Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Ahad, Mac 24, 2013

Surat Terbuka Untuk Tuan Putrajaya Selepas PRU 13

Tuan Putrajaya,

Selamat sejahtera selepas bertarung di PRU 13.  Terima kasih kepada Tuan Putrajaya kerana sudi membaca surat terbuka ini.  Harapnya Tuan Putrajaya akan berlapang dada sentiasa sebagaimana kami sentiasa berlapang dada dengan apa yang  dihidangkan oleh orang normal seperti tuan kepada Orang Kurang Upaya seperti kami.

Tuan yang dihormati,

Besarlah harapan kami maka besarlah tanggungjawab tuan kepada kami.  Sehingga kini anak-anak OKU hanya mendapat pendidikan di sisi-sisi masyarakat; pemulihan dalam komuniti PDK, NGO atau pun kelas-kelas pendidikan khas di sekolah yang sangat ketat pemilihannya.  Agaknya kemasukan seseorang ke universiti lebih mudah lagi - punya keputusan yang baik dan kelayakan lain yang boleh dicapai, bolehlah memohon masuk ke universiti.  Sedangkan ke kelas pendidikan khas, perlu boleh berdirikari, boleh dilatih dan berpotensi untuk maju - baru lah boleh diterima.  Itu pun terpulang kepada penerimaan guru dan tempat.  Sudah tentulah anak-anak OKU ini kekurangan segala.  Jika tidak tidaklah dipanggil OKU.  Kami mengimpikan sebuah sekolah untuk semua - sebagaimana motto pendidikan untuk semua.  Juga sebagaimana  termaktub dalam Akta OKU 2008, setiap OKU berhak mendapat pendidikan.  Pada kami untuk mendidik masyarakat prihatin kepada OKU, perlulah bermula di sekolah lagi.  Pergaulan OKU dengan pelajar-pelajar lain pasti akan menerbitkan nilai-nilai positif kepada masyarakat secara keseluruhannya.  Tuan, menerima seorang anak OKU, walau dalam keadaan mana sekali pun keadaannya pasti akan memberi perubahan kepada diri OKU tersebut, keluarganya dan masyarakat secara keseluruhannya.  Contohilah negara maju yang amat mementingkan kebajikan rakyatnya selaras dengan hasrat tuan mahu menjadikan negara ini negara maju.

Tuan yang dikasihi,

Mempunyai anak OKU atau ahli keluarga OKU bukanlah sesuatu yang dipinta.  Ia adalah anugerah yang sewajarnya mendapat sokongan seluruh masyarakat.  Sudah sekian banyak penderitaan dilalui - wang ringgit, masa, peluang dan pandangan mmenyisihkan dari sekeliling.  Sokongan tuan kepada mereka ini amat berharga, amat diharapkan.  Dalam kehidupan yang mencabar kini - had kelayakan pendapatan ibubapa sepatutnya tidak dipersoalkan.  Pukul rata, berilah segala kemudahan tanpa mengira latar belakang.  Rata-rata kini dengan pendapatan RM3000 sekadar cukup untuk menyara hidup tanpa menyimpan.  Itu pun jika punya perancangan kewangan yang teratur dan biasanya mempunyai anak OKU, perancangan kewangan sentiasa tidak teratur.  Ada saja keperluan yang mendesak.  Seorang kawan yang menetap di luar negara, tanpa menyebut negara bekas penjajah itu - menerima bantuan kewangan, susu, alat penjagaan, rawatan perubatan percuma malah pakar terapi datang ke rumah menawarkan khidmat.  Bagaimana sebuah negara yang kaya dengan minyak ini begitu ketinggalan?  Oh Tuhan, bukan Dia akan menyoal bagaimana kita membelanjakan wang atau rezeki  yang dikurniakan Nya kelak?  Tuan, sesuatu kejadian Tuhan, dugaan tidak hanya kepada si OKU atau keluarga OKU itu tetapi kepada orang di sekelilingnya juga - bagaimana membantu?  Bagaimana menjalankan peranan sebagai manusia yang beriman.

Tuan yang terpilih,

Ramai diantara kami OKU tidak mengundi tetapi wajah kami adalah wajah dunia maju sebenar.  Kemajuan bukan datang dari bangunan-bangunan pencakar langit tetapi dari manusiawi dan peradapannya.

Sekian.

OKU yang bukan siapa-siapa.

(Surat ini saya 'copy' dan 'paste' dari seseorang yang begitu jernih kehidupannya)

Tiada ulasan: