Isnin, Ogos 28, 2006

Antara Rasa Ingin Tahu Dan Mencintai Buku

Ada seorang pendidik menyatakan pada saya – “Cerita-cerita penyiasatan ala Hardy Boys sudah ketinggalan zaman. Kanak-kanak tidak berminat dengan kisah-kisah demikian.” Pandangan itu ada benarnya – jika kita membaca siri itu dalam terjemahan yang dangkal. Jika kita membaca dalam versi asal berbahasa Inggeris – ia tetap menarik sebagaimana kita membaca Heidi atau Nancy Drew.
Menulis cerita kanak-kanak terutama siri penyiasatan bukanlah mudah. Pertama penulis perlu menghadkan keupayaan kanak-kanak. Tak boleh dengan mudah ke sesuatu tempat. Tidak boleh keluar terlalu lewat atau pun menyiasat sesuatu berhari-hari. Bukankah ini Malaysia – bukan US atau London yang ada cuti musim panas atau cuti musim sejuk. Dan berbagai-bagai tidak dan tidak dan tidak… Atas sebab-sebab itu ramai teman penulis yang enggan menulis cerita kanak-kanak. Belum lagi untuk menyelusuri minda kanak-kanak – kreatif, bertenaga dan sentiasa teruja, rasa ingin tahu yang membuak-buak selain jiwa mereka yang masih ‘murni’.
Saya menulis untuk kanak-kanak kerana rasa tanggungjawab saya – mereka ingin membaca, malah sanggup menekuni pembacaan kulit ke kulit. Sungguh pun begitu tidak banyak bahan bacaan bermutu untuk mereka. Apatah lagi bahan bacaan dalam bahasa Melayu. Jika mereka tidak dididik membaca seawal mungkin – kelak dewasa nanti mereka akan menjadi sebahagian statistik orang yang hanya membaca dua buah buku setahun. Itu pun cukup baik, malah ada seorang teman tidak pernah membeli hatta sebuah buku pun setahun!
Inilah tanggung jawab penulis – mengambil bahagian dalam kempen gerakan membaca. Menulis dalam bahasa Melayu – jangan sampai lambakan buku bahasa Inggeris akan memenuhi setiap ruang di kedai-kedai buku.
Penyiasat Ekstrovert bukan sekadar siri penyiasatan sahaja. Saya terapkan ciri utama setiap siri penyiasatan itu – tentang alam sekitar negara kita yang semakin sakit. Tentang tanggung jawab sosial seorang anggota masyarakat dan tentang tanggungjawab insan kepada Tuhan. Ia bukan sekadar buku cerita tetapi sebagai wadah pendidikan – bukan menasihat, sebaliknya mengajak pembaca berfikir secara kreatif.
Bermula dengan Terowong Rahsia yang diilhamkan dari suasana sekitar Pekan Kuala Kubu Bharu yang bersejarah, saya mengadaptasikan kisah Tentera Tikus yang menjadi gerakan peperangan gerila paling berkesan di Vietnam. Kemudian Sesat di Bukit Fraser atas pengalaman sendiri melihat gerakan mencari dan menyelamat kehilangan empat kanak-kanak di Bukit Fraser yang mengundang episod cemas ketika menemui kesan-kesan kencing dan najis seladang di Denai Bishop. Manakala Serangan Amfish pula cereka sains fiksyen yang menerapkan kepentingan ekosistem hutan paya air tawar. Satu-satunya yang menerapkan bahaya penagihan dadah dan pengedarannya – hasil pengalaman bekerja di Agensi Anti Dadah Kebangsaan selama 14 tahun saya terapkan dalam Lolongan Misteri. Terakhir dalam siri ini untuk tahun 2006, Pedang Yamasita merupakan gabungan pengalaman meredah hutan bakau di Tanjung Piai, Johor dan sejarah pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Bukankah buku cerita ini akan secara tidak lansung akan mendidik kanak-kanak untuk mencintai negaranya – alam sekitar yang indah, perpaduan antara kaum yang tiada taranya di negara lain dan tidak mengabaikan aspek buku cerita sebagai bahan berhibur.
Lalu saya bertanya kembali kepada teman pendidik tadi, “bagaimana semudahnya mahu mendidik kanak-kanak? Apakah dengan nasihat yang berupa leteran atau bercerita dengan moral pengajaran yang baik?”

Mohamad Kholid Hamzah
Cameron Highlands

Rabu, Ogos 23, 2006

Sesat di Bukit Fraser


PENYIASAT EKSTROVERT- SESAT DI BUKIT FRASER

Ada pembaca yang hubungi saya dan tanya - benarkah kisah Sesat di Bukit Fraser? Apakah benar-benar berlaku? Bagaimana mendapat ide menulis kisah ini. terus terang saya katakan, saya memang gemar jungle tracking. Melihat hutan memang minat saya sejak remaja dahulu. Kisah ini saya tulis berdasarkan pengalaman melihat sendiri operasi mencari dan menyelamat empat orang kanak-kanak yang hilang di Bukit Fraser pada tahun 2005. Saya mengalami sendiri melalui Denai Bishop dan kebetulan bertemu dengan kesan seladang. Mujur kami sempat keluar sebelum terserempak sendiri dengan mamalia yang paling ganas itu.

Penulis : Mohamad Kholid Hamzah
Ilustrasi : Nuriazam Ismail
Harga : RM 12.50
Penerbit : PTS One Sdn Bhd

Lolongan Misteri di pasaran sekarang


Lolongan Misteri
Harga : RM13.00

Penyiasat Ekstrovert bercuti di Temerloh dan mereka telah terdengar lolongan yang amat mengerikan di tengah malam. Penyiasat Ekstrovert bertindak - menyiasat sebuah hospital swasta yang terletak tidak jauh dari Sungai Pahang. Apakah yang mereka temui?

Konsep novel ini - novel & komik. Satu konsep baru yang popular dewasa ini untuk bacaan kanak-kanak dan remaja.

Penulis : Mohamad Kholid Hamzah
Ilustrasi : Nuriazam Ismail
Penerbit : PTS One Sdn Bhd

Selasa, Ogos 22, 2006

Cuti Sekolah Datang Lagi

Sejak aku bermaustautin di Cameron Highlands setahun ini - cuti sekolahlah yang paling membosankan. Bila cuti sekolah - hotel-hotel mula penuh dan ada pasar malam setiap hari. Aduhai, sampahlah masalah utama. Pelancong yang menyintai keindahan Cameron Highlands membuang sampah sesuka hati. Dari tingkap kereta, di tepi-tepi jalan, bersepah-sepah. Adakah mereka tidak bermoral? Apa salahnya simpan sekejap dalam kereta dan kemudian buang di tong yang disediakan.
Penyakit kedua - memetik bunga dan paling teruk, melesapkan bunga. Bunga-bunga yang di tanam dihadapan pejabatku - agak berkurangan sedikit. Pandai pula mereka mengambil sebahagian sahaja - sebahagian lagi ditinggalkan untuk mudah membiak.
Menyebut tentang habit pelancong Malaysia ini, ada sesuatu yang berlainan dengan pelancong dari Eropah, US atau pun Australia. Mereka tidak menginap di hotel mewah sebaliknya di budget hotel atau homestay. Tidak gila membeli belah sebaliknya lebih gila jungle tracking. Bukan menginap sehari dua sebaliknya berbulan-bulan. Situasi ini dapat dilihat sepanjang tahun. Pelancong dari Jepun pula menikmati hari-hari tua & persaraan. Menyewa apartment berbulan-bulan, berjalan kaki menikmati alam & hutan dan mengandar kayu golf pagi - petang. Pelancong Malaysia - hanya berbelanja, beli kobis dan sayur sebonet penuh.

Ahad, Ogos 13, 2006

dalam dunia sendiri-sendiri

Memandu saat yang paling baik untuk berfikir. Dalam liku-liku mendaki dari Tapah ke Cameron Highlands - sesekali aku dikejutkan dengan kemunculan Orang Asli di tepi jalan. Ramai yang memikirkan mereka susah - setahuku sepanjang aku bekerja di JKM, Orang Asli bukan orang yang suka meminta-minta. Mereka lebih tabah, anak-anak mereka mahu ke sekolah akan bangun seawal 4 pagi. Berjalan keluar dari rumah di tengah rimba ke tepi jalan sebelum jam 6 pagi. Hanya jam 7.30 barulah sampai ke sekolah di Pos Brooke. Mereka lebih tabah dari anak-anak kita yang bangun pagi berkejut dan dihantar ke sekolah dengan kereta. Susah mereka pada "nilai" kita dan bukan pada 'nilai' mereka. Hidup mereka tanpa peti ais. Tangkapan ikan hanya untuk makan hari itu sahaja-jika berlebih akan dilepaskan. Mereka tidak mengganggu alam sekitar. Hidup mereka seadanya. Tanpa prejudis.

Dan aku yang hidup sendiri-sendiri - bergerak dalam rel keretapi yang aku sahaja memahami. Jiran-jiran di sini tidak banyak membantu - selain dari mengkagumi sejumlah besar koleksi buku ku. Ah, hidup memang sendiri-sendiri...

Kereta-kereta di Makkah

  KERETA tiadalah tinggi nilainya di Makkah.  Tidak seperti di negara kita, memiliki kereta ditatang bagai minyak yang penuh.  Saban minggu ...