Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Khamis, Mei 04, 2017

Cebisan-cebisan Malacca


DARI pintu kaca gelangsar yang terbuka, dia melihat langit resah seolah-olah sedia menitiskan rahmat.  Musim kering yang melanda negara sejak beberapa minggu lalu nampaknya akan sirna.  Titis-titis hujan yang kasar, menerpa sengkuap banglo peranginan yang menjadi tempat dia berlindung sejak beberapa hari yang lalu.  Dentingannya kadang kala menggusarkan.
     Juraimi bangkit dari katil, menggulung selimut ke hujung kaki dan mencapai baju-t yang tersangkut pada tupai-tupai di dinding.  Dia mendengar bunyi enjin kereta memasuki garaj, melihat jam di tangan dan bergegas menuruni tangga.  Loceng pintu sudah dipetik beberapa kali ketika dia mencapai ganggang pintu.
     “Baru bangun?”
     Juraimi hanya tersenyum, menyerlahkan baris-baris giginya yang putih.  “Lepas Subuh tadi, saya terus sambung tidur,” katanya dengan rasa serba salah.  Sudah beberapa hari dia terpaksa menyusahkan Anne Teoh.  Mujurlah wanita Cina lewat dua puluhan itu sedia sahaja membantu, atau berkorban mengikut kata orang muda sekarang.
     Anne Teoh tersenyum sekilas, senyuman dan kelembutan itulah yang selama ini didambakan.  Wajah bujur sireh, kulit kuning langsat mulus dan bibir kecil nipis.  Gemar hanya berseluar denim biru dengan blaus yang berwarna bunga-bunga terang.  Wajah itulah yang mengingatkan pada Anne Duke.
     “Petang nanti boleh menemankanku ke Joker Walk?” tanya Anne Teoh sambil menghidangkan coklat panas yang dibancuh bersama oat.  Dua mangkuk mee rebus Muar dengan telur rebus yang kuningnya tidak masak.
     Juraimi mencapai penyepit dan mula menikmati mee rebus yang dibeli Anne Teoh itu.  Menyepit telur terlebih dahlu dan mengunyah perlahan.
     “Kau sudah pandai menggunakan penyepit,” tegur Anne Teoh.
     “Mudah, Tahun Baru Cina nanti aku boleh sahaja menyambutnya di rumah orang tua mu,” balas Juraimi bersahaja.
     Mata Anne Teoh terbeliak, titis jernih hampir sahaja terjatuh darinya.  “Maksudmu?  Kau…  Kau mahu…”
     “Tentu sahaja selepas semua ini selesai,” potong Juraimi cepat-cepat.

     Satu keluhan panjang kedengaran.  Anne Teoh seolah-olah kembali terhumban ke dalam realiti.


Tiada ulasan: