Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Khamis, Mei 08, 2014

Sesat


Kata Haji Don, kita sudah kembali ke zaman Portugis.  Sudah mengikut resam Belanda dan mungkin sedikit baik dari perangai Clifford ketika mula membuka Collector and Magistret Office di Lipis.  "Jika kamu ke hutan, rotan dan damar mestilah dibayar cukai.  Getah para dan kayu keras juga.  Jika bertanam pokok, pokok buah-buahan lain cukainya.  Pokok buah hutan lain cukainya.  Sebab sahaya ini sahabat tuanku yang mentadbir negeri ini," kata Clifford yang berkilat gundul itu.

Kata Haji Don lagi, zaman kini jika tidak mahu membayar cukai - duduklah di hujung negeri.  Makanan tanam sendiri, tuai sendiri dan masak sendiri.  Belilah barang-barang lusuh dan terpakai.  Maka Haji Don berpindahlah ke hujung negeri dengan segelintir orang yang percaya dan yakin hidup tanpa sekeping kertasyang dinamakan wang.  Sebuah tempat di hujung negeri.  Haji Don mula menanam sekoi dan padi bukit.  Kawannya Ibrahim membela lebah dan kelulut.  Puan Salamah mengayam tikar dan suaminya bertukang perabotdan rumah.  Kampung tanpa nama di hujung negeri itu mula hidup dan hari ke sehari penduduknya semakin bertambah.  Ada-ada sahaja orang dari luar dengan kepandaian sendiri datang, memohon menjadi orang kampung kerana bosan dengan beban hutang dan beban jadi hamba sekeping kertas bernama wang.  Kata Haji Don, asas hidup di sini memberi. Saling memberi.  Ternyata berjaya mengikut ukuran sendiri bukan ukuran orang lain.

Maka pada suatu hari, kampung tanpa tunai dan tanpa cukai itu dihukum sesat kerana menentang aturan hidup negeri itu.  Maka diharam jadahlah kampung itu dan seluruh isinya ditangkap lalu dihukum.  Kata Sang Pengadil, menentang aturan hidup dengan sesuatu yang baru itu menjadi kesalahan yang telah diwartakan beberapa hari yang lalu.  Begitu lah kisah bagaimana Haji Don sesat.

Tiada ulasan: