Isnin, Jun 29, 2009

Pencen

Tuan Haji A (Rancangan 360 – Mazidul pun kaburkan gambar, nama terpaksa disingkatkan untuk menjaga kerahsiaan) terkenal sebagai seorang ketua yang sentiasa tepat, cepat dan betul. Tiada kompromi atas sebarang kecuaian. Dihormati (Atau ditakuti?) oleh hampir setiap kakitangan bawahan. Ketika bersara, ada majlis resensi dengan perkataan yang muluk-muluk di hotel berbintang. Tuan Haji A pulang dengan tempat duduk belakang kereta penuh dengan jambangan bunga selamat berpisah dan hadiah cendera hati berbagai. Tapi jiwa Tuan Haji A kosong selepas bersara – tak tahu apa yang harus dibuat. Tiada lagi orang minta tandatangan dokumen itu ini. Tiada lagi keputusan mesyuarat yang perlu diputuskan. Tiada lagi orang yang mahu melayan dia – ketiak dia menyuarakan pendapat yang keluar dari mulut bagai butir-butir mutiara.
Apa jadual hariannya? Pagi bangun dan pergi ke kedai beli suratkhabar. Balik baca di meja makan sampai pukul 10.00 pagi. Temankan isteri memasak atau kekadang melawat cucu. Pergi ke masjid waktu Zohor dan Asar, juga Maghrib dan Isyak. Tutup mata pukul 10.00 malam.
“Aku dah jadi macam orang pencen yang lain – sama pangkat – orang tua pencen, tiap bulan cucuk kad di BSN. Sama juga macam PAR (Pekerja Am Rendah) yang kerja bawah aku dulu,” rungut Tuan Haji A.
“Pakcik pencen PAR tu buat apa sekarang?” tanya Saya.
“Oh, dia hebat. Jadi Imam ganti di masjid. Aktif hal-hal masyarakat, jadi jawatankuasa itu jawatankuasa ini. Kira tak macam orang pencen PAR lah,” jawab Tuan Haji A kagum. Nada suaranya kemudian menurun, “orang tak peduli aku. Pekerja yang ada pun bila nampak aku menyisih. Lebih baik jadi PAR dari jadi pengarah.”
“Tuan Haji, kerja kita di pejabat 8 jam sahaja. Dalam sehari ada 24 jam. 16 jam lagi sepatutnya dibahagikan untuk keluarga dan masyarakat. Kerja bukan segala-galanya, Tuan Haji,” kata Saya.
Mata Tuan Haji A merenung saya dan saya hanya melihat kekosongan.

Isnin, Jun 15, 2009

Kuala Kubu Bharu – Kiri Kanan Bukit (KKB)


Itulah tafsiran awal yang diberikan seorang pengajar di Institut Latihan Kebajikan KKB ketika kami mengikuti kursus sebulan selepas dilantik. Memang itulah tafsiran paling tepat – kiri kanan bukit. Untuk ke pekan, berjalan kaki menyusuri Taman Sinar Harapan dan Maktab Polis KKB sebelum ke jalan utama. Hubungan ternyata akrab – maklumlah sebulan ditempatkan di 4 buah dorm besar. Siapa sangka KKB juga rupanya tempat posting pertama dan diam tak diam 16 tahun menjadi warganya. Sehingga sekarang, walau pun sudah bermukim di tanah pergunungan ini – sebulan sekali akan turun ke KKB. Rumah lama di 125, Jalan Syed Manshor terbiar usang. Dapurnya sudah runtuh, yang tinggal rumah utama sahaja. Sayangnya rumah ini terbiar – tidak adakah inisiatif dari kerajaan negeri yang baru membaikinya? Dahulu, penghuni diminta mengosongkan rumah ini dengan alasan mahu dibangunkan apartment baru buat kuarters kerajaan. Bila bertukar kerajaan – usaha ini tidak dilansungkan. Di sinilah aku menaip ayat-ayat awal untuk Novel Kabus di Perbukitan dan juga merangka watak-watak untuk Penyiasat Ekstrovert – Terowong Rahsia. Sebuah galeri kelihatan sedang disiapkan di sebuah rumah beberapa meter di belakang rumah terbiar ini – Galeri Seni dan Sastera Hulu Selangor. Belum ku lihat lagi apa yang dipamerkan di galeri ini. Tapi yang pasti sepohon durian di belakang rumah terbiar ini sedang berputik di hujung julai. Alangkah, teringat keenakkannya – lekat di anak tekak. Kalaulah rumah terbiar ini mahu dijual kerajaan negeri – aku pasti jadi orang pertama yang mahu membelinya. Alangkah...

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...