Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Ahad, Disember 23, 2012

Cerita Anak Itik


Berjalan-jalan dari kedai ke kedai di Ulu Yam Baru (menikmati sekeliling sebagai salah satu latar novel yang sedang ditulis), aku menemui sebuah kedai jual borong.  Kedai kayu, atap zink dan penuh dengan guni-guni pelbagai barangan.  Di kaki lima ada kurungan berjaring mata punai, ada anak itik, anak ayam dan anak angsa yang dijual.  Seorang perempuan Cina tua, menghampiri ku.  "Mahu beli anak ayam kah?" tanyanya.  Aku geleng.  "Orang Cina suka bela sendiri ayam, itik...  Saya duduk rumah teres, tak ada tempat mahu bela," kataku.  "Sekarang barang mahal.  Hari besar sudah dekat.  Kalau bela ayam sekarang, nanti hari besar itu ayam sudah boleh potong..."  Aku fikir hari besar merujuk kepada Tahun Baru Cina tahun hadapan.  Ekonomi yang sedang gawat sekarang membuatkan kita survival untuk terus hidup.  Bela ayam sendiri jika ayam mahal.  Sekurang-kurangnya anak cucu tetap gembira walau pun atuk nenek tak cukup duit belanja menghadapi hari perayaan.  Sedarkah pemimpin negaraku, harga barang makanan yang kini melambung akan menjadikan rakyat bergaji besar tetapi tidak mampu berbelanja besar...

Melihat anak ayam, anak itik dan anak angsa yang dijual, aku teringat kisah masa kecilku.  Suatu masa nanti aku ingin menulis memoirku sendiri.  Aku ingat pasar Isnin, mak akan ke pasar selalunya membonceng basikal dengan kakak.  Bila emak balik, satu bungkusan kertas - kertas yang sama untuk membungkus beras zaman itu di bawa pulang.  Bunyi anak itik mencip-cip.  Rupanya emak beli anak itik.  Tujuh atau sembilan ekor.  Entah mengapa emak selalu beli ganjil tapi katanya yang ganjil itu biarlah seekor jantan dan lain betina.  Anak itik, sekecil itu tidak tahu jantan betina.  Bukan kita boleh cuba seperti dalam Nujum Pak Belalang sebelum beli.  Anak-anak itik itu emak bela dalam raga yang dianyam sendiri.  Raga buluh.  Dilapik kertas surat khabar dan diberi makan nasi berair.  Sehari sekali emak akan letak air dalam besen dan lepaskan anbak-anak itik itu mandi.  Maka kami selalu bekeliling raga buluh itu mencuit sana sini seperti orang jakun.  Seminggu dua begitulah sehingga bulu pelepah sudah mula tumbuh.  Ketika itu emak akan buat reban itik di bawah rumah.  Buluh dibelah-belah dicacak sejajar ke tanah dan diapit buluh lain.  Ia membentuk reban empat segi tanpa penutup atas.  Anak-anak itik akan bereban di situ sehingga lah bertelur.  Zaman itu  zaman yang sukar.  Walau pun kami membela ayam kampung tetapi telur ayam kampung tidak dijadikan lauk.  Dibiarkan menetas supaya bila tiba hari raya - akan ada ayam untuk juadah hari raya.  Benarlah, ada ketikanya kisah-kisah begini mengubat rasa gundah...

Tiada ulasan: