Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Jumaat, Disember 26, 2014

Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Menulis Novel Sains Angkasa DBP 2013/2014

Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Menulis Novel Sains Angkasa DBP 2013/2014 dan Pelancaran Sayembara Menulis Karya Kreatif DBP 2015 telah diadakan pada 23 Disember 2014, di Dewan Bankuet, Dewan Bahasa dan Pustaka. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh bin Yaapar, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sayembara yang bertemakan Sains Angkasa ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja. Penganjuran sayembara ini diharapkan dapat menggalakkan lebih ramai penulis menghasilkan novel fiksyen sains, khususnya dalam bidang sains angkasa untuk bacaan kanak-kanak dan remaja. Usaha untuk membangunkan modal insan yang berpengetahuan tinggi haruslah bermula dari kanak-kanak dan remaja lagi, iaitu dengan menyediakan bahan bacaan kreatif yang merentas pelbagai bidang, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.
Selain galakan kepada penulis agar menghasilkan novel fiksyen sains, sayembara ini juga memberi ruang dan galakan kepada karyawan yang berlatarbelakangkan pendidikan sains untuk mengembangkan bakat mereka melalui penulisan kreatif, khususnya novel. Merekalah yang dapat mengetengahkan elemen sains dan teknologi melalui sastera Melayu, di samping mempelbagaikan dan memperbanyakkan penerbitan bahan bacaan sastera yang berunsur sains.
Prof zaharani
Ucapan alu-aluan oleh Profesor Dr. Zaharani Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) yang mewakili Ketua Pengarah DBP.
Dalam ucapan alu-aluan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Profesor Dr. Zaharani Ahmad yang mewakili Ketua Pengarah DBP berkata, sebagai agensi pengembang bahasa dan sastera terunggul di negara ini, DBP sedar bahawa elemen kesusasteraan tidak seharusnya dipinggirkan dalam kehidupan generasi muda kerana melalui sasteralah terbentuknya jati diri bangsa yang kukuh. Kehidupan kanak-kanak dan remaja dalam proses pendewasaan seharusnya dicorakkan sebaik-baik mungkin melalui pembacaan karya sastera yang boleh membentuk akhlak yang mulia serta berilmu.
saleh ucap
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar menyampaikan ucapan perasmian.
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar dalam ucapan perasmiannya berkata, dalam sejarah perkembangan sastera di Malaysia, ramai penulis berbakat yang muncul hasil daripada pelbagai sayembara mengarang. Kaedah ini bukan sahaja mendorong para penulis mencipta karya yang berkualiti kerana ganjaran atau tawaran hadiah yang menarik, malah yang penting, memberikan pengiktirafan kepada penulis bagi mendorong mereka menghasilkan karya yang berkualiti.
“Novel adalah rakaman wacana dalam kehidupan. Dari awal halaman hinggalah ke pengakhirannya, novel memerihalkan sebuah pemikiran. Novel Sains Angkasa secara mudah dan boleh difahami, adalah merupakan karya yang menggunakan tema yang bersangkutan dengan bidang sains angkasa iaitu satu cabang atau sub-genre fiksyen sains yang secara relatifnya sangat baru di persada kesusasteraan,” kata beliau.
Tambahnya lagi, DBP bukan sahaja menjadi antara badan perintis yang memperkenalkan fiksyen sains dalam arus susastera tempatan, tetapi telah berusaha memperkembangkan penghasilan ‘novum-novum’ baharu beracuan tempatan, khususnya dalam bidang pernovelan.
Novel fiksyen sains kini semakin mendapat sambutan dan mempunyai sekumpulan golongan pembaca dan peminatnya yang tersendiri. Kelangsungan peraduan dan penerbitan DBP telah sedikit sebanyak membuka peluang kepada penerbit-penerbit swasta untuk turut menerbitkan novel fiksyen sains.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan hadiah kepada para pemenang Peraduan Menulis Cerpen Pelajar Sekolah Rendah dan Menengah DBP 2014; Sayembara Menulis Novel Sains Angkasa DBP 2013/2014 Kategori Kanak-kanak dan Sayembara Menulis Novel Sains Angkasa DBP 2013/2014 Kategori Remaja.
semua pemenang
Para pemenang Peraduan Menulis Cerpen Pelajar Sekolah Rendah dan Menengah DBP 2014; Sayembara Menulis Novel Sains Angkasa DBP 2013/2014 Kategori Kanak-kanak dan Sayembara Menulis Novel Sains Angkasa DBP 2013/2014 Kategori Remaja.
 
Bagi Kategori Kanak-kanak, pemenang tempat kedua ialah Marini binti Zahri dengan novel berjudul “Sahabat dari Marikh” dan Nur Afiqah Rozali mendapat tempat ketiga melalui karya berjudul ”Satelit Angkasa 1000”.
Rosli Pertama kategori remaja rm5k
Rosli Mohd. Ali yang mendapat tempat pertama dan ketiga bagi kategori remaja.
Pemenang kategori remaja ialah Rosli Mohd. Ali, yang mendapat tempat pertama dan ketiga dengan karya berjudul “Aurora Morgana” dan “Lepidoptera Europa”, manakala tempat kedua dimenangi oleh Mohamad Kholid Hamzah dengan karya berjudul “Si Autistik dari Mayapada”.
mohamad kholid kedua remaja 3k
Tempat kedua dimenangi oleh Mohamad Kholid Hamzah bagi kategori remaja.
Syabas dan tahniah kepada semua pemenang yang telah menghasilkan karya yang hebat dan dapat dijadikan rujukan generasi akan datang. Semoga DBP terus menganjurkan sayembara seperti ini yang pastinya dapat memberi ruang kepada penulis dalam menghasilkan karya mereka.

2 ulasan:

Jajoel berkata...

Tahniah bro Kholid,... Bakat yg diasah dari bangku Sekolah lagi

Dunia Firdaus berkata...

Tahniah Bro Khalid. Tabarakallah