Sabtu, November 19, 2011

Tengkujuh



TENGKUJUH telah kembali.  Hujan di tanah tinggi ini tali temali, bersambung dari tengahari, lanjut ke petang dan sampai tengah malam.  Kadang kala langit cerah, cahaya mentari menyilau tetapi hujan renyai bagai debu berguguran.  Seperti embun jantan pada awal dinihari.

Ketika ini aku teringat kampung halaman di Tanjong Karang.  Ketika kami kecil, cuti sekolah dan musim hujan seiring dan sejalan.  Keseronokan cuti sekolah kadang kala terbantut dek hujan yang berpanjangan.  Selalunya kami berkumpul di bawah rumah, tak kira lah rumah siapa asalkan ada tanah berlubang-lubang, sejenis serangga di panggil orong-orong jadi permainan.  Atau labah-labah hitam jadi taruhan berlaga.  Jika hujan renyai dan air parit naik, banyak aktiviti lain yang menyeronokkan seperti bermain kapal layar, badan kapal dari tempurung kelapa dan layarnya dari daun keladi.  Abang-abang yang lebih besar bermain rakit batang pisang dan adik yang kecil terpaksa merengek atau mengugut akan beritahu emak untuk dapat naik.

Ketika musim tengkujuh juga, perut bagai sentiasa mahu diisi.  Masakan berasaskan ubi paling utama kerana pokok ubi akan dicabut sebelum di tenggelami air.  Ubi rebus, pengat (olak) ubi, ubi ketuk, ubi goreng...  Sampaikan makan pun ubi masak lemak. 

Musim tengkujuh, memang kami rindukan bau ubi rebus cicah sambal ikan bilis atau ikan masin...

Jumaat, November 11, 2011

Membaca Pruf dengan Air Mata

Sayang Sofiah, novel kanak-kanak yang ku tulis beberapa tahun lalu akhirnya terbit juga. Kisah kanak-kanak istimewa di kelas pendidikan khas yang terpaksa melalui ragam orang sekeliling yang tidak prihatin. Rasa sebak membaca kembali...
Published with Blogger-droid v1.7.4

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...