Isnin, Oktober 22, 2012

JOM BACA


 
Ketika saya pada usia putik, masih berseluar pendek biru dan berbaju putih dengan lencana besi, perpustakaan bukan namanya seperti sekarang, pusat sumber.  Sebaliknya masih dipanggil khutub khanah.  Ia sebuah bilik kecil, hanya sepertiga kelas di tingkat atas bangunan sekolah kami, Sekolah Kebangsaan Dato’ Manan.  Hanya dua rak, kiri dan kanan menghimpit dinding dengan buku-buku yang sudah kekuningan warnanya.  Saya gemar ke khutub khanah itu dengan harapan besar selain dari membaca, berharap-harap dapat dilantik menjadi pengawas khutub khanah.  Tentu sahaja banyak kelebihannya, boleh membaca buku apa yang kita mahu tanpa had waktu pinjaman ketika bertugas.  Malangnya hanya tinggal harapan.  Kegemaran saya yang satu itu tidak pernah padam.  Pada usia putik saya telah habis membaca Hikayat Hang Tuah, Siri Hadi yang diterjemahkan dari Hardy’s Boys dan beberapa buku lain yang dipinjam dari khutub khanah itu. 

Membaca merupakan satu pelarian ketika itu.  Hidup pada zaman yang serba kekurangan.  Apabila membaca, seumpama kita sedang berada di dalam dunia yang lain.  Mengembara ke Parsi dalam Hikayat Seribu Satu Malam, menemui Aladdin dan lampu ajaibnya.  Atau berada di Pergunungan Alps seperti dalam Heidi.  Juga seolah sedang meluncur ais di Gunung Fuji atau menyelam menikmati keindahan batu karang di Andaman.  Semuanya seolah dapat dicapai dalam membaca yang keseronokannya melangkaui batas sempadan diri yang sangat terhad.  Oh, dunia rupanya berada dalam baris-baris perkataan dari setiap helai ke helai yang lain hingga ke penghujung.  Sehingga kini saya terus membaca dan memburu buku.  Anggaran belian buku mencapai ribuan ringgit setahun dan mengisi rak-rak di rumah  menutup dinding.  Saya membaca secara tegar, sebuah buku pasti akan dapat dihabiskan dalam seminggu dan kadang-kala membaca beberapa buah buku serentak. 

Beberapa ingatan dalam menggalakkan budaya membaca, pertama bacalah apa yang kita suka, novel, komik atau majalah humor.  Ada ibubapa yang marah anaknya membaca Doraemon atau Naruto, saya sebaliknya menggalakkan anak saya membaca kedua jenis komik ini.  Dari membaca komiklah saya berkembang menjadi pembaca tegar sekarang.  Ketika saya kecil siri Toyol lukisan Raja Hamzah dan Keluarga Si Mamat karya Lat menjadi bacaan wajib.  Kemudian barulah muncul komik siri pendekar karya Shaari AB, Bujal dan Salina, Gila-gila dan Ujang.  Kini saya cemburu dengan kemunculan majalah manga yang pelbagai di pasaran, juga siri pendekar karya Tony Wong yang sirinya menjangkau ratusan.  Semua pembaca bermula dari yang ringan, seperti para ibu yang menggilai Wanita dan Harmoni yang kemudian berlaih kepada novel-novel.  Akhirnya kita akan terus mencari bahan bacaan yang mencabar minda.

Ingatan kedua, membaca menjadikan fikiran kita tajam dan bernyawa.  Boleh menganalisis sesuatu dengan fikiran yang kritis.  Manusia akan terus bernyawa jika kita berfikir.  Hidup tanpa berfikir, menjadikan kita cepat mati.  Bukan jasad yang mati tetapi hati dan taakulan.  Otak kita lebih berkuasa dari seribu komputer, jika di isi.  Jika sebaliknya, martabat kita tentu jatuh lebih rendah dari sebuah mesin.

Kini kempen membaca sering diadakan dan budaya membaca sedang berkembang luas.  Buku boleh diperolehi di mana-mana, asalkan kita mahu.  Walau pun bersaing dengan internet, buku tidak pernah mati.  Kedai buku bertaraf antarabangsa dengan pakej buku yang menarik – kulit keras, instrulasi comel, kertas bermutu dan tulisan sesuai dengan mata.  Membuatkan buku itu sukar untuk dilepaskan.   Malah ramai yang menyimpan, menjadikannya koleksi.  Saya ada seorang kawan yang masih menyimpan siri kisah hantu karya Tamar Jalis yang kini tidak boleh didapati di mana-mana.  Katanya, kalau ada orang mahu menghulurkan seribu pun, dia perlu fikir beberapa kali.
Rakyat Malaysia hanya membaca dua buku setahun pada saya mungkin mitos, mungkin juga ada benarnya.  Tetapi apabila melihat jumlah manusia yang mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, yang jauh mengatasi perhimpunan UMNO atau PC Fair – saya fikir kenyataan itu silap.  Anak muda, generasi baru Malaysia sentiasa dahagakan buku, malah penerbit buku baru tidak menang tangan menanganinya.  Buku akan terus hidup dan dibaca sampai bila-bila.

Jumaat, Oktober 12, 2012

PAHIT YANG DITELAN

MEMBACA beberapa luahan perasaan ibubapa yang mempunyai anak OKU cerebal palsi amat meruntun jiwa.  Seorang bapa yang berpendapatan lebih RM3000 dan isterinya tidak bekerja dinafikan sebarang bantuan kewangan kerana had pendapatannya mengekang dalam SOP.  Sang bapa yang tabah membesaran seorang anak OKU CP dan beberapa orang anak normal yang lain bertahun-tahun.  Tidak pernah merungut tetapi dari raut wajahnya terungkap keluh kesah yang tertahan lama.  Sepasang sahabat yang lain sedang menimbang untuk berhenti kerja, penjagaan anak OKU yang mendesak dan pada yang sama tuntutan hidup juga mendesak.  Ya, mungkin sudah sampai ketikanya pendapatan seorang pencari nafkah ditafsirkan terendah jika mampu membiayai seluruh isi rumah.  Teringat saya kisah seorang sahabat bernama Nathan.  Juruteknik rendah sebuah syarikat swasta.  Anak sulungnya OKU CP dan kini sudah mencecah 17 tahun usia.  Ada tiga lagi adik beradik yang masih bersekolah.  Ibu tidak mungkin dapat bekerja dan mereka menghuni sebuah rumah sewa, rumah murah yang paling asas.  Desakan hidup membuatkan tiga beradik yang lain tidak menikmati keistimewaan seperti rakan-rakan yang lain.  Tiada rombongan sekolah, tuisyen atau playstation mahu pun game.  Anak-anak orang kaya sahaja kah yang ceberal palsi?


DUNIA sudah berubah.  Nilai RM3000 sekarang tidaklah sama dengan nilai suatu ketika dulu akibat penyusutan matawang dan inflasi.  Dahulu pada tahun 1992 dengan RM3000 boleh meminang anak dara orang berkelulusan universiti.  Kini sediakan lah RM18000 serba satu.  Bermakna sudah ada kenaikan 6 kali ganda dalam tempoh 20 tahun.  Jumlah OKU yang tidaklah ramai, sekitar 0.5% dari keseluruhan penduduk dan dengan kemewahan kerajaan kini, saya kira adalah wajar pemberian bantuan diberi tanpa mengira latarbelakang dan sosio ekonomi.  Lagi pun siapa yang mahu menjadi OKU?

Selasa, Oktober 02, 2012

Tidak Berani Bermimpi


Dewasa nanti mahu jadi apa?  Dan jawapannya seolah-olah menghiris sekeping hati ini - bawa lori.  Ya Allah, masih adakah kanak-kanak yang melalui hari-hari suram sebagaimana yang kami lalui suatu masa dahulu.  Tidak berani bermimpi.

Masih saya ingat saban pagi bapak akan mengejutkan saya dan menggesa mandi di kolam yang airnya cukup sejuk.  Bapak menimba air cukup-cukup dua baldi dan saya akan mandi di pelantar.  Takut lemas di dalam kolam, bapak cukup bimbang dan mengawasi dengan sepenuh hati.  Sejujurnya saya tidak tahu kenapa saya mesti ke sekolah.  Atau sekolah lebih kepada seronok berkawan mungkin.  Ketika cikgu tanya tentang cita-cita - kami tak tahu apa yang harus dinyatakan.  Jika seorang memulakan dengan askar, dua tiga orang yang lain akan mengikut.  Ada yang mahu jadi askar, jadi polis dan jadi cikgu.  Itu saja lah kerjaya yang kami nampak di sekitar kampung kami.  Seingat kami, tiada siapa yang mahu menjadi penanam padi, pengait kelapa atau pengopek kelapa.  Sedang itulah pekerjaan bapa-bapa kami termasuk bapak.

Sekarang dalam realiti kini, masih ada kanak-kanak rupanya yang tidak berani bermimpi.  Ke sekolah tanpa kesedaran impian masa hadapan seolah membiarkan hari-hari berlalu.  Anak ini sedar siapa ibunya, tanpa pelajaran dan ibu tunggal yang ditinggalkan.  Sesuap nasi hari ini amat berharga sedang masa hadapan hanya sekadar penantian yang tiada ketentuan.  Ketika ini saya merindui sebuah negara Islam yang sebenar.  Seorang lelaki tidak boleh meninggalkan tanggungjawabnya sewenang sedang dia wali yang bertanggungjawab kepada Allah sepanjang hayatnya.  Bukankah kerosakan yang berlaku ini disebabkan tangan-tangan manusia yang meremehkan undang-undang ciptaan manusia, yang gagal menangani masalah hingga ke akar umbinya.  Sedang undang-undang bersandarkan kitab Allah telah tersedia...  Maha Suci Allah, Tuhan Yang Maha Pengampun.  Kepada Mu kami berlindung dari kejahatan manusia, jin dan syaitan.

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...