Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Selasa, April 23, 2013

Novel Separuh Jalan

DALAM kerancakan poster dan sepanduk, yang benar dan yang batil bertaburan bukan sahaja di jalan-jalan raya, malah terus menyinggah masuk ke ruang-ruang peribada komputer - saya memilih jalan Simpang Pulai ke Cameron Highlands selepas menghantar anak kembali ke asramanya.  Sepuluh bulan tanah tinggi itu ditinggalkan dan saya secara peribadi masih merindui desir angin pergunungan dan kabus yang memutih itu.  Ada sebuah novel saya yang sedang saya tulis, terhenti di tengah jalan.  Gagal saya siapkan sebelum berpindah tahun lepas.  Hajat hati, ingin menyambung novel yang separuh jalan ini.  Selalunya, saya menulis novel dengan sinopsis cerita yang telah siap tetapi novel yang satu ini sememangnya tiada sinopsis.  Sebuah novel bersifat dewasa walau pun watak utamanya remaja.  Harapan saya ketika mula menulis biarlah novel ini menjadi dewasa sendiri, iaitu akan berakhir sendiri mengikut aliran cerita.  Untuk ditamatkan sekarang, masih jauh liku kisahnya.  Untuk menyambung, mungkin kerana tidak lagi tinggal di Cameron Highlands - idea pun tersekat-sekat.

Bagaimana ia menjadi kisah separuh jalan?  Biar saya terangkan secara mudah.  Ia kisah yang menjadi cermin kepada kebejatan kuasa dan alam sekitar.  Yang meranapkan Cameron Highlands kini.  Masa-masa yang lompong menunggu tarikh sebenar pilihanraya digunakan sepenuhnya untuk meneroka hutan kerana penguatkuasaan ditangguhkan.  Hasilnya gondol dan kegondolan.  Dan kegondolan yang melampau telah memberi kesan yang besar kepada Orang Asli.  Bukankah itu satu bentuk penghapusan secara perlahan?

Dr Cheam May Choo

Kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar semakin meningkat dan terbukti salah seorang calon yang bertanding membawa misi itu.  Ini bukan perjuangan politik tetapi perjuangan untuk kelestarian alam.  Sungguh, sentimen kadang kala dijadikan senjata menangkis kemaraannya sama ada sedar atau tidak ia sudah berakar.  Harapan saya, selamat maju jaya buat parti hijau.

Tiada ulasan: