Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Jumaat, Mac 20, 2015

Pusara Masjid Lama 12


DIA amat berharap subuh itu dia membuka mata di atas katilnya, di rumahnya di Taman Ampang Indah berhampiran Pekan Kuala Kubu Bharu.  Namun dia sedar, dia masih berada di dalam sebuah rumah beratap bertam, berdinding kayu sayong dan berlantai nibung di Kampung Asam Lenggong di Kuala Kubu yang sudah lama tinggal sejarah. 
"Aki subuh di masjid?" Tanya Hj Don.
"Hendak kejut awak, awak tidur lena sangat.  Aki pergi sendiri," jawab Aki Ajir.
Hj Don tersenyum, begitukah orang zaman dahulu berbual. Jawapan diberikan tidak menjawab pertanyaan tetapi lansung dan lebih memberi pengertian.
"Pagi ini kita hendak ke mana, Aki?"
"Awak hendak ikut? Eloklah.  Kelapa Tuk awak sudah habis, hendak memanjat kelapa.  Dapat buah barang sepuluh dua puluh biji cukuplah untuk buat minyak makan," jawab Aki Ajir.
 
Hj Don menyedari, kelapa umpama pohon yang wajib ada untuk setiap rumah.  Tidak boleh tidak.  Tak ada kelapa, tidak adalah ertinya dapur rumah.  Waktu bersekolah rendah dahulu dia diajar kelapa pohon yang serbaguna.  Dari batang hingga ke pucuk, ada gunanya.  Semakin maju sebuah negeri, nilai tradisi semakin ditinggalkan.  Semuanya diganti dengan sebuah pasar yang membekalkan segala keperluan dapur.  Kampung Asam Lenggong tidak begitu.  Sebuah rumah wajib ada pohon kelapa sebatang dua, serumpun lengkuas, halia, serai dan kunyit.  Seperdu tebu dan buluh. Sereban ayam.  Jika berkemampuan, sekeor dua kerbau atau lembu.  Kekayaan sebuah keluarga bukan diukur dari cara berpakaian atau tunggangannya kerana kemewahan seperti itu hanya milik bangsawan dan anak-anak berbangsa. Kekayaan dalam sebuah kampong boleh dilihat dari jumlah ternakannya dan besar rumahnya walau pun atapnya tetap atap bertam dan dindingnya tetap kayu sayong.
 
Tok Tiah menghidangkan pengalas pagi, ikan pekasam goreng darat dengan ubi kayu bakar sebelum Hj Don mengekori Aki Ajir ke darat kampong.  Ada seutas tali jut berselimpang di bahunya dan tangan kanannya memegang keranjang rotan.  Hj Don membawa sebilah kopek dengan kayu hulunya.  Sesekali Aki Ajir mencabut parang pendek yang tersarung di pinggang dan memangkas semak yang menghalang denai.
"Jauh, Aki?" Tanya Hj Don.
"Sepuluh rantai lagi sampailah..."
Tidaklah jauh sangat, selang setengah jam kemudian mereka tiba di bawah kelompok lima hingga sepuluh pohon kelapa yang menyayup tingginya.  Aki Ajir meletakkan keranjang rotan, taji jut digulung menjadi bulatan sebesar buah kelapa dan mengikatnya menyilang pada buku lali.  Dan orang tua itu mula memanjat. Hj Don menggeleng kepala berkali-kali, gerun... 
    

Tiada ulasan: