Sabtu, Ogos 30, 2008

Mengenang Tanjong Karang (i)

Melihat anakku yang istimewa tidur yang sesekali terganggu kerana selsema dan batuknya, pantas tangan menjamah dahi. Masih panas. Anakku yang istimewa ini bukan senang mahu menelan ubat. Seringkali kami ‘menipu’ dengan meletakkan ubat demam yang berwarna merah terang dalam kurma dan ubat selsema yang kuning terang dalam pisang emas. Seringkali ketika dia merasa pahitnya ubat, pantas diluahkan. Dan kami akan mencuba lagi dengan cara lain.
Dan ketika menunggu demamnya kebah, ingatanku pantas mengerawang ke zaman kecilku di Tanjong Karang.
Aku dahulu sering sakit. Demam dan sakit perut. Juga pernah luka dikaki akibat terpijak kaca. Paling akrab sekali – penyakit zaman tujuh puluhan adalah kudis. Tabahnya bapa dan emak, hanya Allah yang dapat membalas budi mereka. Terlalu kerdil dengan keadaanku sekarang, menjaga seorang anak istimewa. Tahun-tahun tujuh puluhan, kemiskinan warna-warna kampung-kampung tradisional. Anak-anak hanya berkaki ayam, tidak berbaju. Kadang-kadang tidak berseluar juga. Bulin, kata orang. Macam watak Epit dalam Kampung Boy.
Ketika itu anak-anak jika demam, ke hospital seperti jalan terakhir. Demah dulu dengan tuala basah. Letak asam jawa di umbun-umbun. Jika tidak juga kebah, barulah dibawa ke hospital. Maklumlah, jarak hospital dan rumah jika zaman sekarang hanya lima belas minit berkereta – ketika itu berbasikal mungkin sejam juga. Tambahan pula membawa orang sakit. Klinik swasta – itu akan juga dilawati jika ada khabar-khabar yang ubat diklinik itu mujarab atau cepat baik.
Seingatku, bapa pernah membawa ku ke klinik estet di Jalan Raja Musa. 15 kilometer dari rumah. Klinik estet, milik estet tetapi jika orang kampung datang mendapatkan rawatan – tetap percuma. Ubatnya memang kuat sedikit. Cepat baik. Kata bapa, estet akan rugi jika gunakan ubat yang kurang mujarab. Orang tidak boleh bekerja kerana lambat baik.
Sesekali pernah terlintas di fikiranku. Jika pada zaman tujuh puluhan ada anak istimewa seperti anakku, bagaimana agaknya si ibubapa akan menangani? Bagaimana mahu mebawanya naik basikal? Pasti meronta-ronta mahu jatuh. Syukur. Mengenang Tanjong Karang, membuatkan aku insaf. Ya Allah, sembuhkan demam anakku ini. Amin.

Isnin, Ogos 25, 2008

Mee Udang Kuala Sepetang

Kuala Sepetang terkenal dengan makanan laut. Bot-bot nelayan berlabuh di jeti kampung air dengan muatan penuh kerang. Berguni-guni, bersusun di geladak. Laut yang kaya dengan hasil perikanan, hasil rimbunan pohon-pohon bakau yang menghijau indah. Anak-anak merengek, minta tidur semalam di chalet jabatan hutan yang terletak di tepi sungai di bawah payungan pohon-pohon bakau minyak, api-api dan lindungan piai raya. Malangnya tanpa perancangan kami merasakan waktu lain lebih sesuai. Tambahan pula esok tiada bot yang boleh disewa untuk menjelajah Hutan Simpan Matang ini.
Kata orang, jika ke Kuala Sepetang – rugi jika tidak menikmati mee udang yang terkenal itu. Kami singgah di sebuah gerai milik Salleh di tengah pekan. Sejak tahun 1956 telah dikenali ramai menghidangkan resepi mee udang. Gerainya terbuka, dengan zink dan dinding separuh, dawai pagar yang berkarat corak 50an. Sentiasa penuh, kata orang – gerai penuh itu tanda masakannya enak. Mee udang yang dihidangkan, penuh dengan udang. Saya kira timbangan udang melebihi timbangan mee. Hampir 15 ekor untuk hidangan. Itupun mee udang biasa – bukan mee udang special. Menurut kata pemilik gerai, mee udang special – udang yang digunakan lebih gadang lagi. Ayuh, jika ke Kuala Sepetang – nimatilah mee udang yang enak ini.

(gambar atas - Anak buah kesayangan ini tertidur menunggu Pak Long dan Mak Long menikmati mee udang. Gambar bawah – apa macam? Enak tak?)



Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...