Selasa, November 26, 2013

Sahabat Ayam


Ketika anak OA ini diselamatkan, dia sedang bermain dengan ayam-ayamnya.  Ibubapanya ke hutan mencari rezeki.  Hutan adalah segala-galanya.  Rumah, jika orang Melayu memanggilnya pondok ditinggalkan.  Jika kita ke perkampungan OA, adalah biasa menemui sebuah kampung yang kosong tidak berorang.  Hanya anak inilah yang tinggal.  Kadang-kadang seharian.  Makanlah apa yang ada.  Pisang atau ubi bakar.  Jagung atau buah-buahan lain.  Dan dia bermain dengan ayam-ayamnya.  Itulah sahabat yang lebih memahami.  Tidak banyak kerenah seperti manusia.  Kadang-kadang lebih selesa berada di kurungan ayam-ayamnya.  Begitulah, ketika diselamatkan dia bersama ayam-ayamnya.  Dia diambil dari ibubapanya, dibawa ke sebuah tempat yang menghimpunkan anak-anak juga orang-orang sepertinya.  Dimandikan, dipakaikan baju seluar yang bersih.  Dan pertama kali juga mendapat katilnya sendiri.  Dia kesunyian kerana ayam-ayamnya tiada lagi.  Dia tidak pandai menyatakan, hanya dengan berbahasa ayam.  Berketuk seperti ayam dan menjelang fajar menyising, dia berkokok seperti ayam.  Para penjaga di biliknya itu mengalirkan air mata melihatnya.

Isnin, November 04, 2013

Agama dan Bangsa Dadah


SESEORANG melaung memanggil.  Rupanya bekas jagaan ketika bekerja di agensi pemulihan dadah suatu masa dahulu.  "Minum, encik.  Saya belanja," katanya ketika kami bersalam.  Oh, saya berpuasa di penghujung Hijrah.  Kami berbual tentang dadah dan penagihan.  Dia sudah bertahan tidak jatuh enam tahun selepas jatuh dua tiga kali.  Kini anak sulungnya sudah ke matrikulasi dan yang bongsu akan ke Tingkatan Satu tahun hadapan.  Dadah dan penagihan jarang-jarang saya sentuh sama ada di blog, facebook mahu pun dalam novel dan cerpen.  Ia sesuatu yang kompleks, bukan sahaja scenario pengedaran dadah di Negara ini, juga tingkahlaku dan psikososial penagih itu sendiri.

Apabila terlibat dengan dadah, seseorang yang kita kenali dengan agamanya dan keturunan bangsanya telah berubah kepada agama dan bangsa baru.  Dadah.  Untuk mengubahnya, bukan mengubah dengan pendekatan kekerasan dan hukuman sahaja - juga perlu mengubah keseluruhan budaya hidupnya itu.  Itulah hakikat yang masyarakat tak ingin tahu.

Ucap saya kepada bekas jagaan itu, "jika rasa ingin jatuh, cari tempat berpaut dengan segera."

Jumaat, November 01, 2013

Merindui Masa Silam


 
Ia sekeping gambar yang berbingkai di dinding.  Sesiapa yang datang ke kedainya akan merenung, menggeleng beberapa kali sebelum bertanya tentang gambar itu.  Loke dengan senang hati akan bercerita, "orang Melayu dulu-dulu pandai berburu.  Itu gambar seladang, entah berapa pikul beratnya..."  "Pikul?" Tanya si bertanya tadi.  Pikul merupakan satu ukuran zaman silam.  Loke mewarisi kedai gambar itu dari bapanya.  Bapanya mewarisi dari bapanya juga.  Bapa kepada bapanya juga mewarisi dari bapa juga.  Ia kedai bapa-bapa, perakam sejarah pecan dan kampong-kampong sekitar pekan itu.  Loke melihat pekan itu hidup.  Kanak-kanak membesar dan kemudian pergi.  Ada yang pulang sesekali, ada yang pulang selepas bersara dan ada yang tidak pulang-pulang terus.  Ada yang berada dalam negeri, ada yang sudah hidup sejauh benua yang berlainan.  Hidup adalah satu perjalanan, dari satu perhentian ke perhentian yang lain sehinggalah mencapai perhentian yang terakhir.  Tak siapa pasti di manakah titik perhentian itu nanti.  Seperti sang seladang yang rebah di kaki bukit.  Begitulah insan yang akan rebah bila sampai ketikanya.  

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...