Isnin, Disember 18, 2006

Aku Yang Terpukul

Budaya jibunsyi bukan budaya baru tetapi telah wujud ratusan tahun dalam budaya masyarakat Jepun. Mereka mengungkap sejarah keluarga dan diturunkan sebagai warisan. Menulis jibunsyi bukanlah mudah – perlu punyai kekuatan, malah perlu memilih inti yang perlu dan wajar diceritakan. Kerana itulah aku sering gagal untuk mula menulis jibunsyi.

Menyentuh tentang kisah benar, aku rasa seolah-olah terpukul. Malah mungkin aku akan menimbangkan semula untuk menulis sebuah buku berkaitan penyalahgunaan dadah (dan tentang kegagalan penagih itu dipulihkan). Pengalaman 14 tahun di AADK mematangkan diri bagaimana melihat sifat dan sikap insan penagih dadah ini. Sesungguhnya orang ramai tidak sedar penagih dadah dari Malaysia hingga ke Afrika Selatan bersifat internasional. Dia bukan Melayu, Jawa, Cina Hailam, Pastun, Malabar atau pun Badwi tetapi apabila dia menggunakan dadah maka kaumnya adalah kaum pengguna dadah. Sifat dan sikapnya sama merentasi sempadan negara. Kenapa aku rasa terpukul? Kerana perasaan cinta seorang adik terhadap seorang penagih dadah yang sebaya denganku.

Aku tidak pernah mengatakan masyarakat tidak ambil berat sepanjang kerjayaku yang lalu. Sering ku tegaskan kepada klien – setiap orang akan mengambil risiko dan akibat perbuatannya adalah tanggungjawab sendiri. Ubah fikiran diri sendiri dan bukan mengharapkan fikiran masyarakat yang akan berubah. Bukankah kita berada dalam masyarakat?

Menyentuh tentang pemulihan dadah yang dijalankan di Malaysia – langkah itu sebenarnya hanya untuk membendung bukan untuk memulihkan. Tidak ada cara yang ditemui benar-benar berkesan dari tough and rugged, treputik komuniti, penggunaan ubat gantian – trexan, halakah dan kini dengar-dengarnya sudah menggunakan metadon pula. Apa-apa pun syarikat famasikal juga yang mengaut keuntungan dan pembayar cukai terpaksa membazirkan wang berjuta ringgit setahun.

Menyentuh tentang rasa terpukul tadi – sudah aku usahakan sebagaimana yang sepatutnya. Tegah & nasihat, malah menyemak rekod polis. Kata orang cinta itu buta tetapi kataku cinta yang begitu adalah tindakan membabi buta. Klien-klien ku dahulu hingga kini – hidup mereka seperti ombak, sekejap berada di atas, sebentar kemudian berada dibawah tetapi selalunya berada di bawah. Berkahwin dengan penagih dadah – pengalaman hidup itu tidak sesuai lansung untuk ditulis jadi jibunsyi. Lebih banyak derita dari bahagia, malah mungkin perlu lebih bersedia untuk menjadi buta hati, tebal muka dan pekak telinga. Nasihatku yang paling akhir mungkin – buat ujian saringan HIV! Dan jangan buat sekali sahaja sebaliknya enam bulan sekali... Sepanjang hayat dengan penuh rasa cinta.

Cameron Highlands

Isnin, Disember 11, 2006

Siti Nurbaya - Sebuah Nama dan Sebuah Novel

Aku tak pernah membaca novel Marah Rusli – Siti Nurbaya (judul asalnya - Siti Noerbaja oleh Marah Roesli). Nama itu tentulah popular dan glamor pada zamannya. Seorang temanku, Siti Norbaya juga namanya – amat menarik perhatianku. Dia mempunyai perwatakan sendiri yang begitu anggun dan berciri – mudahnya mempunya tag atau label sendiri. Kali ini aku ingin menulis tentang watak dan perwatakan, bagaimana seorang penulis menemui wataknya untuk novel yang bakal ditulis.

Aku suka membingkaikan watak. Sebagai contoh – aku bingkaikan perwatakan seseorang dengan sebuah nama watak yang bakal ku tulis dalam novel. Tahukah anda, setiap orang mempunyai keistimewaan sendiri – seperti bagaimana Siti Norbaya yang mudah tersenyum manis lagi menyenangkan, yang suka bercakap sambil memejamkan mata sesekala, juga kadang-kadang memakai jam terbalik di pergelangan tangannya. Ia tak disedari tetapi itulah ciri-ciri yang manis dalam perwatakan itu. Sebagaimana aku gemar melihat seorang sifuku dalam penulisan menyepit tudungnya dengan penyepit kertas. Apabila aku mula membingkaikan watak, setiap kali menulis – aku pasti akan ingat orang yang aku bingkaikan watak itu. Bagaimana dia berjalan, bagaimana dia bercakap, warna apa bajunya atau pun karismanya. Hanya namanya sahaja yang aku tukar tetapi tidak perwatakannya. Begitulah proses penulisan itu menuju ke penamatnya dan watak itu akan sentiasa hidup dan bermain dalam fikiranku.

(Buat temanku – Siti Norbaya. Perwatakan anda membuatkan aku terpesona! Tentu novelku yang akan datang akan mengabdikannya.)

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...