Isnin, Oktober 30, 2006

Mentafsir Alam Yang Indah


Siri Penyiasat Ekstrovert ke 5 – Pedang Yamashita bukanlah semata-mata kisah penyiasatan kanak-kanak sahaja. Ia merupakan garapan tanggungjawab sosial dan sains. Pengalaman meredah hutan bakau di Tanjung Piai sewaktu mengikuti perhimpunan penulis muda 2005 – aku abadikan dalam siri ini. Mudah-mudahan akan memberi pengalaman pembacaan yang menyeronokkan.

Aku teringat zaman kecil – waktu sesekali tinggal di rumah kakak di Sungai Kajang, Tanjong Karang. Rumahnya tidak jauh dari laut. Hanya berbasikal sekitar 5 atau 10 minit sahaja. Kami akan mengutip kerang atau lala, kadang kala kepah di pantai berlumpur itu. Pokok-pokok bakau – tidaklah terlalu tinggi (selalu jadi mangsa orang kampung untuk dijadikan bahan benaan) jadi tempat kami bernaung sambil memasak lala dan kerang di dalam tin sardin. Kata orang pengalaman itulah yang mengajar erti hidup – susah & senang, pahit & manis berbaur yang kadang kala apabila dewasa kita tidak pasti yang mana satukah pahit dan yang mana satukah manis.

Aku menjadi dewasa dalam alam yang indah – di kampung dan kemudian setelah mula berkerja aku juga memilih pekan kecil yang tidak sibuk. Malah bau hutannya kadang-kala menerjah masuk dari tingkap-tingkap yang terbuka pejabatku – sebuah quarters lama yang diubah-suai dijadikan pejabat.

Sabtu, Oktober 14, 2006

Penyiasat Ekstrovert - Terowong Rahsia Diulang Cetak


Sementara menunggu isteri 'shopping' aku menjengah Popular Ipoh dan senang hati melihat terowong rahsia dengan stail baru berada di pasaran. Aku jangka buku ini hanya akan dulang cetak tahun hadapan, nampaknya sangkaan aku meleset. Menulis terowong rahsia - pengalaman yang manis kerana latar belakangnya adalah tempat aku tinggal. Malah terowong rahsia telah mewujudkan fenomena baru - ada murid sekolah itu cuba mencari terowong rahsia yang sebenar!

Syabas kepada Nuriazam Ismail yang melukis komik yang ada 'class' untuk buku ini.

Kuala Kubu Bharu

Khamis, Oktober 05, 2006



Dua hari di Kuantan, aku sempat menjejak buku di Popular. Menjengah penyiasat ekstrovert di tempat yang dikhaskan untuk best seller bersama novel-novel Sidney Sheldon, Nicholas Spark dan lain-lain membuatkan aku menarik nafas lega. Terbang juga sejumlah wang untuk memoir terbaru Sidney Sheldon - The Other Side of Me. Dan dalam dua hari itu, aku selesai membaca memoir yang sangat menarik itu.

Paling mengujakan, Sidney yang bermula sebagai penulis lirik dan pencipta lagu, diikuti penulis skrip drama dan akhirnya mengakui menulis novel adalah segala-galanya. Novelnya yang pertama The Naked Face, hanya laku 17000 naskah sahaja di USA. Dalam satu priview novel itu - dia hanya menjual senaskah novel sahaja. Tetapi lihatlah sekarang, novel-novelnya sudah dicetak 300 juta naskah dan diedarkan ke 51 buah negara di seluruh dunia.

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...