Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Khamis, Mac 12, 2015

Pusara Masjid Lama Sebelas

Dia merenung langit-langit serambi.  Sesekali terbatuk-batuk ketika asap halus manggar kelapa yang dibakar di bawah rumah menyinggah hidungnya.  Buat penghalau nyamuk, kata Aki Ajir Maghrib tadi sambil mencucuh api oncor pada manggar kelapa yang sentiasa disimpan  pada para-para bersama kayu api dan sabut kering.

Oncor di hujung serambi masih menyala.  Oncor dari botol berwarna kehijauan, barang kali bekas botol arak mat saleh yang dikutip Aki Ajir.  Sumbunya tali guni berpintal-pintal dan minyaknya dari buah jarak kering.  Hari ini pertama kali dia melihat buah jarak, Aki Ajir mencucuk biji jarak kering itu dengan kayu dan api dinyalakan.  Seperi obor, Aki Ajir membawanya berjalan ke sungai untuk membuang air.  

Kehidupan ini memang benar pelik pada Haji Don.  Dia yang terperangkap dalam dunia yang asing tetapi akrab kepada jurai keturunan.  Dia seolah ingin keluar dan kembali ke masa kini tetapi terkurung dalam lingkungan masa yang membingungkan.  Ternyata dunia persinggahan ini terlalu asing, seolah dia sedang mempelajari semuanya.  Tidak semudah hidup dalam dunia tanpa wang walau dunianya yang sebenar berada dalam kuasa wang yang tidak pernah lupus.

Petang tadi dia melihat sendiri Tok Tiah mengeluarkan padi dalam sumpit dan menumbuknya dalam lesung, untuk beras hari esok.  Malah sepanjang hari ini dia bersama Aki Ajir memancing ikan tembakang untuk lauk.  Selebihnya dijadikan pekasam dan disimpan dalam geluk.  Seolah wang tidak pernah bernilai dalam kehidupan jurai keturunannya itu.

Dia mendengar Aki Ajir terbatuk-batuk di dalam kelambu.  Mulanya dia ditawarkan tidur dalam kelambu dan pantas dia menolak.  Seumur hidupnya, tidak pernah dia tidur dalam kelambu.  Takut terasa lemas dalam kepungan kelambu dan udara yang tidak bergerak.  Tiba-tiba dia merindui kipas angin yang sentiasa terpasang menemaninya tidur di rumah.  Dia memejamkan matanya, mengucap dua kalimah syahadah dan membaca surah-surah lazim.  Jika dia terus pejam dan pergi menemui Ilahi, biarlah dalam iman yang tekad.  Jika dia mencelik mala esok pagi, biarlah di katilnya, dalam biliknya sendiri yang sebenar.

Tiada ulasan: