Rabu, Februari 20, 2008

MUSIM MUSIM KERING

Ketika saya sedang menghirup kopi O kosong, seorang pakcik berketayap meminta izin untuk duduk di mejaku. Pagi-pagi begini, dalam suasana menghadapi pilihanraya yang dijelaskan dengan gantungan poster timbang, mata lebam biru, bulan dan roket – saya pasti mengalu-alukan seorang teman untuk berbual. Nanti dahulu, belah mana posisi pakcik ketayap ini.
“Anak mengundi tahun ini?” tanya pakcik ketayap itu.
“Sepatutnya mengundi, tetapi mungkin saya memilih untuk tidak mengundi,” saya tegaskan, walau saya kira jawapan ini akan mengundang perbahasan. Saya memang menantikan.
Dahi pakcik ketayap itu berkerut-kerut. “Jika begitu anak lari dari tanggungjawab sebagai rakyat,” katanya hampa.
Saya tersenyum. “Saya masih berfikir-fikir. Bagaimana saya mahu mengundi jika kedua-dua belah calon bukan pilihan saya.”
“Pilih mengikut parti,” saranan pakcik ketayap itu.
“Saya tidak pernah memilih calon mengikut parti. Itu cara pemikiran orang dunia ketiga,” sanggah saya menyebabkan wajah pakcik ketayap itu berubah.
“Itu tindakan yang tidak bertanggungjawab.” Kenyataan pakcik ketayap itu sepatutnya membebankan. Satu tuduhan semberono tetapi saya masih boleh tersenyum. Bukankah itu hanya pandangannya sahaja?
“Mungkin saya tidak bertanggungjawab kerana saya rasa saya meletakkan tanggungjawab memilih itu kepada orang lain yang punya pilihan. Orang yang tak punya pilihan seperti saya biarlah saya galas tanggungjawab lain,” jelas saya lambat-lambat tetapi terang.
“Tanggungjawab yang bagaimana? Kalau memilih kerajaan boleh dienteng-entengkan – jangankan tanggungjawab lain.” Pakcik ketayap mencemuh, “bilang sayang negara – sayang tahi kucing.”
Benarlah kini musim-musim kering. Hati jadi keras dan kaku. Mentafsir tidak mungkin ke arah yang murni tetapi lebih kepada keinginan melunasi kehendak tekak. Pertimbangan sudah tinggal lambang dan keikhlasan hanya jadi slogan. Musim-musim kering ini sudah menunjukkan warnanya.

Khamis, Februari 14, 2008

Apa Yang Ingin Kau Lihat PRU12 Ini?

SOALAN yang sangat subjektif. Jujurnya aku mungkin tak mengimpikan banyak perkara – sebagai seorang penulis kecil dan sebagai ketua keluarga. Awalnya kedatangan PRU12 sudah dijangkakan dan segala macam kisah akan tercoret sehingga 8 hb Mac nanti. Saat-saat ini tidak mungkin akan dilepaskan, dinikmati dan kemudian mungkin boleh digarap sebagai satu pengalaman karya.

Hanya satu yang aku ingin lihat – manifesto mengembalikan kedaulatan BAHASA MELAYU. Siapa yang akan mengemukakan manifesto itu? Kita tunggu sahaja lah...

Ini kisah lain... Setiap kali balik kampung, aku mesti merungut – jalan di hadapan rumah orang tuaku masih lagi berbatu kerikil tiga suku. PRU11 yang lalu, jalan itu disodok, dilebarkan dengan tanah merah dan kemudian ditabur dengan batu kerikil tiga suku. Memanglah tiga suku – sebab yang menjadi mangsa tayar motor dan tayar basikal. Harap-harap ia sudah bertar menjelang PRU12 kali ini!

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...