Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Rabu, Julai 12, 2017

Bunga Popi Usman Awang

Dari darah, dari nanah yang punah di tanah,
rangka manusia kehilangan nyawa disambar senjata,
hasil manusia gila perang membunuh mesra,
bunga merah berkembang indah minta disembah.
Yang hidup tinggal sisa nyawa, penuh derita,
kering, bongkok, cacat, tempang dan buta,
perang dalam kenangan penuh kengerian,
sekarang dalam kepahitan,
dalam kesepian.
Yang lain kehilangan anak, suami dan kekasih,
hilang pergantungan, hilang pencarian,
hidup kebuluran,
ribuan janda, ribuan kecewa, ribuan sengsara,
jutaan anak-anak yatim hidup meminta-minta.
Manusia gila perang telah membunuh segala mesra!
perang berlangsung mencari untung tanah jajahan!
perang berlangsung membunuh anak dalam buaian!
perang berlangsung menghantar lebur nilai kebudayaan!
Bunga popi bunga mayat perajurit bergelimpangan,
bunga darah merah menyimbah,
penuh kengerian.
Kami benci pada perang penuh pembunuhan!
kami rindu pada damai sepanjang zaman!

Usman Awang
1955



Bunga popi, saya dahulu berfikir panjang kenapa sajak tentang perang karya Usman Awang bertajuk bunga popi.  Setelah bertahun-tahun berkerja bersama penagih dadah, saya membuat satu kesimpulan - dadah telah mengubah genetik pencandunya.  Jika anda menghisap dadah sekarang, berkemungkinan besar generasi anda akan datang juga akan menghisap dadah.

Jika menelusuri sejarah, ketika Sultan Abdullah mahu berperang dengan JWW Birch, baginda telah memesan ratusan senapang dan sepeti candu dari Pulau Pinang.  Perlu diingat wilayah Pulau Pinang ketika itu bukanlah Pulau Pinang sekarang.  Wilayahnya dari Pangkor hinggalah Seberang Perai.  Malam sebelum berperang, untuk menaikkan semangat, baginda dan bala tenteranya membuat upucara main hantu - menghisap candu adalah sebahagian darinya.  Manakala punca perang Selangor apabila dua peti candu milik Raja Mahadi dirampas oleh Raja Abdullah, orang besar yang diberi kuasa mengutip cukai oleh sultan.  Raja Mahadi berpegang bahawa anak raja tidak boleh dikenakan cukai dan kerana itu peperangan pun berlaku.

Tidak hairanlah kini penagih-penagih dadah tidak pernah berkurangan bahkan semakin bertambah dari sehari ke sehari. Bunga popi yang ditoreh getahnya untuk mendapatkan candu menjadi punca segala fitnah yang menimpa umat manusia.  Hari ini, hari lahir Usman Awang.  Alfatehah.   

Tiada ulasan: