Rabu, Ogos 17, 2011

Kabus di Perbukitan : Ampang Pecah


Ruang solat utama Masjid Al Hidayah Ampang Pecah

AMPANG PECAH, nama itu tidak asing lagi di Kuala Kubu Bharu.  Sebenarnya Ampang Pecah wujud sejak tahun-tahun awal Kuala Kubu kerana Ampang Pecah itulah Kuala Kubu Lama.  Kuala Kubu yang asal ketika Ulu Selangor ketika itu dimiliki oleh Pahang.  Ia sebuah pekan kecil dengan sebuah bukit kecil menjadi pusat pentadbiran.  Di bahagian belakang, terdapat jalan kereta api yang dibuat ketika pemerintahan Inggeris awal, yang kini menjadi jalan utama di Kampung Kelapa dan Kampung Dagang Setia.  Asalnya alamat Kampung Kelapa adalah Jalan Keretapi Lama.

Jika anda ke Kuala Kubu Bharu, singgah lah ke Ampang Pecah.  Tiada ampang kini.  Yang kekal hingga sekarang adalah Masjid Lama Al Hidayah, sebuah masjid alama yang pada tahun-tahun 1990 an hanya rangka.  Masjid itu ada sejarahnya sendiri.  Di belakang masjid, berhampiran mihrab, di bahagian luar ada sebuah kubur lama dengan batu nisan ukiran Aceh.  Milik penghulu asal Kuala Kubu Lama.  Pada tahun-tahun 1990, rangka masjid yang tinggal dinding batu dan kubah empat seginya mahu dirobohkan untuk pembangunan.  Jentolak gagal masuk ke kawasan masjid, enjinnya mati sendiri.  Setelah dibaiki dan dicuba berulang kali - tetap gagal.  Akhirnya masjid itu dibaiki dan digunakan semula seperti sekarang walau pun tidak digunakan untuk solat Jumaat.

Di sinilah kisah Cecil Renking, pegawai daerah yang pertama cuba meletupkan ampang pecah untuk membunuh buaya keramat dan akhirnya menjadikan Kuala Kubu Lama karam.  Kisah ini digarap oleh Sasterawan Shahrom Hussain dalam tajuk karya Korban Kuala Kubu Karam.  Saya tidak pernah melihat mahu pun membaca karya itu.  Kisah-kisah ini diceritakan dari mulut ke mulut oleh orang-orang tua di Kuala Kubu Baru dan kebanyakan dari mereka sudah kembali ke rahmatullah (semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka).  waris Penghulu Garang Ishak, penghulu asal Kuala Kubu Lama juga sudah tidak menetap di sini.

Kabus di Perbukitan merakamkan kembali kisah ini, kisah keagungan zaman silam.  Setiap daerah punya sejarah sendiri, punya keistimewaan sendiri.  Saya berharap sebagai anak Malaysia yang mencintai negara ini, gali lah kembali sejarah tempat tinggal anda - agar anda akan lebih menyayangi negara ini.

Untuk pelajar yang ingin mengutarakan soalan berhubung Kabus di Perbukitan, gunakan email saya - telaga_emas@yahoo.com.  Insya Allah saya akan membantu apa yang terdaya.

Isnin, Ogos 15, 2011

Video Dedah Isi Kaabah - KOSMO

Video dedah isi Kaabah




LEBIH dua juta umat Islam melakukan tawaf pada musim haji.


SELAMA beratus-ratus tahun, soalan apa ada di dalam Kaabah menjadi misteri kepada berjuta-juta umat Islam yang melakukan tawaf mengelilingi ‘Rumah Allah’ itu. Hanya golongan diraja Arab Saudi, pemimpin negara Islam dan orang tertentu dibenarkan memasukinya terutama semasa acara mencuci Kaabah yang dilakukan setahun sekali.



Bagaimanapun, pada tahun 2009 masyarakat dunia dapat menyaksikan rahsia Kaabah menerusi sebuah klip video yang dimuat naik ke dalam YouTube. Rakaman video selama lebih empat minit itu didakwa adalah yang pertama seumpamanya yang boleh ditonton oleh orang ramai.



Sebelum ini, keadaan di dalam bangunan batu yang terletak di dalam Masjidil Haram di Mekah itu sekadar digambarkan dan diceritakan dari mulut ke mulut.



Paparan di dalam video itu hampir menyamai cerita seorang wartawan dari Singapura, Ahmad Mohd. Don. Menurut beliau, keadaan di dalam Kaabah itu gelap. Tidak ada sebarang lampu. Satu-satunya cahaya yang menerangi bahagian dalam Kaabah itu datangnya dari pintu Kaabah yang terbuka.



“Asap kemenyan memenuhi ruang dalam Kaabah itu. Lantainya pula dibasahi air mawar yang mengeluarkan bau semerbak,” kata beliau yang mendapat peluang memasuki Kaabah semasa menunaikan haji di Mekah pada 8 September 1983 atas undangan khas kerajaan Arab Saudi.





VIDEO selama lebih empat minit ini boleh ditonton di YouTube.

Dinding



Tambah Ahmad, hampir di setiap bahagian dinding Kaabah itu, para undangan menunaikan sembahyang sunat dengan khusyuk.



Mereka menghadap tiap bahagian dinding Kaabah. Lantai Kaabah dibuat daripada marmar putih. Begitu juga dindingnya. Pada satu bahagian dinding itu, kelihatan ukiran ayat-ayat suci.



“Terdapat beberapa batang tiang di dalam Kaabah. Besar tiang itu kira-kira satu pemeluk. Pada satu bahagian dinding itu disalut dengan kayu yang berukiran. Mungkin ukiran ayat-ayat suci al-Quran.



“Terdapat juga para yang di atasnya diletakkan beberapa buah cerek yang kelihatan diperbuat daripada tembaga.



“Tidak saya ketahui apakah yang ada dalam cerek itu. Berkemungkinan besar ia berisi air mawar yang digunakan untuk mencuci bahagian dalam Kaabah,” katanya yang cuma menghabiskan masa selama lapan minit di dalamnya bagi memberi peluang kepada tetamu lain yang menunggu giliran untuk memasuki Kaabah.



Pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah menjelaskan bahawa tiada apa-apa sekatan dari sudut agama untuk membuat rakaman gambar atau video di dalam Kaabah.



Bahkan, jelas beliau, undang-udang baharu oleh pihak berkuasa Arab Saudi turut membenarkan penggunaan kamera di kawasan Masjidil Haram. Sebelum ini undang-undang negara itu melarang penggunaan alat elektronik tersebut di kawasan Kaabah.



Tambah Daud, orang awam berpeluang memasukinya semasa lawatan pemimpin Arab Saudi mahupun pemimpin negara Islam lain ke Masjidil Haram.



“Pintu Kaabah akan dibuka semasa lawatan pembesar dan juga ketika hari pertukaran kain Kaabah menjelang Hari Raya Aidiladha,” katanya kepada Jurnal.



Daud turut menyangkal dakwaan dan cerita yang menyatakan orang yang mendongak ke bumbung Kaabah selepas memasukinya boleh ditimpa musibah.



Menurut Daud, orang ramai juga boleh melihat replika Kaabah di Muzium Islam Hudaibiyah, Mekah. Ia menyerupai isi kandungan sebenar di dalam Kaabah termasuklah tiga batang tiang dan hiasan ayat-ayat al-Quran.





PINTU Kaabah yang seberat lapan tan diperbuat daripada emas tulen.

Kunci



Hanya terdapat sebuah pintu untuk memasuki Kaabah dan ia dikatakan diperbuat daripada emas tulen seberat lapan tan (8,000 kilogram).



Pintu Kaabah itu pula hanya boleh dibuka oleh pemegang kunci dari Bani Syaibah. Menurut sejarah Islam, apabila Nabi Muhammad SAW meninggalkan Mekah kerana berhijrah ke Madinah, Mekah dikuasai oleh Bani Syaibah.



Pada tahun ketujuh Hijrah, berlaku perang pembukaan kota Mekah yang dimenangi tentera Islam. Berikutan itu, Saidina Ali diarahkan supaya mengambil kunci itu daripada Bani Syaibah, malangnya pintu Kaabah tidak dapat dibuka walaupun menggunakan anak kunci yang sama.



Anak kunci itu kemudian dipulangkan kepada Bani Syaibah atas perintah Allah menerusi ayat 58, surah An-Nisa’ yang mafhumnya, ‘Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya’.



Pada masa itu, Bani Syaibah belum memeluk Islam. Tindakan Rasullulah memulangkan semula kunci Kaabah itu telah membuka hati ketua Bani Syaibah untuk memeluk Islam diikuti semua pengikutnya.



Keturunan Bani Syaibah telah diamanahkan untuk memegang kunci Kaabah sehingga hari ini.


Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...