Isnin, Mac 30, 2009

Bukan Bukit Bintang


Kilat berdentum, hujan turun dengan lebat. Saya berlari anak menuju ke kaki lima wad kelas tiga wad bersalin. Hajat mahu ke bangunan utama Hospital Ipoh, mahu cari susu kotak kecil dan roti. Air melempahi jalan yang tiada ruang laluan pejalan kaki. Hampir sahaja dengan bangunan wad kelas tiga itu, kaki saya terpelecok. Aduh! Ada lubang yang tersembunyi di sebalik daun-daun kering dan limpahan air hujan yang menyerbu masuk ke dalam longkang.
Saya terhencot-hencot ke kaki lima wad kelas tiga itu. Seorang lelaki yang lebih tua dari saya menggamit, “kena taruh minyak panas. Baiklah nanti.” Saya teringat sewaktu saya kecil, sakit apa pun akan selesai dengan minyak angin cap kapak atau minyak urut panas.
Saya mengeluh. “Selalu hujankah Ipoh ini?” tanya saya. Lelaki itu tersenyum, “hujan itu rahmat Allah dan Ipoh memang terkenal dengan hujan waktu petang.”
Saya mengurut kaki yang terpelecok tadi sambil merenung ke arah bangunan utama. Teringat pesanan isteri saya tadi. Hujan masih mendesah. “Payung tak bawa, ingat hendak pergi ke kantin beli makanan untuk isteri saya,” kata saya resah. Lelaki itu ternyata memahami. “Saya pun tak ada payung juga. Kena bersabarlah tapi kalau lambat masa melawat tamat pula,” katanya.
“Kalaulah ada laluan pejalan kaki berbumbung,” sambung saya. Perkataan ‘kalau’ memang senang diucap, dapat menyembunyikan rasa terkilan dan berbaur harapan pula. Dulu sewaktu kecil, ketika perut lapar dan berbasikal balik dari sekolah, mata liar melihat ke kiri kanan jalan. Dalam hati berbisik, “kalaulah terjumpa duit...”
Lelaki itu tersenyum. “Tak dengar pembentangan mini bajet untuk ransang ekonomi bulan sudah?” tanya lelaki itu dengan sebelah keningnya ternaik sedikit.
“Ada baca di akhbar,” balas saya perlahan.
“Laluan pejalan kaki berbumbung bernilai berjuta ringgit akan di buat di Bukit Bintang, bukan di sini,” katanya membuatkan saya terkulat-kulat. “Mungkin anak-anak mereka atau mereka sendiri kehujanan ketika shopping atau mencari hiburan di Bukit Bintang, sebab itulah laluan pejalan kaki berbumbung dibuat di sana. Mana orang kenamaan politik datang ke hospital ini, tentu mereka ke hospital swasta berbintang-bintang.”
Saya termenung panjang dengan berbagai perkara berbaur di fikiran. Bukan pesakit dan pelawat sahaja yang menghadapi masalah, doktor dan jururawat pun berlari-lari anak sambil menutup kepala dengan beg. Belum dikira kemudahan lain, katil yang sudah berusia puluhan tahun dan bumbung yang sering bocor. “Bagi mereka, tempat ini hanya hospital, tak mendatangkan keuntungan, bukan seperti Bukit Bintang,” lelaki itu menambah sebelum meredah hujan menuju ke wad.

Hospital Besar Ipoh

Jumaat, Mac 27, 2009

Aku, Awak & Kamu


“Hari itu kamu ada hubungi syarikat kami dan meminta menghantar invois bukan?” tanya seorang ekskutif jualan wanita berbangsa Cina. Terasa berdesing telinga seorang sahabat bila perkataan ‘kamu’ digunakan. “Kurang ajar bila dia bercakap begitu,” kata sahabat saya itu. Situasi kedua, seorang pemanggil yang mungkin berpangkat besar – tapi melalui telefon, manalah orang tahu pangkatnya kalau tidak memperkenalkan diri, cukup mengamuk bila si pejawab telefon menggunakan gantinama diri ‘awak’ kepadanya. “Awak gunakan awak kepada saya?” jerit pemanggil itu. “So rude!” Situasi ketiga, seorang sahabat membahasakan dirinya aku sering dijeling orang yang berkomunikasi dengannya. “Apa salahnya aku kata diri aku, aku?” tanya sahabat saya itu. “Hina sangatkah? Sedangkan kalau kita berdoa pada Allah tidaklah kita kata – Ya Allah ya tuhanku, ampunkan dosa saya... sebaliknya ampunkan dosa aku.”
Kalau zaman purbakala – aku atau saya itu dibahasakan menjadi hamba – hamba yang hina. Terlalu merendah diri. Jika awak atau kamu menjadi tuan. Mungkin sekarang kita perlu berubah, gunakan gantinama saudara atau saudari...

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...