Isnin, September 24, 2012

Menjadi Penulis


KAMI berbual santai sambil memandang ke arah taman terbuka Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu.  Sahabat, sudah lama saya kenali.  Sejak mula berkhidmat selepas beberapa bulan tanpa tujuan.  Malah selepas saya menetap di Kuala Kubu Bharu yang ketika itu begitu terpencil, jauh dari kesibukan dan masih ada rasa cengkaman ancaman komunis dengan persekitaran hutan dan Kem Eskine yang menjadi base camp Rejimen ke 22 Komando.  Sahabat amat terkejut bila mengetahui saya sudah menulis 11 buah novel kanak-kanak dan sedang menyelesaikan novel dewasa ke 5.  Watak saya pada pandangannya hanyalah watak biasa-biasa.  Banyak idea tetapi lebih senang memendamkan dari menggunakannya untuk kepentingan jabatan.

Itulah penulis, kritis fikirannya bukan terus diluahkan dihujung lidah tetapi diteliti dihujung hati.  Dan saya beri peringatan kepada Sahabat, mungkin perbualan ini akan saya cerna menjadi hasil tulisan juga.  Sahabat nampaknya tidak kisah - aku banyak cerita tetapi tak tahu bagaimana mahu menulis, katanya.  Ya Sahabat memang banyak cerita.  Selalu mengendalikan berbagai kursus untuk pegawai dan klien jabatan tentunya kena banyak modal.  Modal untuk menyenangkan hati pendengar dan juga untuk mengelakkan mengantuk.  Usah hanya ambil cuplikan dari buku modul birotatanegara yang sudah lapuk modulnya.  Cerita harus sentiasa segar dan hidup, itu lah rahsianya...

Setiap dari diri kita boleh menjadi penulis.  Petani boleh saja menulis tentang padi, sawah dan burung ciak.  Penulis muda sekarang yang lahir dan tinggal di bandar besar tentu tidak boleh membezakan burung pucung dengan burung wak-wak...  Tentu tak boleh membezakan antara sarang tempua dan sarang belatuk.  Sebaliknya petani lebih handal dengan kehidupan di desa.  Pelaut boleh sahaja menulis tentang ombak.  Ombak di tengah laut tentu berbeza dengan ombak di beting pasir.  Kilauan cahaya mentari yang jatuh di air tenang tentu sahaja tidak serupa dengan air pasang.  Begitu lah, setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.  Tentu sahaja modal kehidupan ini boleh dijadikan untuk hasil tulisan anda yang pertama.  Sahabat, mulakan lah.

Khamis, September 20, 2012

Ke Mana Selepas PDK?

 
 
 
PDK, Pemulihan Dalam Komuniti mempunyai sejarah yang panjang.  Bermula di Batu Rakit, Trengganu dan kini hampir seluruh pelusuk negara mempunyai sebuah PDK untuk sesebuah kawasan sesuai dengan keperluan anak-anak OKU mendapat pendidikan berterusan.  Kejayaannya tidak diragui walau pun setitik dua noda berlaku.  Seingat saya, Along mula hadir di PDK Kuala Kubu Bharu yang ketika itu dikelolakan BAKIS, Badan Kebajikan Anak-anak Istimewa Selangor sejak berumur 4 tahun.  Tidak lama kemudian PDK tersebut diambil alih sepenuhnya oleh JKM walau pun ketika itu ibubapa lebih ramai yang mahukan kekal di bawah BAKIS yang kemudian menumpukan kepada grouphome kepada OKU yang lebih dewasa.  Sekarang, saya rasa BAKIS telah dibubarkan.  Kini usia Along telah pun 18 tahun.

Baru-baru ini seorang OKU yang dahulu juga ke PDK tetapi sejak akhir-akhir ini tidak menjejak kaki lagi ke PDK telah kembali ke negeri abadi.  Dia kembali dalam usia 40 tahun, OKU celebral palsi dan akhir hayatnya terlantar di atas katil.  Peristiwa ini menjadikan saya berfikir berhari-hari.  Apakah nasib Along kemudian hari kelak?  Bagaimana nanti jika kami yang pergi dahulu sedang dia memerlukan seseorang untuk meneruskan hidup?  Bagi setiap ibubapa OKU, inilah soalan yang tiada jawapan, yang tergiang di fikiran setiap kali selepas solat lima waktu.

Saya bertemu seorang pesara yang dahulunya berkhidmat dengan JKM.  Masih sihat dengan pendangan yang kritis.  Dia seperti saya mengakui bahawa anak-anak PDK tidak punya hala tuju selepas meningkat dewasa.  Diketahui umum, had umur mendapatkan khidmat PDK sehingga berumur 18 tahun tetapi kini ada berapa ramai OKU dewasa ini berada dalam PDK dengan latihan zaman kanak-kanak?  Saya katakan pada sahabat pesara itu, sudah sampai masanya JKM membuat kajian dengan bantuan khidmat pakar untuk modul pembangunan OKU selepas tamatnya latihan di PDK.  Saya dan saya fikir majoriti ibubapa amat mengharapkan perkara ini terjadi. 

Sabtu, September 08, 2012

1930


Sekolah ketika itu hanyalah seperti tempat permainan baru.  Kenapa ke sekolah, sebab bapa suruh atau mungkin jika tidak ke sekolah terpaksa menolong bapa di sawah.  Saya sedang menulis kisah tahun-tahun yang mencabar 1930 sehingga 1945.  Gambar-gambar seperti di atas amat menggugah jiwa...

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...