Sabtu, Mac 19, 2011

SEORANG TUA DAN BASIKAL


Aku masih ingat, baju biru, seluar kelabu dan topi hijaunya.  Basikal yang dikayuh sesuai dengan kudratnya.  Esok anakku akan kembali ke asrama, teringat kisah dulu ketika aku tinggal di asrama di Kg Pandan, Kuala Lumpur.  Jika bapak tidak punya cukup wang, pasti hari ini dia kan masuk ke kebun dengan kait dan galah panjang.  Seguni dua kelapa diangkut ke laman rumah, dikopek dan dilonggokkan.  Petang dia akan ke kedai tauke dan lori akan sampai untuk mengambil buah-buah kelapa itu.  Esok ketika aku bersiap dengan sebuah beg mahu kembali ke asrama, duit dari jualan kelapa itu lah yang dihulurkan buat belanja.  Tiga puluh ringgit sudah mencukupi.  Tambang ke Kuala Lumpur sekitar tujuh ringgit.  Selebihnya itulah untuk kegunaanku.  Seorang tua dan basikal, benar-benar terpahat dalam fikiran.

Khamis, Mac 03, 2011

GUA MUSANG



GUA MUSANG, bandar paling hujung di Kelantan, paling hampir ke Cameron Highlands.  Singgah sebentar melihat anak-anak pulang dari sekolah berkeretapi ke Limau Kasturi.  Orang kampung dari Merapoh menjunjung sebekas besar ikan keli salai.  Makcik tua menjinjing lada sala, timun, sengkuang dan cili api.  Sibuk dengan berbagai aktiviti, hidup dalam gerak masa yang sangat perlahan.  Dan keretapi penghubung yang memberi nyawa kepada insan - peniaga kecil dan segala orang kecil-kecil.  Mungkin terlepas pandang dalam kepesatan menuju negara maju.  Tolonglah, jangan hanya memandang Kuala Lumpur...

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...