Isnin, Jun 23, 2008

55, 56 atau 58?

ITU soalan yang sering bermain di fikiran kakitangan awam beberapa minggu ini. Borang-borang opsyen pilihan umur persaraan telah diedarkan dan perlu ditandatangani. Ada yang terus memilih angka pilihan terbaru, ada yang kekal dengan angka lama dan ada juga yang mula berubah arah. Teringat saya kepada ‘cover’ majalah Gila-Gila yang menggambarkan senario usia emas yang memenuhi pejabat-pejabat kerajaan dan kemudian timbullah lawak jenaka yang sewaktu dengannya. Mungkin ketika itu ;
1. Pemandu pada usia 58 sudah jadi pemandu yang terlalu bersopan santun, bukan kerana arahan ketua jabatan tetapi akibat pelbagai jenis rabun, rabun dekat, rabun malam, rabun warna…
2. Suasana di pejabat tentu membosankan, kerani wanita, penyambut tetamu, termasuk pegawai wanitanya sudah 58. Hilanglah sudah serinya.
3. Pantri di pejabat bukan sahaja untuk mengisi makanan dan minuman, juga ubat-ubatan dan segala minyak urut.
4. Ketua pejabat tidak ada masalah untuk mengimarahkan surau-surau yang selama ini jadi tempat tidur.

Peningkatan umur persaraan memberi impak yang tersendiri. Tidak dinafikan masih ramai yang ‘handsome’ dan ‘steady’ menjelang usia emas tetapi rata-ratanya ramai yang lebih tersekat langkahnya kerana faktor usia.

MENJADI penulis, tiada usia persaraan. Bahkan semakin meningkat usianya, karyanya dinilai zaman. Usia hanya jarak waktu tertentu yang dikekangkan oleh kelaziman. Ada penulis diwartakan sebagai penulis muda walaupun sudah bersara dari perkhidmatan awam.

Bila ketua kerani bertanya pada saya, bila saya mahu bersara – saya menjawab 50. Sebab utamanya saya anatara lebihkurang 500 orang kakitangan awam yang memilih skim KWSP. Dan saya antara 1400 orang yang memilih bersara pada usia 55. sedangkan saya sendiri tak pasti bila saya akan menjadi penulis sepenuh masa – mungkin tahun hadapan?

Kuala Lipis

Jumaat, Jun 20, 2008

Penyiasat Ekstrovert Muncul Kembali

Ini siri penyiasat ekstrovert ke 9, masih jauh menuju ke matlamat siri ke 20. Buat sahabat yang banyak membantu, yang tidak saya nyatakan namanya di sini - budi anda akan sentiasa dikenang. Tunggu kemunculan 'Nota dari Laut' yang suspen ini pada 25 hb Jun 2008

Selasa, Jun 10, 2008

Meniti Batas & Jiwa Manusia Jawa


Sudah menjadi tabiat, saya membaca bukan ketika waktu senggang tetapi ketika usaha menaip aksara sentiasa gagal. Pulang dari Majlis Pelancaran 14 Novel Kepezi, beberapa novel rakan-rakan kuuliti dan yang pertama diselesaikan dalam tempoh sehari, Meniti Batas oleh Zulkifli Khair.
Meniti Batas tidaklah berat isinya, juga tidak ringan tetapi sarat dengan maklumat yang semasa sifatnya. Apatah lagi bila memasukkan tahun dan tarikh dalam penceritaannya. Juga nama-nama agensi yang bersifat semasa (ketika kerajaan sekarang tentu berlainan dengan kerajaan akan datang). Mungkin dalam sedekad ini, Meniti Batas enak dan enggan dilepaskan apabila mulai dengan muka surat pertama. Bagaimana pada dekad-dekad yang mendatang? Mungkin juga ketika itu untuk cetakan semula perlukan kerja-kerja editorial kembali.
Saya kagum dengan Meniti Batas, untuk manusia Melayu yang mungkin mahu memahami manusia Melayu yang berketurunan Jawa – baca lah. Nilai dan aspirasinya, tambatan jiwa pada susur leluhurnya. Kecenderungan ini sebelum ini boleh dilihat lewat novel-novel Arenawati seperti Cakra Waruga. Bukan mudah sebenarnya mahu memahami keturunan-keturunan tertentu dalam kelompok manusia Melayu. Setiap keturunan seperti Minang, Bugis, Bengkulu, Banjar, Jawa, Mendailing dan lain-lain yang bersusur galur dari kepulauan rempah ini mempunyai kelebihan sendiri. Juga keturunan manusia Melayu yang berasal dari Kedah, Patani, Kemboja dan Kelantan. Itulah kepelbagaian budaya yang mewarnai manusia Melayu.
Buat Zulkifli Khair, tahniah! Dan pastinya saya menunggu novel saudara yang akan datang.
Gambar - Pelancaran Novel Kepezi oleh Pak Samad ihsan Zulkhair

DBPKL – Kuala Kubu Bharu – Tanah Rata

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...