Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Rabu, Mac 08, 2017

Pekan di Kuala

PEKAN Sangka Dua terdiri dari sebaris kedai kayu yang berbumbung tinggi dari atap bertam.  Ada empat buah kedai semuanya, setiap satunya sentiasa dibuka.  Papan pintu sekeping-sekeping akan dikeluarkan dari kayu pengapitnya dilantai dan di bawah alang mengikut susunan yang sudah ditentukan.  Ia ditanda dengan sebatang katu panjang yang dilekatkan pada setiap papan pintu itu dan dipotong pula mengikut lebarnya dan berguna menjadi pemegang papan pintu itu bila ditarik ke bahagian yang tidak berapit.

            Suatu ketika dahulu Medan pernah menunggu di depan kedai asam garam milik Pak Itam.  Itulah satu-satunya kedai milik orang Mendailing.  Kedai-kedai yang lain, kedai barang-barang melombong milik orang Hakka.  Kedai ceti milik orang Chettiar dan disebelahnya kedai menimbang timah dan emas.  Kata Pak Itam, tukang kedai itu bukan tukang Melayu tetapi kuli tauke asal lombong Sangka Dua yang telah ditutup.  Kayu-kayu diramu dari hutan Sangka Dua sebelum dilombong.  Bentuk kedai-kedai itu jelas berlainan sekali dengan bentuk-bentuk kedai di Kuala Kubu yang masih menggunakan buluh dan kulit kayu.  “Mesti kukuh, malam-malam ada macan loreng yang sesat masuk ke dalam pekan,” terang Pak Itam ketika Medan membantunya membuka kedai.  Keningnya sedikit ternaik mendengarkannya.  Medan sentiasa bersedia, sebilah lembing pusaka tinggalan Tok Kambang sentiasa tersisip pada kajang pedatinya.  Jika macan loreng tiba-tiba muncul, tangannya akan pantas mencapai lembing di atas kepalanya itu dan bersedia merejam.  Medan sentiasa bersedia, padah tidak berbau dan ajal tidak menunggu.

Tiada ulasan: