Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Jumaat, Februari 06, 2015

Pusara Masjid Lama 9


HAJI DON duduk di beranda masjid. Jemaah lain sudah ramai yang pulang. Seorang demi seorang berhenti sebentar, bertanya khabar padanya dan bersalaman sebelum menyarung capal. Dia terhibur, kehadirannya seolah dialu-alukan. Atau Aki Ajir mungkin orang berpengaruh di Kampung Asam Lenggong, dihormati dan menjadi rujukan orang sekampung.
"Itu pokok meranti," kata seorang lelaki tanpa dipinta.  Mungkin Haji Don terlalu leka merenung kanopi pohon kayu itu yang memayungi sebahagian halaman masjid.
"Kayunya baik," balas Haji Don. Teringat rumah-rumah kampung yang cantik diperbuat dari kayu meranti atau resak.
"Sudah tua pokok ni, dulu waktu masjid ni dipacak tiang, pokok merenti ini sudah ada.  Kata Datuk Penghulu Garang, biarkan pokok ini hidup.  Mana tahu, esok-esok mudah hendak mengganti tiang,"terang lelaki itu yang kemudian memperkenalkan dirinya Aki Sendeng.
"Hidup lagi Datuk Penghulu Garang?"
"Sudah meninggal, itu Datuk Penghulu Garang yang dulu.  Datuk Penghulu Garang yang sekarang ini, cucunya," terang Aki Sendeng.
"Aki mahu ke mana?" tanya Haji Don hairan.  Aki Sendeng menukar pakaian solat kepada pakaian basahan.  Baju gombang dan sarung bersolat tadi dilipat elok-elok dan dan diikat dalam kain yang dibunjutkan. Kebetulan Aki Ajir baru keluar di beranda.
"Aki Sendeng ini orang perahu," terang Aki Ajir.


Orang perahu. Baru pertama kali didengarnya. Cara ikatan kain serbannya berlainan dengan cara Aki Ajir.  Dia merenung Aki Ajir, seolah meminta penjelasan lanjut.
"Aki Sendeng berdagang dengan perahu. Tengok saja perahu jalur bertambat di pengkalan itu," tunjuk Aki Ajir ke arah Sungai Kubu di hadapan masjid.
Barulah Haji Don sedar, sebatang sungai menganjur ke hulu di hadapan masjid itu.  Dia datang dengan Aki Ajir dari arah darat yang lebih tinggi. "Sungai kita mandi tadi?"
Aki Ajir menggeleng. "Itu anak Sungai Kerayong. Yang ini Sungai Kubu."

Haji Don kelu. Benar dia berada di Kuala Kubu, entah pada zaman bila.   

4 ulasan:

Azimah Mima berkata...

Suka kisah pusara masjid lama ini. Misteri, sejarah, adat budaya, semua ada. Sila teruskan tuan. Saya menanti sambungannya.

Azimah Mima berkata...

Suka kisah pusara masjid lama ini. Misteri, sejarah, adat budaya, semua ada. Sila teruskan tuan. Saya menanti sambungannya.

mohamadkholid berkata...

terima kasih. saya menulis secara santai. insha Allah akan disambung.

Izham Alias berkata...

Saya suka membaca kisah ini. Seperti menelusuri sejarah dan budaya Melayu lama. Teruskan tuan kerana ada pembacanya di sini.