Isnin, Mei 26, 2008

Pelancaran 14 Novel Kepezi - 7 hb Jun 2008 di DBP


Sektor industri dalam novel terbaru DBP
Oleh ABD. AZIZ ITAR

NOVEL sama seperti genre-genre kreatif lain, merupakan wadah yang digunakan oleh penulis bagi mengisahkan tentang pelbagai tema serta jalan cerita sama ada ia rekaan atau benar-benar berlaku dalam kehidupan seharian.Oleh itu, tema yang diketengahkan rencam sifatnya. Industri yang saling berkait rapat dengan dunia perniagaan misalnya merupakan antara subjek yang sering diutarakan menerusi novel seiring dengan perjalanan sesebuah cerita yang dikisahkan.
Meskipun sesebuah industri itu bersifat kecil ataupun sederhana tetapi ia banyak memainkan peranannya dalam mengembangkan lagi watak-watak dalam sesebuah novel tersebut.
Malah, paling menarik apabila subjek tentang dunia industri yang cukup luas cakupannya itu secara tidak langsung telah diketengahkan menerusi 14 novel terbaru terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Karya-karya tersebut ialah Menuju Puncak, Desir Angin Di Pergunungan, Ketika Embun Menitis, Aroma Hati, Kasih Bertaut, Meniti Batas, Menggapai Puncak, Tinta Elipsis, Mencari Teduh Di Kuala, Kirana, Di Sebalik Mentari Jingga, Air Mata Ibu, Tirani dan Lagukan Senandung Itu.
Menggapai Puncak karya Razali Endun misalnya, mengetengahkan tentang industri pengangkutan yang membabitkan bas mini dan feri di mana ia banyak membantu mengembangkan penceritaan novel itu.
Watak Ujang yang digambarkan sebagai anak kampung yang tidak mempunyai pendidikan tinggi terpaksa meninggalkan kampung halamannya untuk mencuba nasib di rantau orang.
Menurut Razali, terdapat banyak unsur imbasan semula dalam mewarnai perjalanan cerita Ujang yang menaruh hati terhadap Milah tetapi ia tidak mengaburi penghayataan pembaca.
"Apa yang cuba saya ketengahkan dalam novel ini antara lain berdasarkan pengalaman saya sewaktu terbabit dalam industri pengangkutan membabitkan bas mini suatu ketika dulu.
"Semua itu saya garap bagi menguatkan lagi jalan cerita dan watak Ujang dalam usahanya untuk menggapai cita-cita dalam hidupnya itu," katanya ketika ditemui di DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Novel Kasih Bertaut karya Zamidah Hashim bukan setakat memaparkan pertautan kasih sayang dan dilema hubungan suami isteri tetapi beliau turut menyelitkan tentang perjalanan industri makanan kesihatan jenama Orang Kampung (OK).
Jenama OK mungkin cuma sekadar suatu produk industri yang diketengahkan tetapi intipati perjalanan cerita yang melatari novel itu lebih kepada watak tuan punya jenama tersebut.
Zamidah menggunakan perjalanan pengalaman sebenar pengusaha jenama OK iaitu Manggar Hanif sebagai tonggak cerita yang menggambarkan tentang jatuh bangun usahawan itu dalam bidang perniagaan.
"Hampir 80 peratus daripada jalan cerita ini merupakan kisah benar Manggar. Saya minta kebenaran daripadanya yang merupakan orang kampung saya di Teluk Mas, Melaka. Dia memberi kebenaran kepada saya menggunakan serba sedikit tentang pengalamannya itu," ujarnya.
Biarpun Kasih Bertaut menyerlahkan perniagaan OK yang antara lain mengeluarkan produk minuman herba Tongkat Ali tetapi konflik watak utama novel ini dengan isterinya merupakan persoalan utama yang cuba dipaparkan.
Selain industri pengangkutan dan makanan, Noor Hanisah Othman pula cuba merungkai di sebalik kepayahan watak Wafa yang mengharungi kepayahan mengusahakan pusat bimbingan kanak-kanak menerusi novel berjudul Menuju Puncak.
"Pusat bimbingan kanak-kanak yang diusahakan Wafa itu cuma sekadar subjek atau simbolik sahaja, sebaliknya falsafah tentang kesungguhan demi mengejar kejayaan yang tidak pernah berakhir merupakan tema novel itu," katanya.
Sementara itu, Ibnu Ahmad Al Kurauwi menerusi novelnya yang berjudul Tinta Elipsis pula memaparkan tentang industri penerbitan seperti buku sekolah dan majalah.
Kesibukan watak Amir menerusi novel itu dalam tugasannya dalam bidang penerbitan telah mencetuskan sedikit masalah daripada segi pembahagian masa bersama isterinya.
Kata Ibnu Ahmad atau nama sebenarnya, Azman Ahmad, 60 peratus daripada jalan cerita Tinta Elipsis merupakan pengalamannya sendiri dalam dunia penerbitan, manakala selebihnya berdasarkan cerita imaginasinya sendiri.
"Amir digambarkan sebagai seorang yang kuat bekerja di mana sikapnya itu akhirnya menjerumuskannya dalam suatu dilema. Hinggalah pada penghujung novel ini, dia membuat satu keputusan.
"Sebab itu, saya gunakan judul novel ini sebagai elipsis yang bermaksud tiga noktah (...) di mana ia menggambar seperti suatu teka-teki," ujarnya.
Kesemua 14 Novel itu akan dilancarkan di DBP pada 7 Jun ini di mana ia bakal disempurnakan oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.

