Isnin, Jun 11, 2007

Tentang Tebal

Mengimbau kembali dengan pertemuan dengan Marsli N O di Restoran Alif, Kuantan awal bulan ini. Kami berbual seputar sastera dan perkara yang paling panjang dibualkan – tentang tebal.
Rupa-rupanya ramai penerbit yang berminat untuk menerbitkan manuskrip yang tebal. Setebal mungkin – lebih baik, hatta untuk novel kanak-kanak pun. Perkara ini mungkin disebabkan pengaruh Harry Potter yang melanda dunia hari ini. Semakin tebal dikatakan semakin mendapat tempat di rak-rak buku kedai buku terkenal – mudah dilihat, mudah dipamer dan mudah dijual. Maka penulis-penulis pun mulalah mengikut rentak kehendak penerbit, menulis yang tebal-tebal dan sering ketandusan idea sehinggakan membancuh secawan nescafe pun ditulis. Botol nescafe dibuka perlahan, kucapai sudu dan menyenduk seenak rasa. Air panas dan serbuk nescafe berbaur menerbitkan aroma yang enak sekali pada pagi-pagi begitu – segarnya.
Soalnya perlukah? Apa yang ditulis itu mengembangkan watak atau plot kah? Atau sekadar santaian cerita tanpa keperluan hujung dan pangkalnya?
Tidak dinafikan novel yang tebal-tebal selalunya menjadi pilihan pembaca – biasanya bakal pembaca akan membelek dan mengandaikan berapa lama dia akan menghabiskan novel itu – satu hari? Dua hari atau seminggu? Ia dikaitkan dengan nilai wang yang akan dikeluarkan. Membeli sebuah novel 500 mukasurat dan akan dibaca selama seminggu – berbaloi pada pandangan pengguna@pembaca berbanding membaca novel nipis yang boleh dihabiskan dalam masa beberapa jam. Tetapi apakah gagasan yang diutarakan novel tebal-tebal itu – sekadar bacaan ringan atau santai – sehinggakan memasukkan ide-ide yang biasa-biasa dan seharian bagai hanya memenuhi tuntutan ketebalan?
Seringkali penulis tidak dapat menjangka berapa mukasurat novelnya akan ditulis – hanya selepas plot berkembang dan gagasan ide terlaksana – mungkin anggaran mukasuratnya terpelencong tetapi paling penting plot dan wataknya berkembang dalam cerita. Bukan sekadar catatan yang hilang hujung dan pangkalnya. Jika penerbit melihat dari segi bagaimana mahu menjual novel itu – melihat ketebalan sebagai faktor yang mendorong, penulis yang mencipta novel perlu melihat keseluruhan isi, perkembangan watak dan plotnya. Bak memugar tanah, menentukan jenis benih dan memastikan bagaimana kebun itu akan terhasil.
Teringat sewaktu di universiti dahulu – ada juga pelajar dan pensyarah yang menimbang isi kertas kerja berdasarkan ketebalannya… Timbang kilo katakan!

Kuala Kubu Bharu

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...