Selasa, Julai 14, 2009

Perjalanan ke Bah Renyis







Nama Bah Renyis mungkin tidak pernah kedengaran di deria pendengaran pemimpin negara. Kami bertolak jam lapan pagi dengan kenderaan pacuan empat roda dan hanya sampai jam 11.30 pagi. Dua jam off road mendaki banjaran Titiwangsa yang begitu mencabar dan satu jam berjalan kaki menuruni kaki gunung yang membuatkan kaki bagai mahu tercabut. Perkampungan Bah Renyis terletak di Pos Mensoon, beberapa batu di antara Lembah Bertam dan Pos Telanok. Dari Lembah Bertam, meredah jalan yang sedang dalam pembenaan yang kelak akan menembusi Banjaran Titiwangsa ke Felda Sungai Koyan, Raub ke Pos Mensoon. Sebuah pusat kelompok kampung-kampung Orang Asli yang lengkap dengan sekolah dan asrama. Kami jangkakan jalan dari Pos Mensoon ke Bah Renyis ‘indah’. Ternyata tepat – jalan tanah merah yang berlubang dan berbatu-batu besar terbonjol di sana sini. Setelah bertanya beberapa orang, jalan (atau lebih jelas dipanggil denai) ke Bah Renyis ditemui. Sebuah kampung Orang Asli yang terletak jauh di tengah rimba. Sejam membetis, kami meniti batang kayu merentangi sebuah sungai kecil dan inilah kampung yang kami cari-cari. Sebuah kampung Orang Asli dengan sembilan buah rumah (pondok).

Terletak jauh di tengah rimba, tidak menghairankan jika semua kanak-kanak yang dilahirkan di sini tidak pernah menjejak kaki ke sekolah. Apa yang menyentuh perasaan bila mendengar kebiasaan mereka hanya membeli sebeg beras 15 kg untuk sebulan. Beras itu akan dimasak berselang seli. Kadang-kadang seminggu tidak masak nasi, hanya makan ubi kayu. Binatang hutan sudah tiada. Jangankan rusa atau napuh, kancil pun sudah jarang-jarang kelihatan. Jerat tidak pernah mengena. Paling mewah jika babi hutan terkena jerat. Itu pun hanya sekali dua dalam setahun. Tidak menghairankan jika dilihat jumlah hutan yang telah dibuka. Kebun-kebun sayur menghijau di puncak-puncak gunung. Sungai sudah berwarna darah. Hutan inilah dunia mereka, bukan salah mereka tidak mahu hidup di luar – tapi hutan inilah kampung halaman. Mereka berada di dalam persekitaran ekologi ini dan unsur luar sedang mengasak, memusnahkan.
Gambar 1 - Kebun sayur di puncak gunung
Gambar 2 – Salah sebuah kampung di Pos Mensoon

Gambar 3 – Mereka tidak pernah ke sekolah

Jumaat, Julai 10, 2009

Mereka Terpinggir


Mereka terpinggir jauh. Bila orang meneroka hutan, merintis jalan baru - mereka berpindah semakin jauh ke dalam hutan. Gambar - rumah Orang Asli di Pos Mensoon. Beberapa batu di antara Lembah Bertam, Cameron Highlands dan Kuala Medang.

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...