Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Jumaat, Mac 20, 2015

Pusara Masjid Lama 13

"Minggir!!" jerit Aki Ajir dari atas pokok.  Hj Don mendongak samberi mengundur menjauh.  Kedengaran tetakan parang pendek Aki Ajir pada tangkai tandan dan tidak lama kemudian setandan kelapa yang sudah tua gugur.  Mujurlah Hj Don sudah cukup jauh.  Ia jatuh ke tanah dan tandainya berderai.  Buah-buah kelapa itu terpelanting ke semua arah.

Hj Don menunggu lagi, tak mahu meletakkan diri dalam bahaya. Biarlah buah-buah kelapa itu dikutip kemudian.  Tidak lama kemudian Aki Ajir turun dengan melorot pada batang kelapa itu. Kedua belah tangan dan kaki mencampuk pada batang kelapa.  Orang tua itu cukup mahir.

"Mahu cuba pokok yang itu?"
Hj Don menggeleng.  Dia tidak mampu melakukannya.  Malahan dia gayat pada tempat tinggi.  Jika dia yang memanjat, harus kena minta bantuan bomba menurunkan.  Adakah bomba ketika ini? Hj Don pasti tidak.

Seperti pohon kelapa yang pertama tadi, Aki Ajir memanjat dengan pantas kelapa yang kedua. Hj Don dengan segera mengumpulkan buah-buah kelapa dan mengira. Lapan biji semuanya. Dia memacakkan kayu hulu kopek dengan membuat lubang pada tanah. Dia tahu caranya, dia anak kampung yang dilahirkan di kebun kelapa. Arwah bapak tidak memanjat seperti Aki Ajir. Malah dia tidak pernah melihat orang memanjat pokok kelapa sepanjang hayatnya. Bapak menggunakan sabit pengait yang diikat kemas menggunakan getah basikal pada galah panjang.

Sekali lagi kelapa digugurkan. Mungkin satu atau dua tandan. Hj Don mengopek kelapa agak jauh dan tidak perlu mengelak. 

"Ha, begitu lah," puji Aki Ajir selepas dia turun dari pokok. Hj Don tersenyum. "Tak cekap sangat," katanya.

Buah-buah kelapa yang dikopek dikumpulkan ke dalam keranjang. Penuh. Ada empat biji lagi yang belum dikopek. "Tak usah kopek, susah hendak bawa nanti," kata Aki Ajir. Dia menyiat kulit sabut membentuk tali yang menjulur dari buah kelapa bersabut itu dan mengikatnya pada buah yang satu lagi. Sepasang-sepasang. Sekarang mereka berjalan pulang. Aki Ajir mengandar keranjang berisi dua puluh biji kelapa berkopek di belakangnya. Sehelai kain lusuh yang digulung dan diikat pada keranjang dijadikan penggalas. Hj Don mengandar hulu batang kopek dengan dua pasang kelapa bertaut disangkut padanya.

Tiada ulasan: