lenggong," ujar Aki Ajir.

Haji Don tidak menjangkakan Kampung Asam Lenggong hanya di sekitar sini.  Mulanya dia fikir tentu jauh di Hulu Perak. Seorang dua jemaah yang menyapa Aki Ajir, dan orang tua itu memperkenalkan dirinya.  Mesra dan bersalaman.  Haji Don tidak merasakan mereka jin atau bunian.  Orang kata jin atau bunian tidak seramah itu kepada manusia.  Yang datang ke masjid pun semuanya berjalan kaki.  Tidak ada yang berbasikal.  Mujur tiada yang datang berkuda atau berpedati lembu.  Harus dia pengsan di situ juga.

Aki Ajir menanggalkan capal dan naik ke bancik.  Dia menceduk air di tempayan ukiran naga menjelir lidah dengan batok dan membasuh kaki.  Haji Don menurut di belakang.

Sudah ramai yang selesai solat sunat.  Masing-masing duduk tertib berwirid menunggu solat zohor.  Haji Don meneliti sekeliling. Dari luar masjid ini mengikut potongan masjid jawa.  Bertajuk-tajuk, tiga tingkat bumbungnya.  Atapnya bertam.  Tiada bulan dan bintang di puncak segitiga tajuk umpama piramid itu.  Suasana di dalam benar-benar nyaman.  Tiang seri berempat menumpangkan tajuk-tajuk.  Dindingnya kayu bertarah dengan tingkap-tingkap berselak kayu yang dibiarkan terbuka.  Lantainya dihampar dengan tikar-tikar mengkuang beberapa bidang.  Kaki Haji Don menguis sedikit, menyelak bawah tikar mengkuang itu.  Lantainya baru bertarah sekeping-sekeping.  Sejuk dan hitam.  Dia mengucap syukur kepada Allah.  Biar bagaimana pun dia sampai ke mari masih menjadi tanda tanya, sekurang-kurangnya dia mengalami sesuatu yang tidak pernah tercapai dek akal fikiran.  Sememangnya ketika termenung sendirian di masjid dahulu, sering dia terfikir bagaimana rupanya masjid orang dahulu.  Rupanya ia termakbul.  

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...