Ahad, Julai 31, 2011

Esok Ramadan

Biarlah kita kenali dia dengan nama Cik Mat.  Mat, singkatan Muhamad punya maksud yang sungguh besar, sebesar namanya.  Hidup Cik Mat sederhana, kerja dalam perkhidmaan awam dan secara dasarnya Cik Mat penyokong kepada kerajaan on the day.  Biar apa orang lain kata, staf yang muda-muda, yang belajar universiti, yang cenderung ke arah kiri - Cik Mat apa peduli.  Baginya, dunia adalah waktu pejabat, selepas pejabat - untuk menambah pendapatan, Cik Mat ada buat katering kecil-kecilan.  Cukuplah untuk menyara keluarga, menyekolahkan anak dan berkereta second hand.  Hidup baginya mudah.  Tiba-tiba pada usia menjelang penghujung setengah abad, Cik Mat seolah-olah baru terjaga dari lena.  Untuk apa hidup ini?  Cik Mat tak dapat menggambarkan apa yang dicari selama ini - kekayaan?  Dia sudah sampai ke hujung, sampai bila-bila tak mungkin dapat mencapainya.  Berjuang dengan sesuatu sebab?  Pejuang sepatutnya bermula pada usia paling muda, 15, 21 tahun, walau masih terikat kepada ibubapa tetapi itulah umur paling mendidih untuk menjadi pejuang.  Nama?  Kemasyuran?  Terlalu jauh untuk dicapai, Cik Mat tahu - orang sanggup buat apa sahaja untuk itu, seperti budak-budak AF atau pun yang tua-tua tak sedar diri yang mencuba Kilauan Emas.  Dan akhirnya Cik Mat sedar dunia, segala-galanya dunia sudah semakin ditinggalkan.  Dia sudah membeli rumah, dengan harapan bila dia sudah tiada, ada tempat untuk anak isterinya bernaung.  ada sikit simpanan, mana tahu ada yang mahu menyambung pelajaran.  Masuk ahli khairat kematian, dengan harapan jenazahnya kelak sempurna diuruskan.  Tetapi semua itu persediaan untuk orang yang ditinggalkan, supaya tidak susah hidup mereka kelak.  Dan dia tertanya-tanya, apakah pula bekal yang akan dibawanya mengadap Yang Maha Esa?  Cik Mat benar-benar terasa kecilnya diri, bagai hama...  Esok Ramadan.  Dia mahu beribadat, tidak mahu lagi mendengar berita TV.  Apatah lagi berita untuk mengekalkan legasi...  Matapelajaran baru...  Bla bla bla...  Esok Ramadan, hentikanlah sembang dunia yang penuh dengan fitnah dan kepentingan.

Khamis, Julai 21, 2011

Pelangi



“Di sini akhirnya perjalanan hidup saya,” ujar Datuk Hassan pada Halim suatu pagi ketika mereka berehat di serambi masjid selepas Subuh.
            “Perjalanan masih panjang, datuk.”
            “Lihatlah, saya telah meninggalkan rakan-rakan saya di ibu negara dan berkhidmat untuk bekalan akhirat saya di sini.  Sesungguhnya saya sangat-sangat berbahagia.  Jika tidak, waktu ini mungkin saya masih mengandar kayu golf.  Mengejar nikmat kemewahan yang kami gelar masyarakat elit.  Tempat ini telah benar-benar mengubah erti hidup.”
            “Saya berbangga dapat mengenali datuk,” luah Halim jujur.
            “Sayangnya Norasyikin berkahwin dengan orang lain.  Tak mengapa, selagi kita Islam, selagi itulah kita bersaudara.  Apatah lagi kita sekarang tinggal sekampung.  Semakin dekat di jiwa.  Semakin dekat juga persaudaraan itu.  Tapi saya sering tertanya-tanya, bila Halim akan berumahtangga.  Tak siapa yang menjaga makan minum.  Rumah gedang itu tak bererti jika tiada induknya.”
“Itulah yang saya hendak minta pertolongan datuk.  Maklumlah saya tiada orang tua, maka datuklah saya anggap orang tua,” beritahu Halim perlahan.
Datuk Hassan tersenyum, menepuk bahu Halim mesra, “jadi bila saya akan mengetuai rombongan meminang ke Gopeng?”
Rohana, sejujurnya – kisah antara kita ini bagai pelangi pagi.  Indah dan berwarna-warni.  Memberi sejuta harapan, sejuta kasih untuk bernaung.

Sabtu, Julai 16, 2011

Pohon Hayat


Zahirah merenung anak saudaranya itu, Adlin yang seiras dengan gemulah Suhaimi.   Suhaimi yang cenderung mengamati buah fikir Ahmad Rejab.  Pencorak warna-warna dalam hidup mereka.  "Kata arwah datuk dan bapamu, Adlin - hidup biarlah jadi pepohon yang rendang, yang menjadi tempat bernaung hidup.  Pohon hayat yang memberi ruang kepada semut, kepada rayap, kepada anggerik merpati, kepada anggerik leryar, kepada pakis, kepada paku pandan, kepada burung-burung yang singgah dan bersarang, kepada manusia yang tumpang berteduh dan kepada alam.  Hidup biarlah jadi pohon hayat yang berbakti sampai reput, sampai kayu terpongkah, sampai tinggal tunggul - tetap jadi tempat makhluk lain berlindung."

Isnin, Julai 11, 2011

saman

Merah muka Mat Leh bila masuk pejabat.  Terus duduk terhenyak di kerusi sampai Kak Kiah yang duduk sebelah memanjangkan leher.  "Apa yang tak kena, Mat?" tanya Kak Kiah macam Ustazah Si Norbahyah kat TV, lembut dan tawaduk bunyinya.

"Kena saman."  Mat Leh ambil nafas panjang, bagi hati tenang sikit, kalau dibiarkan marah tu berleluasa nanti darah tingginya naik.  Bila dah naik, alamat dia kena duit lagi kena pergi klinik.  "Bukan laju sangat, 120 km/sejam saja.  Lebih 10 km/jam pun tak boleh kasi lepas," rungutnya.

"Abang tak minta settle ke?" tanya Ali Dispact yang menyibuk hendak tahu.
"Bukan aku minta settle, dia tanya - tak mahu settle ke?  Aku jawab mana ada duit nak settle..."

"Tu la, Bang Mat berkira sangat.  Kalau bagi RM50, kan dah settle.  Kalau kena saman - kan kena bayar RM150.  Kan rugi..."

"Ali... Rugi RM150 kena saman tak apa Ali...  Rugi dunia...  Kalau beri rasuah, nanti kena bakar api neraka - lagi susah..."  Kak Kiah bersuara, membuatkan semua yang ada terkedu...
"Boleh minta ampun, kak..." ujar Ali Dispact sambil berlalu.
"Kok ya Tuhan ampunkan, kok tidak?"

Ahad, Julai 10, 2011

Ragam Si Pesara


Gerai Cikgu, sebab pemiliknya pencen cikgu sekolah memang jadi tempat pertemuan orang yang baru balik dari Solat Subuh di masjid.  Ada juga yang mengelat ke masjid tetapi tetap datang juga ke Gerai Cikgu untuk bersarapan pagi.  Antaranya Pak Mior yang ke sana ke mari dengan motorsikal honda 'EX5 bukan dream', EX5 model lama yang dibeli zaman kerja posmen lagi.  

"Kau ni ada kereta tapi motor juga yang kau pakai, Pak Mior.  Kereta kancil tu biar berabuk saja dalam garaj," tegur Pak Imam Khairul, cikgu sekolah menengah yang selalu bertindak jadi imam.  Masih muda, belum masuk kumpulan orang-orang pencen lagi.  

"Nak buat macam mana, Imam.  Dulu kerja posmen.  20 tahun bawa motor.  Brum sana, brum sini...  Dah pencen pun terbawa-bawa perangai tu," balas Pak Mior, orang kampung panggil Pak Mior Posmen.  Pak Dan Warden yang minum kopi pekat tanpa gula hampir tersembur ketawa mengekeh.  

"Macam Pak Dan Warden lah tu, dah pencen warden penjara 10 tahun.  Jadi siak masjid.  Asal lepas Isyak, hendak katup pintu dengan pasang mangga.  Kadang-kadang dah balik rumah, datang balik masjid sebab takut terlupa mangga pintu masjid," kata Imam Khairul tersenyum.  

"Kalau Pak Imam nak tahu, Pak Dan ni, bukan sahaja pintu pagar rumahnya bermangga, pintu gril rumah, tingkap, sampaikan reban ayam pun bermangga!" sambut Pak Yassin Drebar.  "Mana kau tahu, Pak Yassin?" tanya Imam Khairul.  "Dia kan jiran saya..."

Habis semua yang sedang minum pagi itu tertawa, termasuk yang paling kuat Pak Mail Kebajikan, ketua peneroka kampung melayu.  Dia-diam dia teringat perangainya, pantang nampak orang mengemis, pasti hendak telefon pejabat kebajikan suruh cekup - bawa ke Desa Bina Diri kat Jerantut atau Mersing.  Sebab dia pun dulu pegawai kebajikan, asyik operasi 'menyelamat' pengemis saja...

(Gambar diatas, Hemingway sedang mengarang pada usia persaraan.  Ingat - penulis tak pernah bersara!)

Sabtu, Julai 09, 2011

Gulai Asam Rum Ikan Sungai


Sesiapa pernah ke pekan Jerantut, jangan lupa singgah ke deretan warung depan pasar lama, seawal jam 11.00 pagi, gulai asam rum ikan sungai boleh dinikmati.  Juga ulam-ulam dengan sambal tempoyak dan jeruk maman.  Aduhai, lazatnya...

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...