Sabtu, Februari 24, 2007

Proses Kreatif - Kabus di Perbukitan

Saya tidak menjangka novel ini berjaya merangkul hadiah saguhati di Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP. Motif utama saya menghantar novel ini ke sayembara adalah untuk mengukur keupayaan saya dalam gelombang dunia sastera.

Ia adalah novel yang kedua saya tulis – novel yang pertama (yang ditulis 10 tahun lalu) masih dalam simpanan sebab saya gusar dengan mutunya. Novel ketiga pula – sebuah projek penulisan DBP dengan bimbingan Zaharah Nawawi, insya-Allah akan terbit dalam masa yang terdekat. Sungguh pun begitu Kabus di Perbukitan yang saya mula tulis pada tahun 2000 hanya siap setelah novel ke tiga saya siap. Pelik bukan? Itulah yang dikatakan pasang surut penulis - kadang kala ia terhenti beberapa lama dan disambung kembali bila ide datang.

Penulisan novel ini bermula dengan berkisar pengalaman bertugas di Sabak Bernam. Sebuah daerah yang begitu akrab dengan kehidupan masa kecil saya di Tanjong Karang, Selangor. Saya menggali hati nurani masyarakat Banjar, yang sama sekali sukar untuk saya memahami budaya dan bahasanya. Sedang saya sendiri dibesarkan dalam masyarakat Jawa yang rumit budayanya. Plot utama penceritaan bahagian pertama novel ini berkisar kepada rencah hubungan telepati antara dua orang kembar yang terpisah. Seorang hilang dan kemalangan berhampiran Bukit Fraser manakala seorang lagi sedang berjuang dengan maut di HUKM. Mereka ditemukan dalam alam yang serba aneh 100 tahun yang silam ketika Bukit Kutu menjadi pusat peranginan British dan ampangan bijih timah pecah yang membinasakan seluruh Pekan Kuala Kubu. Peristiwa ampangan pecah ini menjadi trauma kepada penduduk Kuala Kubu sehingga sekarang - langkah kerajaan membina Empangan Sungai Selangor di Pertak mendapat bantahan awam tetapi projek tetap dilaksanakan.
Bahagian kedua novel adalah kisah dua puluh tahun kemudian, si kembar yang hilang sudah berhijrah ke New Zealand – tinggal bersama suami seorang muallaf berkulit putih, mempunyai sepasang anak kembar juga dan mengusahakan ladang ternakan. Bahagian kedua begitu mencabar dengan pertembungan budaya Melayu Islam lawan kacukan Melayu Islam lawan Arab moden yang runtuh. Fasalfah hidup dan beragama bertembung ketika mempertahankan acuan pegangan. Bahagian ini amat mencabar dan saya hanya mampu menyelesaikan satu bab dalam dua minggu untuk mendapatkan karya yang benar-benar menyampaikan intinya.
Proses kreatif menulis novel ini begitu menyakitkan. Saya terpaksa mencatat dialog dalam buku kecil setiap kali ide itu muncul kerana jadi begitu takut ia akan muncul dan lenyap tanpa sempat diolah. Sepanjang proses ini serasa berada dalam dunia yang tersendiri, saya lah watak-watak yang bermain dalam plot. Saya lah juga pentafsir yang sering menjadikan kabus mengisi segenap ruang pemandangan dari pejabat saya di Cameron Highlands sebagai sumber ilham. Ketika itu, saya belum mendapat rumah – bermalam di pejabat dan bersendirian kerana keluarga masih belum ikut berpindah. Setiap petang, jika ada kesempatan saya akan duduk dengan buku kecil dan pen di tangan di perkebunan teh sama ada di Bharat Tea Plantation atau pun di Ladang Boh Sungai Palas. Kabus saya jadikan lambang kerana ia mengindahkan alam. Suasana akan lebih ‘cantik’ dan ‘indah’ jika kabus menyelubungi. Cuba bezakan satu pemandangan – satu berkabus dan satu lagi tidak berkabus. Yang mana satu lebih indah? Begitulah, alam ditafsir sedemikian di tangan seorang penulis.

Brinchang

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...