Selasa, Januari 15, 2008

Surat Terbuka Anwar Ridhwan

Karya Bermutu Wajar Jadi Teks Sastera
dalam Berita Harian 15 hb Januari 2008

SAYA merujuk 'Teks sekolah tak senarai karya SN" (Berita Harian, 12 Januari 2008). Berita itu antara lain menyebut bahawa karya Sasterawan Negara tidak disenaraikan sebagai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) bagi sekolah menengah yang disemak semula dan dijangka digunakan pada 2010. Sebaliknya, karya penulis popular dan remaja mungkin dipilih, untuk 'menarik minat mereka (pelajar) dalam Komsas.' Jika berita itu benar, ternyata wujud kesilapan yang paling besar dan asas terhadap konsep pemilihan teks sastera khususnya bagi Komsas. Teks yang dipilih bukanlah sekadar untuk 'menarik minat (pelajar) dalam Komsas', kerana sesebuah teks sepatutnya mengandungi beberapa elemen yang boleh memperkayakan pengalaman estetik, pengalaman intelektual dan mematangkan pelajar untuk mengenal mana yang benar dan mana yang salah.
Teks bukanlah suatu 'escapism', yang direndahkan mutu dan martabatnya semata-mata untuk menarik minat pelajar. Pemikiran sedemikian akan menyebabkan teks dipilih berdasarkan 'selera' pelajar semasa, dengan memilih sastera bermutu rendah atau disebut sebagai 'kitch'. Mereka (pelajar) akhirnya menganggap bahawa sastera bermutu rendah itulah sastera yang sebenarnya. Dalam jangka panjang, konsepsi sastera mereka akan ketinggalan jauh ke belakang rakan mereka di luar negara yang menggunakan teks sastera bermutu tinggi. Sehubungan ini wajarlah jawatankuasa pemilih teks Komsas meninjau kaedah digunakan bagi pengajian sastera di Barat, di Amerika Latin, Jepun, atau China. Di sana, hanya teks sastera yang bermutu, dan yang sudah diuji zaman, dipilih untuk dikaji dan dipelajari.

Karya yang sudah diuji zaman, biasanya mencapai tahap 'genius' atau menghampiri tahap 'genius'. Karya itu memiliki 'semangat zaman'nya, contoh teladan kehidupan dan bahasanya adalah wacana kreatif yang dapat dipelajari dari pelbagai sudut linguistik dan sosiobudayanya. Lebih baik karya sastera Melayu yang bermutu, yang sudah diuji zaman ini dijadikan teks Komsas. Karya boleh dipilih daripada tulisan sembilan Sasterawan Negara yang ada iaitu Keris Mas, Shahnon Ahmad, Usman Awang, A Samad Said, Arena Wati, Noordin Hassan, Muhammad Salleh, Abdullah Hussein dan S Othman Kelantan atau puluhan penerima South East Asia Write Award. Korpus karya sastera kita juga menawarkan tulisan yang menarik daripada Munsyi Abdullah, Ahmad Murad Nasaruddin, A Samad Ismail, Ishak Muhammad, Abdul Rahim Kajai, Hasan Ali, Abdul Rashid Ngah dan sebagainya. Sastera tradisional pula pastilah tidak mungkin mengabaikan genius pantun Melayu, petikan daripada Hikayat Hang Tuah, petikan daripada Sulalat al-Salatin, beberapa petikan karya Raja Ali Haji dan sebagainya.
Pemilihan teks sastera yang baik dan yang sudah diuji zaman, adalah tradisi pengajaran dan pembelajaran sastera di negara maju atau negara yang sedar akan konsep dan martabat sastera. Janganlah 'merendahkan' teks sastera Komsas berikutan masalah pelajar, kerana kedua-duanya isu berlainan. Pemilihan teks sastera yang baik dan yang sudah diuji zaman, akan lebih membuka minda pelajar terhadap konsep sastera yang sebenar iaitu karya yang dapat memperkayakan pengalaman seni, pengalaman intelektual serta keupayaan mereka untuk menimbang dan memilih yang terbaik dalam kehidupan ini. Itulah antara tujuan utama pengajaran dan pembelajaran sastera dan tujuan itu sepatutnya dicambahkan dan dipupuk sejak peringkat Komsas lagi.


DATUK DR ANWAR RIDHWAN,
Ketua Satu Persatuan Penulis Selangor.

Jumaat, Januari 04, 2008

Desir Angin di Pergunungan & Belasungkawa Buat Dr Nuri



Ini buah tangan paling berharga - atas jerih payah Sifu Zaharah Nawawi membimbing kami seramai 20 orang anak-anak warga Kepezi. Inilah buah tangan paling manis, novel dewasa saya yang kedua diterbitkan DBP.

Jika ada calon penulis yang bertanya saya - pada siapakah paling baik berguru - Sifu Zaharah Nawawi lah jawapannya. Jika patuh dan akur setiap tunjuk-ajar dan 'semburan' api naganya - dalam masa yang singkat pasti akan menempa nama di arus perdana. Sampai bila-bila, saya mungkin tak akan dapat melupakannya.

Januari 1, 2008 - saya dikejutkan dengan penerimaan sms dari telefon bimbit Dr Nuri. Begini bunyinya - 'Innalillahiwainnalillahirajiun... just to inform that dr norrihah takuan has just passed away on 1 Jan 2008 at 4.35 pm... -tq'. Bagai luruh jantung saya membacanya, jauh sekali mempercayainya. Pantas saya mendail nombor telefon Sifu Zaharah Nawawi dan dia suruh saya menefon nombor telefon Dr Nuri untuk memastikan. "Eh, semalam baru Dr Nuri e-mail saya," katanya dalam ragu. Tetapi ketentuan Allah jua, anak Dr Nuri mengesahkan sms itu. Terbayang di mata, Aidilfitri yang lalu, saya sekeluarga sempat singgah di rumah ibubapa Dr Nuri, Ustaz Takuan (kami sekampung dan Ustaz Takuan memang dikenali semua). Kami berbual panjang, suaminya Dr Khairuddin yang periang turut melayan kerenah anak istimewa kami. Dr Nuri yang mula menggelar saya K di Kepenzi Online telah pergi. Ya Allah, tempatkan rohnya bersama orang-orang yang beriman. Amin!

Brinchang

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...