Khamis, Mei 28, 2009

Jadi Orang Perjuangan

“Tidak ada kerja main-main,” kata bapak satu ketika dahulu ketika kami bekerja menanam anak benih sawit ketika aku baru sahaja bergraduat. Tanah empat ekar lebih itu baru sahaja dibersihkan, pokok kelapa ditebang dan mahu digantikan dengan sawit. Kata-kata bapak itu terpahat di ingatan. Ketika itu aku sedang menulis – novel percubaan suka-suka yang ku tulis dalam sebuah diari tebal. Novel yang sehingga kini masih belum muncul. Kata-kata itu juga diingatkan ketika aku menerima surat tawaran kerja – yang gajinya membuatkan bapak tersenyum senang, meninggalkan angan-angan pasang surut mahu memulakan menternak arnab secara komersial. Anak muda yang mencari-cari arah – aku memilih menerima tawaran kerja itu kerana senyuman bapak.

Sejak dahulu lagi – aku ingin jadi penulis. Ketika mengikuti PPM2009 di Puteri Resort Melaka, seorang teman penulis yang tersohor memperkatakan persoalan – apakah arah perjuangan penulis? Seakan aku tenggelam dalam asyiknya berjurai-jurai arah perjuangan yang belum aku capai – sehingga gagal menyatakan apakah perjuanganku sebenarnya dan kemudian memutuskan idealisme perjuangan yang semakin luntur.

Usia yang semakin menginjak takah kehilangan mudanya – idealisme juga demikian. Sikap terhadap arah perjuangan juga semakin disesuaikan dengan kemampuan menterjemah nilai dan kepentingan. Ketika mula menulis Siri Penyiasat Ekstrovert – aku hanya ingin memupuk semangat membaca pada kanak-kanak yang begitu dahaga dengan karya tempatan. Cukuplah dengan Siri Hardy’s Boy dan Nancy Drew yang bertahun-tahun mengisi kekosongan itu. Kanak-kanak yang kuat membaca akan menjadi besar dan dewasa sebagai pencandu buku.

Kini iklim politik menggugah dan alam semakin sakit dengan tangan-tangan manusia yang rakus. Menulisnya seolah-olah menyatakan pendirian orang perjuangan – penulis kecil yang bermukim di lereng gunung. Kepincangan yang tak mungkin dapat ditegur itu hanya boleh disentuh dengan idea kreatif penulis – selembut mungkin tetapi dengan wacana yang jelas dan tegas. Yang akan ditafsirkan oleh pembaca karya bertahun-tahun kemudian – yang diharapkan akan merubah lanskap negara mendatang. Kata bapak, “kita berkebun bukan sahaja untuk mencari rezeki tetapi buah-buahan yang dimakan burung-burung dan tupai akan menjadi amal jariah kepada alam. Setiap dari mereka mendoakan kesejahteraan hidup pekebun.” Itulah perjuangan bapak, tentu sahaja berkisar dengan kebunnya.

Pantai Cahaya Bulan
27-28 hb Mei 2009

Rabu, Mei 06, 2009

Mat Rempit, Bohsia, Peragut dan Dadah


Lama dahulu, ketika aku bertekad mahu meninggalkan agensi yang secara terus menangani masalah dadah – ada kawan-kawan yang bilang aku ‘takut memikul tanggungjawab’ atau bahasa kasarnya – pengecut.

Mungkin benar aku pengecut, lari dari tanggungjawab tetapi lebih besar ‘dosa’nya jika aku kekal dalam agensi dan tidak mampu buat apa-apa. Mat rempit yang menjadi fenomena di mana-mana kini sama ada di Hulu Terengganu atau di Jalan Raja Laut adalah titik-titik hitam yang berkait terus dengan dadah. Mula-mula lepas sekolah, bapa beri motor – untuk pergi sekolah atau tolong bapa belikan rokok mulanya. Kemudian terasa seronok bawa motor laju – hormon aderalin meningkat – masuk pula kumpulan mat rempit. Apa lagi dengan dengan piala yang cantik molek dan boleh dikongsi secara bergotong-royong. Kerja kes ketika mengambil kursus kaunseling membawa perkongsian kisah mat-mat rempit – tiada mat rempit yang menafikan pengaruh dadah – ganja, ice, pil kuda dan sewaktu dengannya. Itulah yang menjadikan keasyikan dunia video game ke alam nyata. Dunia mat rempit, bohsia dan peragut – itulah dunia ilusi dadah yang gagal ditangani secara total oleh mana-mana agensi penguatkuasaan pun. Dunia yang tidak pernah tersembunyi – ada di mana-mana secara terbuka dan diakui sesiapa saja pun. Ketika ada agensi yang bergelut dengan masalah tugas apa yang sebenarnya harus dilaksanakan – rujuk disini http://www.hanyapandangan.blogspot.com/ – mat rempit @ peragut sentiasa berleluasa. Ada sahaja wanita yang tidak berdosa menjadi mangsa.

Dan paling memilukan ada pula yang mahu menjadikan mat rempit sebuah filem yang mendidik. Seperti kata seorang pensyarah sebuah IPTA – “bukan mempotret wanita berbogel tetapi itulah pembelajaran nilai seni.”

Depan Majlis Bandaraya Ipoh
(jalan ditutup pada malam minggu - ramai mat rempit berkumpul)

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...