Khamis, Oktober 04, 2007

LIMA SOALAN DAN LIMA JAWAPAN

1. Apakah yang paling payah dalam proses menulis?
Memulakan ayat yang pertama. Itulah yang paling payah dan jika tidak teguh idea, akan tertangguh berhari-hari atau hilang terus. Kata orang, pembaca akan menilai dari ayat pertama.

2. Genre manakah yang lebih mudah? Puisi, cerpen, novel atau skrip drama?
Untuk menjawab soalan itu – saya lebih suka merujuk kepada genre mana yang paling susah – puisi. Mungkin saya masih belum ranum dengan puisi. Umpama buah yang tak cukup baja. Genre cerpen agak rumit dan terhad tetapi untuk menulis novel adalah lebih mudah jika berkemahiran menulis cerpen terlebih dahulu. Biasanya selepas menulis novel – penulis akan kurang kembali ke cerpen. Kenapa? Ruang dalam novel lebih luas dan bebas. Genre paling mudah adalah skrip drama. Apabila sinopsis telah ada dan mempunyai watak jelas – ia akan mengalir di hujung jari.

3. Petua untuk tidak putus idea?
Bergantung kepada diri penulis sendiri, paling mudah adalah membaca, diikuti melayari internet (untuk menyelidik), melihat telatah manusia di tempat awam (untuk mentafsir watak) dan mengembara (untuk mendapatkan latar tempat). Jangan lupa, kita tidak pasti tempat kita tinggal menarik tetapi orang yang datang melawat kita pasti akan mengatakan menarik. Tidak pelik bukan?

4. Bagaimana untuk terus lestari dalam penulisan?
Penulis tidak akan dikenali hanya dengan sebuah novel. Perlu menulis banyak buku, kumpulan cerpen atau dua atau tiga buah kumpulan puisi. Untuk terus lestari – bergaul dengan masyarakat penulis. Ikuti diskusi, sembang puisi dan sertai sebarang majlis penulis. Paling penting – jika tinggal di tengah belantara dan di puncak gunung seperti saya – sertai komuniti internet – kepezi atau e-sastera mahupun spm gapena. Jika saya ada urusan kerja atau kursus di suatu tempat, pasti saya akan mencari kenalan penulis di tempat itu untuk sembang-sembang mengisi masa senggang hingga menjelang dinihari. Kita bercakap dalam bahasa yang sama bukan?

5. Bagaimana mengurus idea?
Sungguh saya menulis dengan komputer riba tetapi sebuah buku nota mesti sentiasa bersama saya. Buku nota itu mencatat sebarang idea yang melintas, juga sinopsis-sinopsis novel atau cerpen. Pada satu-satu masa, saya mempunyai stok sinopsis yang masih belum bergerak menjadi cerpen atau novel sehingga 4 atau 5 buah. Kadang-kadang sinopsis itu terus terbiar dan ada yang terus digarap. Dengan demikian apabila saya jemu menulis satu novel, saya akan beralih ke novel yang lain. Atau masa senggang sejam di waktu bekerja, saya akan menulis satu skrip drama pendek. Proses menulis saya tidak akan berhenti.

Saya sering cemburu dengan rakan penulis sepenuh masa. Alangkah… Jika saya berkesempatan menulis sepenuh masa.

Dari Beranda Apartment
Brinchang

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...