Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Selasa, Oktober 02, 2012

Tidak Berani Bermimpi


Dewasa nanti mahu jadi apa?  Dan jawapannya seolah-olah menghiris sekeping hati ini - bawa lori.  Ya Allah, masih adakah kanak-kanak yang melalui hari-hari suram sebagaimana yang kami lalui suatu masa dahulu.  Tidak berani bermimpi.

Masih saya ingat saban pagi bapak akan mengejutkan saya dan menggesa mandi di kolam yang airnya cukup sejuk.  Bapak menimba air cukup-cukup dua baldi dan saya akan mandi di pelantar.  Takut lemas di dalam kolam, bapak cukup bimbang dan mengawasi dengan sepenuh hati.  Sejujurnya saya tidak tahu kenapa saya mesti ke sekolah.  Atau sekolah lebih kepada seronok berkawan mungkin.  Ketika cikgu tanya tentang cita-cita - kami tak tahu apa yang harus dinyatakan.  Jika seorang memulakan dengan askar, dua tiga orang yang lain akan mengikut.  Ada yang mahu jadi askar, jadi polis dan jadi cikgu.  Itu saja lah kerjaya yang kami nampak di sekitar kampung kami.  Seingat kami, tiada siapa yang mahu menjadi penanam padi, pengait kelapa atau pengopek kelapa.  Sedang itulah pekerjaan bapa-bapa kami termasuk bapak.

Sekarang dalam realiti kini, masih ada kanak-kanak rupanya yang tidak berani bermimpi.  Ke sekolah tanpa kesedaran impian masa hadapan seolah membiarkan hari-hari berlalu.  Anak ini sedar siapa ibunya, tanpa pelajaran dan ibu tunggal yang ditinggalkan.  Sesuap nasi hari ini amat berharga sedang masa hadapan hanya sekadar penantian yang tiada ketentuan.  Ketika ini saya merindui sebuah negara Islam yang sebenar.  Seorang lelaki tidak boleh meninggalkan tanggungjawabnya sewenang sedang dia wali yang bertanggungjawab kepada Allah sepanjang hayatnya.  Bukankah kerosakan yang berlaku ini disebabkan tangan-tangan manusia yang meremehkan undang-undang ciptaan manusia, yang gagal menangani masalah hingga ke akar umbinya.  Sedang undang-undang bersandarkan kitab Allah telah tersedia...  Maha Suci Allah, Tuhan Yang Maha Pengampun.  Kepada Mu kami berlindung dari kejahatan manusia, jin dan syaitan.

2 ulasan:

Farid Albariti berkata...

Terima kasih tuan atas dorongan..

InsyaAllah, saya sedang menulis "Berubah Bermula Dengan Percaya",

insyaAllah, saya akan terus bermimpi dan percaya untuk berubah dan mengubah, melalui penulisan...

RayyanZilfi berkata...

Ramai yang tidak sedar, sebenarnya bukan mudah menjadi lelaki sejati di mataNya.Amat mudah, di mata makhluk.