Selasa, Januari 27, 2015

Pusara Masjid Lama 7


"Dapat banyak ikan?" tanya Tok Tiah sebaik sahaja Haji Don dan Aki Ajir tiba di rumah.  Aki Ajir menghulurkan bakul rotan bertali berisi ikan tembakang.  "Aku mahu mandi.  Sudah hampir masuk zohor," katanya.
Tok Tiah mengeluarkan ikan itu seekor dan mula menyiangnya.  Sisik dibuang tersebih dahulu sebelum kepala dipotong sekali gus menarik isi perutnya.  "Engkau hendak masak apa ikan ini?" tanya Tok Tiah pada Haji Don.
"Goreng pun sedap agaknya."
"Minyak kelapa dah tinggal sedikit, tok tak sempat buat lagi.  Kita bakar saja lah.  Buat pais ikan," kata Tok Tiah.
"Tak ada orang jual minyak makan?" tanya Haji Don.  Tok Tiah menggeleng.  "Siapa pula hendak beli?  Kalau ada jual pun berapa duit?"

Haji Don tidak dapat membanyangkan ketika ini tahun berapa.  Minyak kelapa perlu dibuat sendiri bererti kelapa sawit belum lagi ditanam. Adakah Residen British sudah ada di negeri ini?  Ingin sahaja dia bertanya tetapi Haji Don tidak sanggup mahu mendengar jawapannya.

"Aki mandi di mana?" tanya Haji Don.
"Sungai lah, mana lagi.  Kami tak ada telaga.  Rumah ini di atas cangkat.  Tak berair," jelas Tok Tiah.  Dari jauh kelihatan Aki Ajir kembali.  "Itu kain sal, pergilah.  Sekejap lagi dah masuk zohor."

Aki Ajir mendaki tangga dan berpesan, "sungai di bawah sana airnya deras sedikit.  Jangan pula berenang ke tengah.  Ceduk dengan timba upih dari pelantar pun boleh."
Ketika itu kedengaran bunyi ketukan dari kejauhan, mula-mula kuat dan kemudian ketukan berturut yang semakin perlahan dan diakhiri tiga ketukan yang cukup kuat.  Haji Don memandang Tok Tiah meminta penjelasan.  "Itu bunyi beduk.  Sudah masuk waktu."

Dia bergegas menuju ke sungai.

Isnin, Januari 26, 2015

Pusara Masjid Lama 6


"PAKAI ini," kata Aki Ajir menghulurkan kain sarung yang agak lusuh. Sehelai baju berbutang lima berlipat elok bersama.
"Kenapa?"
"Ikut aku memancing.  Cari rezeki yang Allah beri untuk hari ini," katanya lalu menuruni tangga.
Haji Don bersalin pakaian.  Jubah dan seluarnya digantung pada tupai-tupai di tiang.  Baju pagodanya juga.  Ketika dia turun ke halaman, Aki Ajir keluar dari bawah rumah dengan raga bermulut kecil dan bertali diselepangkan pada bahu.  Dua batang pancing dengan joran buluh di tangan.
"Kata orang sekarang musim tembakang biak.  Kita ke Paya Dalam. Moga Allah memberi kita rezeki," katanya lalu menadah tangan berdoa. Begitulah yang dilakukannya setiap kali keluar rumah.

Aki Ajir berjalan mendahului.  Denai itu kelihatan bersih menunjukkan sering dilalui orang.  Sesekali menemui dahan jatuh melintang, Aki Ajir akan mengalihkan ke tepi.  Haji Don sesekali mendongak, pohon-pohon kayu tinggi menjulang.  Menunjukkan mereka berjalan di dalam hutan. Setelah berjalan lebih kurang setengah jam, tibalah mereka di tepi paya yang berair hitam dan ditumbuhi rumput menerong, keladi sejuang dan keladi bunting.

Tanpa membuang masa, Aki Ajir menggali cacing dan mengenakan pada mata kail yang dibuat dari dawai yang dibengkokkan dan diasah matanya.
"Selalunya kalau tidak memancing, Aki buat apa?" tanya Haji Don sebaik sahaja melontarkan mata pancing ke dalam air.
"Ikut musim.  Kalau musim punai, menggetah punai lah.  Kalau musim pelanduk membiak, menjerat pelanduk," kata Aki Ajir. Dia tersenyum, mata kailnya mengena dan dengan pantas menyentap perlahan.  Seekor ikan tembakang sebesar tapak tangan menggelepar mahu melepaskan diri.  "Alhamdulillah," ucapnya lalu ikan itu dimasukkan ke dalam raga bertali itu.  Mulutnya ditutup kemas dan raga itu direndam separuh acup ke dalam air.
"Dapat!" seru Haji Don seronok. Seekor demi seekor ikan tembakang dinaikkan sehinggalah Aki Ajir mengajak pulang.  "Baru dapat sepuluh ekor," kata Haji Don seolah membantah.
"Cukuplah.  Kita tiga beranak, makan seorang seekor sudah cukup. Selebihnya buat pekasam," jelas Aki Ajir.
"Tapi ikan banyak lagi..."
"Itu rezeki orang lain, juga rezeki binatang dalam hutan ini. Usah tamak dan mengambil berlebihan untuk diri sendiri.  Jangan nanti dipersoalkan di akhirat!" ingatan Aki Ajir.
Haji Don menelan air liur.  Dia mendapat ceramah percuma.  

Sabtu, Januari 24, 2015

Pusara Masjid Lama 5


DARI pintu rumah kayu yang lantainya dijalin rotan itu Haji Don merenung sekeliling rumah.  Lantera hari baru muncul, cahaya pagi yang menyapu titis-titis embun di hujung daun-daun.  Suasana begitu bening.  Kesunyian mungkin sudah jadi sebahagian dari suara alam yang bersatu dengan warna-warna kehijauan bertindan tindih.

Dia teringat gemulah ayahnya, Mat Amin.  Orangnya juga bertubuh kecil seperti Aki Ajir.  Hanya dia dan adik beradiknya yang mepat orang itu bertubuh agak tinggi.  Mungkin mewarisi tubuh pada sebelah ibunya.  Mat Amin mencintai kerjanya, membuka ladang-ladang getah dan menyatukan pengurusan kebun-kebun getah orang-orang kampung dalam kelompok.  Dari pembantu naik setakuk demi setakuk dan akhirnya bersara dari Felcra dengan jawatan yang selesa.  Getah sudah mendarah daging dalam hidup Mat Amin. Katanya dia anak pekebun getah, malah datuk neneknya dahulu juga penoreh getah.


"Orang kampung ini ramai, Aki?" tanya Haji Don.  
Aki Ajir yang leka menggunting cengkih terhenti sebentar.  "Dulu kami ke hutan mencari getah perca.  Sekarang tak lagi, tak siapa yang mahu beli.  Kerja kampung untuk mengasap dapur, tanam padi, ubi keladi.  Ke sungai menggagau ikan."
"Getah perca?"
"Tak tahulah bagaimana aki hendak menerangkan pada engkau.  Itu kerja orang dulu.  Mana nak sama dengan orang sekarang," ujar Aki Ajir.

Dia sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh berada di ruang masa ini.  Siapa yang boleh menerangkan?

Jumaat, Januari 23, 2015

Pusara Masjid Lama 4


"Engkau jumpa juga dengan coteh?" tanya seorang wanita yang usianya barang kali hampir sebaya dengan Aki Ajir.  Lelaki tua itu mengangguk, menanggalkan lilit serbannya lalu disangkutkan pada tupai-tupai di tiang seri.
"Coteh?" Haji Don hairan, baru pertama kali mendengar perkataan itu.
"Engkau tu keturunan kami yang ketujuh.  Kiranya kami ini tok warang kamu lah," terang Tok Tiah.
"Bagaimana tu?  selepas saya, ayah. selepas itu tok aki, selepas itu moyang... Selepas moyang, saya tidak tahu apa panggilannya," kata Haji Don terus terang.
Tok Tiah menggeleng beberapa kali.  "Anak Melayu sudah tidak tahu bahasanya..." katanya.
 
Tok Tiah hanya berkain batik dan baju dalam dari kain kapas gelap jahitan tangan yang menutup tubuhnya seperti singlet. Memakai serkup kepala dari kain serban putih yang membalut kepala seperti kopiah tetapi digulung kemas pada bahagian tepinya.  Hanya anak rambut yang sudah memutih kelihatan.  Dia menerangkan satu persatu panggilan susur galur keturunan, "selepas moyang, orang panggil tok moyet, selepas itu tok canggah dan kemudian tok warang.  Kami ini tok warang engkau lah."
"Selepas tok warang?" tanya Haji Don ingin tahu.
"Selepas tok warang, tok wareng, tok anang, tok aneng, tok kerapak dan tok buyut," sambung Aki Ajir.
"Oh begitu, saya kena panggil Tok Warang Ajir lah," ujar Haji Don.
"Ha, Tok Warang Ajir sebaiknya.  Panggil Aki sajalah," balas Aki Ajir tersenyum.
Haji Don mengira dengan jari, sebelas keturunan di atasnya dan Tok Warang Ajir, keturunan yang ke enam di atasnya.  "Tok kata tadi, saya ini coteh?"
Tok Tiah tersenyum.  "Mula-mula anak, cucu, cicit, cuit, gamit, coteh...  Seterusnya selepas coteh, moteh, piang, piut, leka dan beramin."
"Sebelas keturunan," ujar Haji Don membilang dengan jari.  "Soalnya sekarang, bagaimana tok warang masih hidup lagi?"
 
Aki Ajir dan Tok Tiah berpandangan. 

Khamis, Januari 22, 2015

Pusara Masjid Lama 3



SEBENARNYA hati Haji Don membantah tetapi tidak terkeluar dari mulutnya.  Entah tidak sampai hati atau bimbang Aki Ajir terasa hati, Haji Don sendiri tidak pasti.
"Jauh lagi rumahnya, Aki?"
"Depan itu sahaja.  Lepas pokok kerdas itu ada pondok orang menunggu durian.  Tak jauh dari situ lah," kata Aki Ajir.
Haji Don merasakan ketiaknya melekit, basah dek peluh.  Sesekali terpaksa menyinsing kaki jubah kelabunya hingga ke betis bila melangkah salaput dan perdu rumput tebu yang tumbang.
"Inilah pokok kerdas," kata Aki Ajir sambil menpuk batang pokok kerdas itu.  Haji Don mendongak, sudah tua benar pokok itu.  Tinggi dan batangnya menggerutu.  Baunya seakan-akan tandas selepas diguna orang memakan petai atau jering. Apa lagi dalam basah belukar selepas hujan tengah malam tadi.
"Tak tahu pula dalam belukar ini ada kampong," kata Haji Don.  Dia orang sini, lahir di pekan ini juga tetapi sejak remaja sudah mengikut ibubapanya berpindah jauh.  Menjelang usia pencen, isterinya mengajak duduk di pekan ini.  Tempatnya cantik, tenang dan yang paling penting tidak jauh dari Kuala Lumpur.  Senang anak cucu mahu datang menjenguk.
 
"Itu rumah saya," tunjuk Aki Ajir.
Tergamam Haji Don melihat rumah itu.  Seumur hidupnya, dia tidak pernah menemui sebuah rumah yang bertiang tinggi hampir 12 kaki dari atas tanah.  Tiang berlapik batu gunung yang bertarah.  Bertambak dengan tanah dua kaki dari laman.  Ada kurung ayam yang diayam dari buluh.  Malah tarangan ayam bertelur juga dianyam dari buluh.  Sesekali kedengaran kokok ayam halus, seperti kokok ayam hutan bertali-tali.
Aki Ajir mencapai batok dan menceduk air tempayan besar di bancik tangga lalu membasuh kakinya.  Dengan ucapan bismillah, dia mendaki tangga sambil memberi salam.
 
Salamnya berjawab.  Haji Don kesal.  Kenapalah dia beriya mahu menghantar orang tua ini balik selepas bersarapan di gerai Haji Mus tadi.    

Rabu, Januari 21, 2015

Pusara Masjid Lama 2

GERAI itu tak bernama tetapi dipanggil orang Gerai Roti Canai JKR.  Haji Mus yang mengusahakannya pencen JKR.  Selalu pakai t shirt JKR dan sekarang jadi sub-kontraktor kerja-kerja yang berkaitan dnegan JKR.  Inilah satu-satunya gerai yang buka sejak sebelum Subuh lagi, yang lain kedai kopi Cina.  Agaknya orang Melayu semuanya solat Subuh di masjid dahulu, sebab itu mula berniaga lewat.  Walau pun saf solat Subuhlah yang paling kurang jemaahnya selain solat Isya'.
"Aki hendak makan apa?" tanya Haji Don.
"Tak tahulah..."
"Selalunya Aki makan apa?" tanya Haji Don lagi.  Dia teringat pesan gemulah bapaknya, supaya menyantuni orang tua.  Jika ada Jemaah orang tua, jangan baca ayat panjang-panjang.  Pilihlah surah pendek-pendek.  Orang tua tak larat berdiri lama-lama.  Solat pun jangan lama sangat, sedang-sedang saja.  Perut orang tua selalunya berangin.  Susah hendak mengekalkan wudhu.
"Pulut dengan kelapa goreng pun bolehlah," pinta Aki Ajir.
Kali ini Haji Mus pula beralih memandang Haji Don.  Gerainya gerai roti canai.  Tak pernah jual pulut tanak.
"Kami tak ada menu itu, Aki," katanya.
"Menu?  Apa menu?"
Haji Mus menggaru kepala, kopiahnya tersenget sedikit.  "Pulut dengan kelapa tak ada, Aki."
"Habis hendak makan apa? Ubi rebus atau pisang rebus?"
Haji Mus menggeleng lagi.  "Kalau nak lempeng, saya buatkan," katanya.  Menyedari mungkin Aki Ajir datang dari pedalaman.
"Eloklah tu."
"Saya pun sama, Haji Mus," pinta Haji Don.
"Aki hendak minum apa?" tanya Haji Mus.
"Kopi," pinta Haji Don.
"Air jarang," ujar Aki Ajir.
Sekali lagi Haji Mus berpandangan dengan Haji Don.  "Mungkin Aki mahu air suam agaknya."
 
"Aku tak serasi duduk atas kerusi ini," rungut Aki Ajir.  Dia menanggalkan capalnya dan bersila di atas kerusi.  Haji Don hanya tersenyum.  Matanya lebih tertarik kepada capal orang tua itu.  Kelihatan capal berlapik kulit, bertali jut yang sudah hitam.
"Kampung Aki dekat mana?" tanya Haji Don.  Dari tadi siapa orang tua itu masih berlegar-legar di fikirannya.
"Kampung Asam Lenggong."
"Wah, jauhnya!"  Haji Don terkejut.
"Mana pula jauh, jalan kaki sahaja," ujar Aki Ajir mengeluarkan celapa rokok dari ikatan bawah baju gombangnya. 
Haji Don benar-benar keliru!

Selasa, Januari 20, 2015

Pusara Masjid Lama

KETIKA mahu menutup pintu pagar masjid yang bercat hijau dan berkarat itu, Haji Don baru tersedar ada seorang lelaki tua bersandar pada jeriji beranda.  Sudah terlalu tua, tidak berkopiah atau bersongkok tetapi hanya berlilit seban dari kain berwarna merah yang telah pudar namun masih menyerlahkan corak telapuk benang emasnya.  Haji Don tidak pernah melihat lelaki tua yang matanya terpejam dan nafasnya turun naik keletihan itu.  Mungkin tadi menjadi jemaahnya.
"Aki! Aki!" Haji Don menepuk bahu lelaki tua itu perlahan.  Matanya terbuka sedikit dan kemudian kelihatan menelan air liur dari gerakan lemah pada lehernya yang berkedut-kedut itu.
"Maaflah, aku terlelap sekejap. Awak meratib panjang sangat tadi," kata lelaki tua itu.
"Saya Don, imam masjid ini. Aki ini siapa? Datang dari mana?"
"Ajir. Namaku Ajir."
Aki Ajir bangun dengan berpaut pada jeriji beranda.  Dia berkain sarung yang kelihatan telah lusuh tetapi bersih.  Bukan kain pelikat yang berkotak-kotak kecil atau besar tetapi kain sarung yang berwarna biru tua. Hanya satu warna. Baju gombang bersaku dua seperti baju Melayu orang zaman dahulu.  Kini Haji Don terfikir orang tua di hadapannya kini mungkin bukan manusia.
"Aku orang macam kamu juga," kata Aki Ajir seperti dapat membaca fikirannya.
Haji Don terkejut, mungkin raut wajahnya jelas menampakkan apa yang difikirnya. Dia tidak mahu membuat andaian-andaian.  Orang kata masjid lama ini 'keras' namun sepanjang dia menjadi imam di masjid ini, tidak pernah menemui apa-apa yang ganjil. Pernah sekali kedengaran bunyi seperti perempuan meraung ketika dia bertahajud dinihari.  Setelah disiasat rupanya paku atap di perabung tertanggal.  Apabila ditiup angin, bunyinya seperti perempuan meraung.  Segera Pak Siak Bin membetulkannya dan hantu perempuan meraung itu pun lenyaplah.
 
"Aki sudah sarapan?" tanya Haji Don.
"Sarapan?"
"Makan pagi. Sudah makan?"
Aki Ajir menggeleng.
"Marilah naik kereta saya, saya bawa makan pagi," pelawanya.    

Kubur Wanita Beranak Ditelan Bumi - Sinar Harian 13 Jun 2014

Norazizan menunjukkan dua batu nisan asal di kubur dipercayai milik wanita yang mati sebaik melahirkan anak hasil zina dengan anak kandung. Norazizan menunjukkan dua batu nisan asal di kubur dipercayai milik wanita yang mati sebaik melahirkan anak hasil zina dengan anak kandung.
                                                     
   
KUALA KUBU BHARU - Tidak kiralah ia cerita dongeng atau tidak, kisah yang disampaikan dari mulut ke mulut sejak berpuluh tahun lalu di kalangan penduduk setempat tentang sebuah kubur lama di tengah-tengah kawasan perumahan di Kampung Kelapa di sini, ternyata memberi peringatan bahawa azabnya balasan ALLAH SWT.

Pusara tidak bernama lebih 110 tahun itu dikatakan wujud berikutan satu peristiwa yang dikaitkan dengan hubungan terlarang, zina antara ibu dan anak kandungnya.

Ketua Kampung Kuala Kubu Bharu, Norazizan berkata, kubur tersebut dipercayai milik seorang wanita yang mati sebaik melahirkan bayinya.

Bagaimanapun, katanya terdapat dua cerita yang masih belum terungkai berkaitan bagaimana arwah dua beranak itu dikebumikan di kawasan itu.

“Ada cerita beritahu mungkin arwah tak sempat dikebumikan di tanah kubur Ampang Pecah jadi dikebumikan  di sini, dan sebab mengapa tak sempat tu, masih tak tahu. Ada pula cerita mengatakan perempuan tu ditelan bumi sebaik bersalin dan tak sempat diselamatkan. Bayi yang dilahirkan katanya hasil hubungan terlarangnya dengan anak kandung sendiri," katanya.

Cerita Norazizan ini dikuatkan lagi menerusi laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 1904 berkaitan peristiwa kubur tersebut.

Kini, keratan akhbar tersebut berada dalam simpanan Persatuan Sejarah Kuala Kubu (Peskubu).

Laporan akhbar tersebut antara lain menyatakan, telah tersebar cerita pelik melalui sumber masyarakat Melayu mengenai seorang wanita di Kuala Kubu secara misteri telah ditelan atau dirantai oleh tanah akibat dosa dilakukan dan wanita itu sukar dikeluarkan.

Menurut laporan itu lagi, orang ramai yang menyaksikan peristiwa dia ditelan bumi itu berasa simpati dan telah mendirikan atap agar memayunginya daripada kepanasan dan hujan.

Malah, menurut akhbar itu lagi, cerita tersebut telah tersebar luas sehingga penduduk dari Kuala Lumpur sanggup datang ke Kuala Kubu semata-mata untuk menyaksikan lokasi kejadian misteri itu.

Bagaimanapun, Norazizan berkata, selang beberapa tahun kejadian, kubur yang sepatutnya dijadikan peringatan tentang kekuasaan ALLAH itu telah disalah gunakan pihak tidak bertanggungjawab dengan melakukan amalan-amalan khurafat.

"Kubur tu dah dijadikan tempat puja nombor ekor judi oleh sesetengah penduduk," katanya kesal.

Katanya, dua batu nisan yang hilang tidak diketahui semenjak ia dijadikan tempat pemujaan.

“Akibat ada orang buat benda-benda haram dan dosa tu, sejak daripada itu berlaku macam-macam kejadian pelik kepada penduduk kampung antaranya gangguan histeria,” katanya.

Norazizan berkata, ada pihak berminat untuk menjadikan kubur lama tersebut sebagai sebahagian peninggalan sejarah Kuala Kubu.

"Jika benar nak buat, eloklah kajian menyeluruh dijalankan," katanya yang menyokong.

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...