Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Ahad, Februari 01, 2015

Pusara Masjid Lama 8


DIA berjalan di belakang Aki Ajir.  Walaupun langkahnya perlahan, Aki Ajir lebih tahu kampung ini berbanding dirinya yang seperti rusa masuk kampung itu.  Matanya liar memandang sekeliling. Rumah-rumah yang rata-rata hanya seperti rumah Aki Ajir dan Tok Tiah sendiri.  Malah lebih banyak yang lebih kecil.  Jarak antara rumah pula yang agak lapang itu ditanam dengan pokok-pokok keperluan dapur, kelapa, daun salam, cengkih, jarak dan tanaman kontan lain seperti ubi, keladi dan pisang.  Pagar kawasan hanyalah pagar buluh yang dicacak dan diikat bersilang-silang. Jangan kerbau, orang pun tidak dapat dihalang pagar itu.
"Itu masjidnya.  Kami berjemaah di sana," tunjuk Aki Ajir.
"Apa namanya?" tanya Haji Don.
"Nama apa?"
"Nama masjid," jawab Haji Don.  Masjid biasanya bernama, al Falah, al Hidayah, ar Rahimah, al Kholidiyah.  Ada nama khalifah Islam, Uthman Affan, Abu Bakr As Siddiq, Ali Abu Talib atau Umar al Khattab.
"Tak pernah pula Tok Imam atau Tok Mukim beritahu nama masjid. Kami cuma panggil ikut nama kampung sahaja lah.  Masjid Kampung Asam Lenggong," ujar Aki Ajir.

Haji Don tidak menjangkakan Kampung Asam Lenggong hanya di sekitar sini.  Mulanya dia fikir tentu jauh di Hulu Perak. Seorang dua jemaah yang menyapa Aki Ajir, dan orang tua itu memperkenalkan dirinya.  Mesra dan bersalaman.  Haji Don tidak merasakan mereka jin atau bunian.  Orang kata jin atau bunian tidak seramah itu kepada manusia.  Yang datang ke masjid pun semuanya berjalan kaki.  Tidak ada yang berbasikal.  Mujur tiada yang datang berkuda atau berpedati lembu.  Harus dia pengsan di situ juga.

Aki Ajir menanggalkan capal dan naik ke bancik.  Dia menceduk air di tempayan ukiran naga menjelir lidah dengan batok dan membasuh kaki.  Haji Don menurut di belakang.

Sudah ramai yang selesai solat sunat.  Masing-masing duduk tertib berwirid menunggu solat zohor.  Haji Don meneliti sekeliling. Dari luar masjid ini mengikut potongan masjid jawa.  Bertajuk-tajuk, tiga tingkat bumbungnya.  Atapnya bertam.  Tiada bulan dan bintang di puncak segitiga tajuk umpama piramid itu.  Suasana di dalam benar-benar nyaman.  Tiang seri berempat menumpangkan tajuk-tajuk.  Dindingnya kayu bertarah dengan tingkap-tingkap berselak kayu yang dibiarkan terbuka.  Lantainya dihampar dengan tikar-tikar mengkuang beberapa bidang.  Kaki Haji Don menguis sedikit, menyelak bawah tikar mengkuang itu.  Lantainya baru bertarah sekeping-sekeping.  Sejuk dan hitam.  Dia mengucap syukur kepada Allah.  Biar bagaimana pun dia sampai ke mari masih menjadi tanda tanya, sekurang-kurangnya dia mengalami sesuatu yang tidak pernah tercapai dek akal fikiran.  Sememangnya ketika termenung sendirian di masjid dahulu, sering dia terfikir bagaimana rupanya masjid orang dahulu.  Rupanya ia termakbul.  

Tiada ulasan: