Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Isnin, Ogos 31, 2015

Pusara Masjid Lama - Catatan 16


AKI AJIR tiba bersama beberapa orang lelaki.  Dia menjenguk dan bertanya, "masih sedar?"
Haji Don mengangguk.  "Dia dah mula meracau," jawabnya.
"Cari kayu buat pikulan!" laung Aki Ajir kepada orang di atas tebing.
"Baik Aki!" Kedengaran orang menetak batang kayu.  Aki Ajir memilih kain sarung yang masih rapat tenunannya.  Kain itu di sarungkan pada Aki Sendeng yang sedang menggeletar.
"Hantarkan aku balik... Hantarkan aku balik..."
Aki Ajir membaca sesuatu, mulutnya terkumat kamit.
"Aku hendak balik... Aku hendak balik..."
"Kau hendak balik ke mana?" tanya Aki Ajir keras.
"Sungai... Sungai..."
Meremang bulu roma Haji Don mendengarkannya.  Lantas dia membaca ayat-ayat pendinding diri.  Orang tua ini bukan demam sembarangan.  Ada sesuatu yang mengganggunya.

"Ini kayunya!" Seorang pemuda bertubuh kecil tetapi tegap melompat ke dalam perahu jalur.  "Tarik tali perahu, tambat pada pohon meranti sana.  Biar rapat betul ke tebing!" katanya memberi arahan.  Hj Don dapat merasakan perahu jalur itu bergerak.
"Mari dua orang lagi!" laung Aki Ajir.
Kain sarung yang menyarungi hampir seluruh tubuh Aki Sendeng tidak diikat, dibiarkan terungkai.  Batang kayu dimasukkan ke dalam kain sarung hujung ke hujung berfungsi jadi pikulan.  Bersusah payah Aki Ajir dan Hj Don memikul pada bahagian kaki dan pemuda tegap itu pada bahagian kepala.  "Perlahan-lahan Rukun, tersangkut pada kajang nanti," pinta Aki Ajir.  Rukun, pemuda berbadan tegap itu mengangguk.  

Dua orang pemuda lain menunggu di atas tebing menyambut pikulan itu.  "Kita mahu bawa ke mana?" tanya salah seorang dari mereka.
"Bawa ke rumah.  Nanti awak suruh orang panggil pawang," suruh Aki Ajir.

Kedengaran orang memberi salam.  Mereka semua menjawab.  Sebuah rakit tiba di pengkalan.

Tiada ulasan: