Khamis, Februari 12, 2009

Melayani Writer Block


Buka laptop, buka word, pandang sahaja skrin yang putih menunggu baris-baris aksara ditaip. Seminit, dua minit… Sedar-sedar sudah setengah jam. Hal ini bukan asing kepada sesiapa pun yang menulis. Kebelakangan, itulah yang mengekang hidupku. Sungguh pun begitu, bukan tidak menulis lansung tetapi kelestarian dalam menulis novel tidak dapat dilakukan. Dua bulan ini, hanya skrip-skrip drama yang agak ringan sahaja yang berjaya diolah. Senarai kerja penulisan – sebuah cerita kanak-kanak bersiri yang separuh jalan, sebuah buah novel yang juga separuh siap, macam projek terbelangkai JKR dan juga sebuah novel yang dijanjikan siap Disember lalu – masih lagi dua bab akhir yang perit.
Melayani writer block perlu bijak agar yang tak siap dapat juga digerakkan sedikit demi sedikit. Kalau diikutkan rasa, mahu sahaja berkubur tanpa bernisan. Jadi untuk itu, saya menulis juga – skrip drama radio dan beberapa sinopsis untuk Penyiasat Ekstrovert, juga sebuah sinopsis novel inspirasi untuk OKU yang boleh dimulai pada masa akan datang. Jika berhenti lansung menulis, tentu sangat payah untuk memulakan semula. Apatah lagi bila sudah selesa tak menulis. Kata sifu saya, Zaharah Nawawi – menulislah setiap hari. Selepas pemergian almarhum ayahanda saya tempohari, hampir sebulan saya tidak menyentuh laptop. Untuk memulakannya – selama dua hari saya merenung skrin yang putih itu tanpa dapat menulis apa-apa. Mujurlah Zuraidah Mohd Noh, penerbit drama radio menghubungi saya meminta saya menyiapkan beberapa drama radio pendek. Itulah yang memangkinkan.
Setiap penulis tahu, keadaan ini sangat menderitakan. Untuk keluar dari penderitaan ini – kita perlu menulis. Dan saya melakukannya dengan perlahan, memulai dengan skrip drama radio pendek, sinopsis novel dan kemudian menyambung cerita bersiri Karyanet seperti yang dipinta Rohana, DBP. Jumlah muka surat yang ditulis pun mulakan dari sebaris, jadikan seperenggan dan kemudian semuka surat. Sehingga hari ini saya masih belum dapat menulis 5 muka surat sehari. Sedangkan ketika menulis Rahang Maut, saya mampu menulis satu bab dalam sehari. Ya Allah, berikan hamba Mu ini kekuatan, Amin!

Tanah Rata

Ahad, Februari 08, 2009

Suara-suara Tersembunyi






LIMA hari di Kuala Lumpur, menginap di bangunan yang pernah terbiar puluhan tahun berhadapan dengan pasar yang tidak pernah berhenti denyut nadinya. Segala-galanya di sini, peniaga keropok awal pagi dan buah lewat senja, ibu ayam dan anak-anaknya di lorong berdinding kuning, jeans levi’s dan baju celoreng desert storm, mat bangla dan minah indon, makcik mencari sayur sebelum subuh dan tahrim yang mendayu. Dan penulis kecil ini dengan beg sandang hitam mencari sudut pandang yang berbeza di pasar Chow Kit. Dan aku mencari watak yang akan mewarnai novelku kelak – si bibir nipis!

Itu suara-suara yang terserlah dengan kebijaksaan hidup yang tidak mungkin diketahui di kelas persendirian. Bagaimana dengan suara-suara yang tersembunyi. Khamis pagi, rancangan ke Giant dibatalkan atas sebab yang diketahui umum. Kami bertandang dengan sebuah bas ke United Voice, bukan Manchester United. Satu pintu kedai yang diapit kejiranan akrab. Inilah anak-anak yang mencari ruang setelah gagal menyerlah diri di pasaran terbuka. Apatah lagi dalam gawat ekonomi yang sentiasa diramal akan stabil dan diharap tidak terjejas. Lihatlah gambar-gambar anak-anak ini, ketekunan yang mungkin mustahil pada sesetengah insan upaya seperti aku.

Lima hari di sini dan sebuah sinopsis baru, stamina yang terhad dan si bibir nipis akan menjadi watak dalam sebuah novel inspirasi untuk OKU – Suara-suara Tersembunyi. Bila pula ada ruang untuk aku mula menulis?

Regency Kuala Lumpur
@ Sapuan Plaza, Jln Raja Alang

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...