Rabu, Februari 29, 2012

Menulis Untuk Kanak-kanak


SEORANG penulis muda, saya juga masih dikatogerikan penulis muda walau pun umur sudah menganjak ke arah berusia...  Penulis muda tersebut meminta saya memberi tips bagaimana menulis untuk kanak-kanak...  Kita bincangkan dan saya fikir pembaca boleh berkongsi pengalaman di ruangan ulasan catatan ini.  Saya hanya ingin berkongsi bagaimana mahu mendapat semangat untuk menulis novel atau cerpen untuk kanak-kanak.
1.  Saya sering memulakan menulis dengan duduk di perpustakaan awam, di bahagian khas untuk kanak-kanak.  Banyak novel kanak-kanak yang bermutu boleh dijadikan rujukan di situ.  Juga kebisingan kanak-kanak yang membaca, juga mengeja, boleh menjadi hasil tulisan yang hidup kepada watak-watak.
2.  Saya juga menulis di rumah dalam kebisingan anak bongsu saya, yang digelar neneknya Tok Minah Radio.  Ada sahaja omelan dan keletahnya yang mengusik hati.  Kadang-kadang saya menulis di meja makan dan Tok Minah Radio bermain di kaki saya di bawah meja.
3.  Beberapa penulis tersohor novel kanak-kanak sering menjadi rujukan seperti Ali Majod, Shahidan Mohd Noh, Ismail Sarbini, Othman Puteh dan lain-lain yang saya tak sebutkan.  Jika penulis luar negara, Enid Blyton lah yang novelnya sentiasa hidup sepanjang zaman.
4.  Dunia kanak-kanak bagi saya satu dunia yang menarik - tiada masalah, semuanya berkemungkinan dan penuh dengan imiginasi.  Kata seorang kawan, untuk merasa bahagia, jangan buang dunia kanak-kanak itu dari sebahagian hidup kita.
Dan kini, penulisan novel kanak-kanak semakin mencabar apabila saya mula ditugaskan di bahagian kanak-kanak...  Saya harap akan menulis isu kanak-kanak dalam menghadapi cabaran masakini.

Isnin, Februari 20, 2012

Cerita Kajol


Semalam sehari suntuk di perkampungan Orang Asli Pos Menson, Cameron Highlands.  Melihat hiburan menjadi media penghubung antara pemimpin dan masyarakat orang kita ini.  Untuk meramaikan, memenuhkan tanah lapang di Kg Leryar, Kajol dan pemuzik Kumpulan Jermol dari Gua Musang jadi penghiburnya.  Kajol umpama Siti Nurhaliza, selepas Kajol menyanyi berkerumun peminatnya meminta autograf.  Gambar Kajol di bawah


Apa pun mungkin kena berfikir diluar kotak, untuk membangunkan atau menolong Orang Asli bukanlah begitu-begitu sahaja.  Perlu ada pegawai pertanian khas untuk memajukan sumber makanan Orang Asli.  Waktu belajar sejarah sekolah kebangsaan, kita tahu Orang Asli mengamalkan tanaman pindah.  Menanam jagung, padi huma, sekoi, keledek dan sebagainya.  Pengembangan sumber makanan itulah yang paling utama dan tidaklah terlalu bergantung kepada pekerjaan di kebun Cina yang kini turut direbut pekerja asing lain.  Juga diperlukan sebuah pusat kebudayaan seperti di luar negara - Orang Asli boleh membuat pertunjukan budaya dan bas-bas pelancong yang datang ke Cameron Highlands pasti bermurah hati membayar sejumlah saguhati.  Produk kraf, hasil hutan dan orkid pasti boleh dijual.  Ah, berfikirlah di luar kotak.

Rabu, Februari 08, 2012

Tiba-tiba Aku Ingin menulis Puisi



Tiba-tiba aku ingin menulis puisi
tentang hati yang duka
dan rasa yang luka
melihat dunia, benarkah dunia sentiasa mencabar?
dan mejaku bagai hilang arah tujuan
tentang insan yang sentiasa mengejar
kesempurnaan hidup dengan nilai ringgit
Sahabat, lihatlah di google atau yahoo
tentang orang dari Barat yang meninggalkan fungsi dollar
lansung tidak lagi menggenggam wang atau mengunjungi bank sepanjang hayat
wang itu ranjau hayat
wang itu perintang persaudaraan
Sahabat, ketika celik mata kala fajar hari
tanyalah diri siapa tuhanmu hari ini
Allah yang Esa atau ringgitmu!

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...