Keluh Kesah Si Penulis


Seorang sahabat, juga penulis yang sedang meningkat naik menemui saya ketika mencicip enaknya kopi arabic beans. Hujan renyai telah sirna dan kepul-kepul kabus putih merobos tingkap-tingkap terbuka dari Gunung Berembun. Saya selesa menikmati kepanasan kopi dalam mug putih yang ditekap dengan kedua belah telapak tangan.
“Mana mungkin penulis malaysia boleh hidup dengan hanya menulis,” cetus Sahabat, juga memesan kopi yang sama. “Nilai cerpen kita di akhbar perdana hanya bersamaan dengan 20 atau 25 mug kopi ini.”
Ah, begitu murahnya cerpen. Apa lagi jika puisi.
Melihat saya diam, Sahabat terus sahaja bertanya, “aku sudah baca banyak entri anda dalam blog – nampak seperti terlalu yakin menulis boleh membahagiakan hidup. Jadi kenapa sahaja tidak berhenti kerja?”
Saya ketawa besar. “Sudah terlambat sekarang. Hutang sudah terlalu banyak, koperasi, kereta dan macam-macam lagi. Kalau mahu berhenti kerja dan tumpu penuh-penuh dengan menulis, kena ada pelan bertindak.”
“Pelan bertindak?”
Begini, bilang saya lalu mencapai buku nota dan pen stabilo yang paling murah tetapi paling menyenangkan. Kerana tulisannya lancar, secepat buah fikir yang bermain di minda. Tahun pertama, tulis 5 buah novel yang boleh dijual – laku keras maksudnya. Apa-apa sahaja lah – fiksyen kanak-kanak, cinta islami ala ayat-ayat cinta, sci-fi, hantu ala tamar jalis, novel motivasi – apa-apa yang sesuai dengan citarasa. Yang nyata bukan sastera berat. Tahun kedua, tulis 5 novel sedemikian lagi + satu novel sastera yang beri kepuasan tinggi atau kumpulan cerpen atau puisi. Tahun ketiga 5 novel lagi dan satu novel sastera berat juga. Tahun keempat, tahun penyudah kena 5 buah novel laku keras lagi. Dengan 20 buah novel, yang laku keras, yang diulangcetak setiap tahun akan menjana royalti lebihkurang 30 ribu ringgit setahun. Tak cukup untuk hidup sederhana? Tak cukup untuk sesekali melancong ke Medan atau Batam atau Hatyai, mencari udara baru?
“Bolehkah novel kita diulang cetak setiap tahun?” tanya sahabat itu lagi.
“Tentu, yang penting apa isinya dan siapa penerbitnya. Kalau penerbit tidak bagus, isi novel yang bagus tidak guna juga,” jawab saya sambil menghabiskan baki kopi mahal itu.
“Lama pelan tindakan itu. Empat tahun...” keluhnya.
“Mana mungkin hendak cepat-cepat. Rancangan Malaysia ke 9 pun masih ada yang dirancang, walaupun sedang berjalan!”
Tanah Rata

Selasa, Mei 13, 2008

Karya di Dewan Pelajar, Mei 2008


Karya saya, Kisah Bulan Ini - Cerita Sebuah Lukisan disiarkan di Dewan Pelajar, Mei 2008. Sebuah majalah yang pertama saya kenali ketika kanak-kanak lama dahulu. Terima kasih editor, Sdr Abd Ghani.

Selasa, Mei 06, 2008

Berita Harian 6 hb Mei 2008


Ilmu diterap dalam karya sastera
Oleh Nazmi Yaakub


Kedudukan bahasa Melayu dalam Perkara 152, Perlembagaan Negara dan Akta Bahasa Kebangsaan 1997 dikesan dalam teksBICARA Karya Sastera Zon Tengah di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (PPBKKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini, menilai sastera sebagai karya yang tidak terpisah daripada unsur keilmuan dan penyelidikan. Aspek psikologi dan perbezaan pandangan Barat dengan kaca mata Timur terhadap unsur eksotik Asia dalam tiga naskhah daripada genre berbeza, Naskhah Kabus di Perbukitan, Kumpulan Cerpen Masitah dan Kumpulan Puisi Permata Budi, turut ditinjau.
Pensyarah PPBKKM, Che Abdullah Che Ya, melihat Kabus di Perbukitan memperlihatkan hubungan akrab novel dengan pengarangnya, Mohamad Kholid Hamzah berdasarkan pemilihan latar dan pengaruh daripada pengetahuannya dalam bidang Psikologi. “Pengalaman berkhidmat di kawasan tanah tinggi dengan persekitaran indah, mempengaruhi Mohamad Kholid untuk mengambil latar itu sehingga beliau melukiskan persekitaran Cameron Highlands tanpa sedar walaupun turut menggunakan Bukit Fraser sebagai latar penceritaan. “Hal ini selari dengan konsep dan pendekatan psikologi yang menggariskan pandangan bahawa hasil kesusasteraan lahir daripada keadaan manusia yang berada dalam situasi bawah sedar,” katanya ketika membincangkan Kabus di Perbukitan: Lara Insan yang Kehilangan.
Bicara anjuran Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persatuan Penulis Selangor (PPS), PPBKKM dan Kelab Persuratan Melayu UKM itu turut dihadiri Pengerusi PPBKKM, Prof Dr Zulkifley Hamid dan Ketua 1 PPS, Datuk Dr Anwar Ridhwan. Selepas mendapat lakarannya, bahan karya itu disusun secara sedar, selain pengarang turut memperlihatkan pengetahuan sebagai lulusan diploma psikologi dalam bidang kaunseling apabila mengemukakan konflik emosi dalam diri watak. “Pengarang berjaya mengolah psikologi watak dengan berkesan kerana kelebihan menguasai bidang terbabit yang banyak membantu beliau mengawal watak, sekali gus menunjukkan wataknya hidup dan terkawal. Hubungan roh antara watak Faridah dan Rohayu walaupun bersifat mistik boleh diterima akal kerana banyak misteri dalam sains yang belum terungkai di sebalik hubungan pasangan kembar,” katanya. Bagaimanapun, Che Abdullah menegur kelemahan ketara yang membabitkan watak Rohayu yang tidak mengetahui kewujudan Faridah walaupun berpisah pada usia 7 tahun, sedangkan secara logiknya minda watak sudah cukup kuat untuk mengingati tempat tinggal kembar dan ibunya.
“Meskipun bahagian pertama novel menunjukkan kejayaan pengarang menjadikan penceritaannya kemas dan menarik, bahagian kedua pula memperlihatkan penumpuan pengarang kepada watak sampingan secara berlebihan sehingga hubungan pembaca dengan watak utama terputus,” katanya pada bicara yang dipengerusikan Pegawai Perancang Bahasa DBP, Saifullizan Yahaya. Hakikat itu dapat dilihat terlalu banyak penumpuan kepada watak sampingan seperti Malina, Benny dan kenalannya dalam gerakan Islam, selain sorotan terhadap kehidupan Zain, sekali gus menyebabkan watak utama, Faridah tenggelam. Pensyarah Universiti Hitosubashi di Jepun, Togari Yasuka, melihat watak berbangsa Jepun dalam Kumpulan Cerpen Masitah karya Dr Mawar Shafie, tidak berbeza daripada gambaran stereotaip dalam novel dan filem Barat seperti The Bridge on the River Kwai, Shogun, Black Rain, Rising Sun serta Last Samurai. “Dalam filem yang mengambil fokus Jepun termasuk siri James Bond, ada kecenderungan berfokus kepada kebudayaan Jepun yang dianggap eksotik pada pandangan orang luar. Begitu juga filem yang menggambarkan imej Jepun masa kini seperti joshikosei,” katanya ketika meninjau Jepun dan Watak Jepun dalam Kumpulan Cerpen Masitah. Joshikosei bermaksud pelajar sekolah menengah tinggi berpakaian seragam berkeliaran di kawasan hiburan dan yakuza, iaitu kumpulan penjenayah terancang, selain ahli perniagaan yang memakai kot serta jarang tersenyum. Togari mengakui kekagumannya terhadap watak Jepun dalam Kumpulan Cerpen Masitah yang diberikan gambaran sejagat sehingga jika watak Jepun dimainkan oleh watak bukan Jepun, cerita itu dapat dijalankan juga. “Kumpulan cerpen ini membayangkan watak yang merindukan ibu atau isteri sudah pergi atau seseorang yang menyayangi anaknya. Hal ini disebabkan watak orang Jepun berkahwin dengan warga asing dan menetap di luar negara sehingga sukar dikatakan sebagai orang Jepun tipikal,” katanya. Pegawai Perancang Bahasa DBP, Shahrun Nizal Mohd Nor, pula mengangkat Kumpulan Puisi Permata Budi karya Ahmad Sarju sebagai mencerna pemikiran semangat patriotik, mengangkat isu bahasa dan alam sekitar serta melakukan introspeksi diri. “Semangat patriotik mendominasi sajak yang terhimpun dalam buku ini, seolah-olah Ahmad menyeru pembaca untuk menyemai semangat itu, sekali gus menunjukkan penyair mempunyai suara dan harapan untuk dikongsi bersama,” katanya ketika membentangkan Antara Pemikiran dengan Estetika dalam Permata Budi. Puisi bertema perjuangan memartabatkan bahasa turut mendominasi kumpulan puisi itu kerana pengarang melihat bahasa Melayu diperlekeh dan dipinggirkan di tanah air sendiri meskipun kedudukannya sudah dijamin dalam Perkara 152 Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...