Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Sabtu, Julai 06, 2013

Masjid di Baroh


RUMAH guru mengaji, Pak Mat yang digelar orang Pak Mat Bendul bersebelahan Masjid Baroh.  Masjid yang lama zaman kecil kami sudah didirikan masjid batu, telah roboh dan kini Masjid Jamilul Ahmadi, Kg Baroh merupakan masjid binaannya separuh batu dan kayu.  Seingatku yang kekal mimbarnya dan dua ukiran Muhammad dan Allah pada potongan teras kayu tergantung di kiri kanan mihrabnya.  Entah mengapa guru mengaji kami digelar Pak Mat Bendul tidak kami ketahui tetapi sifat-sifat gemulah yang penyabar dan tekun mengajar kami terutama yang bebal tentulah menjadi kenangan selagi hayat dikandung badan.  Selalunya kami akan tiba awal di rumah Pak Mat.  Ada ketua yang akan membahagi-bahagikan tugas.  Yang perempuan akan menyapu sampah di laman rumah Pak Mat.  Yang lelaki terpecah kepada dua kumpulan, sebahagian mengambil air dan menyiram pokok bunga dan semaian koko.  Sebahagian lagi menyapu sampah di luar masjid dan ada yang menyusun sejadah untuk dua saf di dalam masjid.  Di halaman masjid ada sepohon ketapangyang besar.  Ketika musim daunnya luruh, penuh satu halaman dengan daun ketapang yang lebar-lebar dan kami akan bermain 'o-jus' dulu untuk menentukan siapa yang akan menyapu daun-daun pohon ketapang itu.  Pemenang permainan itu tentulah mendapat tugas paling ringan, menyusun sejadah masjid walau pun dalam keadaan tertentu tidak bernasib baik juga apabila Pak Siak menambah dengan tugas lain yang lebih berat seperti membasuh bilik air.

Maghrib, kami akan berjemaah di masjid sebelum ke rumah Pak Mat untuk mengaji.  Hanya selepas Isyak barulah pulang ke rumah.  Selalunya bapak menunggu di masjid dan balik dengan membonceng basikal tetapi ada ketikanya bila bapak kurang sihat, terpaksalah balik sendiri.  Ketika itu terpaksa memilih antara tiga jalan.  Jalan yang pertama, jalan berpasir yang luas tetapi cukup jauh jika berjalan kaki dan dalam keadaan gelap pula.  Jalan itu yang kini diperbesarkan dan boleh dilalui kereta.  Jalan kedua, jalan pintas yang hanya boleh dilalui basikal atau motorsikal melalui rumah-rumah jiran-jiran kami.  Namun jarak antara rumah-rumah  agak jauh juga, dalam 50 meter dan agak menyeramkan.  Jalan ketiga merupakan denai dalam kebun kelapa yang digunakan orang ketika memunggah buah kelapa.  Antara masjid dan rumah kami, tidak ada sebuah rumah pun.  Paling dekat namun keadaannya paling menyeramkam terutama ketika merentas kebun kelapa yang luasnya hampir tiga ekar itu.  Selalunya, jalan kedualah yang ku pilih.  Berlari kuat-kuat antara rumah-rumah jiran dan berhenti sebentar melepaskan lelah di laman rumah jiran sebelum berlari lagi.  Lagaknya seperti pelari pecut apalagi bila teringatkan cerita-cerita hantu pokok randu atau pokok kekabu dan hantu harimau jadian, apa tah lagi bila terdengar burung kwang kwik berbunyi.  Sehingga sekarang tertanya-tanya betulkah jika ada burung itu, ada harimau berhmpiran?  Spesis burung apakah agaknya itu kerana kami tidak pernah berani menyuluh untuk melihat rupanya.

Tiada ulasan: