Rabu, Julai 23, 2008

Lokasi@Latar



Sudah lama saya mengidamkan mahu ke Bandar Lipis, Pahang. Kebetulan, peluang ke bandar itu bagai pucuk dicita, ulam mendatang. Pulang dari Kuantan, kami memutuskan untuk bermalam di Lipis. Ia sebuah bandar di pertemuan Sungai Jelai dengan Sungai Lipis. Berbukit-bukau dan mempunyai panorama yang mengasyikkan. Kami tiba lewat petang, rumah rehat di Bukit Residen sudah tidak boleh menampung tetamu lagi. Kebetulan ada Karnival Lipis di padang utama @ dataran. Entah mengapa, orang gemar berkarnival sekarang ini – sama ada pengunjung yang gemarkan karnival atau penganjur yang gemarkan karnival – saya tidak pasti. Mungkin semangat berpesta-pestaan itu sedah menjalar masuk dalam setiap inci minda tanpa menimbang buruk baiknya kepada masyarakat. Mujurlah sebuah lagi rumah rehat di Tanjung Lipis masih menerima tetamu. Ada tiga rumah rehat di bandar ini, Rumah Rehat Residen, Rumah Rehat Tanjung Lipis dan Rumah Rehat Bukit Bius.

Sehari semalam di Lipis, masa bagai emas bagi saya. Setiap kesempatan saya gunakan mencatat, mengambil gambar walau dengan telefon bimbit yang sedikit kapasiti memorinya dan tidak ketinggalan memahami budaya dan makanan esotiknya. Tempat paling penting apabila tiba di suatu bandar, menjengah pasarnya. Di sini lah aktiviti ekonomi yang mencerminkan masyarakatnya. Sempat membeli dua ekor ikan patin, ulam serai kayu, pucuk janggus dan emping.

Lokasi sangat penting, menjadi latar kepada cerita. Mengisahkan suatu tempat dengan merasai, menikmati nyaman udaranya, indahnya subuh dan heningnya senja tentu jauh lebih baik dari bercerita dengan sekeping gambar jadi bahan pengkisahan. Dan malam di Rumah Rehat Tanjung Lipis saya penuhi dengan merangka deraf awal Penyiasat Ekstrovert siri seterusnya. Latar yang indah, kisah tempatan yang menarik dan ragam manusia menjadi bumbu kepada novel yang baik. Sebelum pulang, sinopsis awal Penyiasat Ekstrovert telah siap. Kelak akan saya kembangkan menjadi sebuah novel penyiasatan kanak-kanak apabila tiba masanya. Sehingga kini sinopsis-sinopsis baik novel kanak-kanak, cerpen mahupun novel dewasa tersimpan baik dalam bank stok sinopsis yang saya bawa ke mana sahaja. Itu salah satu kunci untuk tidak mengalami masalah writer block. Nanti ada masa yang sesuai, saya akan mengupas isu writer block ini dan bagaimana mahu menyesuaikan diri dengannya. Buat warga Lipis, anda bertuah kerana menghuni daerah yang indah ini.

Lipis – Cameron Highlands

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...