Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Ahad, Mac 26, 2017

Aku Menulis dan Menjual ASIK


SEORANG kawan kami menerangkan kepada saya, mengapa sebuah masjid mesti berada di tengah-tengah kampung.  Jawapannya mudah, masjid mesti berfungsi sebagai pusat masyarakat.  Mudah untuk dikunjungi dan menjadi tempat yang melindungi.  Masjid tidak sepatutnya mahal dan mewah.  Biarlah mudah untuk diselenggara dan juga tidak terlalu dijaga – dimangga, dijerijikan dan dikunci hampir sepanjang masa.  Masjid sepatutnya menjadi tempat persinggahan musafir dan tempat orang bermasalah berlindung – jika sekarang dipanggil gelandangan.  Buku Asik bermula dari sini.

Kami mempunyai seorang sahabat yang akrab.  Seorang siak masjid, pemandu van jenazah dan penjual sate sebagai mata pencariannya.  Kami panggil, Pak Man Sate.  Boleh dikatakan orang Cameron Highlands mengenalinya.  Malah, pelancong yang datang ke sana juga kenal dia siapa.  Pak Man Sate ini orangnya sederhana.  Pakai t-shirt, berkopiah, seluar slack dan bercapal.  Membakar sate itulah pakaiannya, ke masjid pun itulah pakaiannya.  Apa yang menarik hati kami, tutur katanya.  Sangat berisi.  Penuh dengan maklumat.  Mengikuti perkembangan semasa – politik, sosial, setempat dan sukan juga.  Pendek kata, ada sahaja ceritanya.  Ceritanya itulah yang membuatkan kami berfikir panjang.  Tentang dunia yang fana, dan akhirat yang kekal.  Tentang orang Islam yang sangat Islam pada zahirnya.  Tentang kesederhanaan yang semakin dilupakan.

Asik yang kami temui, seorang Orang Asli yang boleh dikatakan terpelajar namun tinggal jauh di pedalaman.  Kampungnya di kaki gunung dan tersembunyi dari dunia luar hatta tidak diketahui oleh jabatan kerajaan yang berkhidmat untuk Orang Asli sekali pun.  Maklumlah, sepuluh buah rumah dianggap sebuah kampung asalkan mempunyai Tok Batin sendiri.  Sejujurnya, Asik boleh sahaja tinggal di Ipoh dan bekerja seperti Cina, India dan Melayu.  Namun Asik memilih syurganya sendiri.  Sebuah kampung yang tersorok di kaki gunung yang sejuk, indah dan nyaman. 

Jika kami bercakap tentang Tuhan dan syurga, Asik lebih awal menemui syurganya berbanding kami.  Bagaimanakah hidup di syurga?  Orang Asli berada di dalam syurga dunia.  Petik sahaja buah-buahan yang hendak dimakan.  Minum sahaja air di sungai-sungai.  Wang tidak bernilai dan fikiran tenang kerana hidup untuk hari ini diselesaikan hari ini, esok biarlah esok sahaja.  Asik sinis, penuh humor namun kata-katanya benar.  Terasa seolah menghiris hati yang mendengar.  Asik jujur, apa yang dihati – itulah yang diluahkan dimulutnya.  Tidak pandai bermanis mulut.  Tidak tahu berpura-pura.


Inilah asas watak-watak dalam buku Asik.  Asik dan encik.  Haji Don dan Mat Noor, Mat Ketayap, Pak Naib, Pak Din, Pak Jab serta Min.  Soal-soal pokok dalam masyarakat menjadi asas penceritaan pada setiap cerita pendek-pendek.  Biar hanya seinci ceritanya, manfaat yang diperolehi melebihi sebuah novel setebal seinci.  Biar sekadar lawak jenaka, ketawanya pada diri sendiri.  Isu-isu semasa disentuh secara lembut dan berlapik.  Sesuai dengan budaya Melayu cakap biar berlapik.  Jika bercakap terus terang, bukan Melayu namanya.  Begitulah Asik, menggarap karya dalam keserabutan hidup masyarakat kini.


24/3/2017 - diberi peluang berkongsi dalam program Pesta Wanita dan Keluarga di Tesco Semenyih.

Tiada ulasan: