Khamis, Oktober 23, 2008

Sumpah Ini Kisah Yang Kadangkala Benar (Mengikut Masa dan Tempat)



Encik A datang kepada kami suatu petang dengan sebeban kertas kerja dan senyumnya yang dibuat-buat.
“Kau mesti suka apa program yang aku hendak buat ini. Kerja amal, berkonvoi sambil berbakti kepada OKU,” katanya dengan penuh yakin.
“Konvoi? Banyak belanja tu.”
“Tak banyak, malah semuanya akan disponsor kalau kena pada caranya,” balas Encik A dengan penuh yakin. “Kau boleh anak isteri kau berkonvoi sambil berehat di hotel berbintang. Lawat zoo dan taman air. Tapi kenalah beramal sedikit.” Encik A semakin kuat bercakap, cuba meyakinkan aku yang sudah naik tiga kerut di dahi.
“Yang mana sebenarnya nawaitu program kau ni, beramal kepada OKU atau berehat?”
“Berehatlah tapi percuma…”
Aku tepuk dahi. Ramai rupanya orang seperti Encik A ini. Buat program, jemput OKU sertai hanya sebagai ‘lesen’ sahaja. Boleh dapat banyak kemudahan – menumpang dengan kemudahan yang sepatutnya OKU dapat. Syarikat-syarikat yang hendak sponsor, mesti mudah menderma bila dengar OKU dilibatkan. Itu belum jabatan kerajaan yang sedia mengorbankan tenaga kerjanya untuk menjayakan program seperti motorsikal peronda polis yang akan mengiringi konvoi tu.
Itu satu kisah, ada kisah yang lain. Satu jawatankuasa mahu melawat ke tanah tinggi – lawatan sambil belajar bersama OKU.
“Kita bawa OKU yang kecacatan ringan sahaja, mudah hendak jaga. Kalau yang terpaksa berkerusi roda tu tak sesuailah,” kata Encik B.
“OKU yang susah keluar dengan ibubapa itulah yang sepatutnya kita bawa, bukankah ramai sukarelawan dalam rombongan tu,” tingkahku.
“Banyak risikonya,” jelas Encik B membantah. “Nanti kalau jadi apa-apa – susah. Kita ambil OKU yang mudah dijaga. Itu pun tak ramai, 10 orang je.”
Hai, bas muat 40 orang – OKU yang turut serta cuma 10 orang saja. Program ini untuk OKU atau untuk orang lain?
Ada lagi kisahnya.
“Syarikat kami hendak melancarkan produk baru, kami minta supaya kumpulan OKU dapat hadir untuk turut serta,” pinta Cik C, wakil sebuah syarikat multi nasional.
“Takkan datang saja, takkan tak ada sumbangan untuk sekolah OKU ini?”
“Sumbangan tak ada tetapi setakat jamuan ringan disediakan.”
Alahai, jamuan ringan saja… Ada sesiapa hendak sambung kisah-kisah ini?

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...