Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Khamis, April 25, 2013

Kenang-kenangan Menjelang Pilihanraya

 
 
Poster kertas dibalut dengan plastik dan ditampal pada setiap batang pokok kelapa di sepanjang jalan tanah merah di kampungku.  Ketika itu sekitar tahun-tahun 70an dan 80an.  Rumah kami, air minumnya di ambil dari paip awam di tepi jalan.  Bapak akan mengisi tong plastik dan mengangkut dengan basikal.  Atau mengisi penuh dalam tempayan dan di tutup dengan batang pisang.  Boleh dikatakan itu tugas bapak selang dua atau tiga hari.  Rumah kami yang ada hanya lah perigi.  Sekitar tahun-tahun lewat 80 an barulah ada air paip, itu pun bersambung-sambung dari jalan besar sebelah darat yang jaraknya hampir 200 meter dari rumah.  Bila air tak ada, menjadi tugas kami memeriksa setiap sambungan getah paip, takut ada yang terputus.  Elektrik, hanya tiang yang terpacak di hadapan rumah.  Kami tidak tahu apa tugas Perdana Menteri ketika itu.  Apa lagi tugas Menteri Luar Bandar.  Dan bagi kami, pilihanraya hanyalah tampal-tampal poster... juga koyak poster untuk dijadikan sampan kertas atau kapal terbang kertas.  Ada juga kawan-kawan kami yang melayangkan wau lambang dacing dan bulan.
 
Apalah ertinya demokrasi kepada kanak-kanak seperti kami?  Apa jua ertinya janji-janji pilihanraya kepada kami ketika itu, sedang segala kemudahan - kambing pawah, ayam bantuan, elektrik dan air paip ketika itu hanya diterima sebahagian orang sahaja.  Dan bapak selalu berkata ini salah dirinya kerana solat di masjid baroh dan bukan di masjid darat yang ditadbir orang-orang dacing.  

Tiada ulasan: